Pages

Saturday, June 13, 2009

Cerita Cucu Tokmi

Nama kami Atfa Humaira, Aufa Afiqah dan Asla Sofia. Atfa berumur 9 tahun , Aufa berumur 10 tahun dan Asla berumur 7 tahun. Kami bersekolah di SRA Sri Melati, Tunjung, Perlis. Ibu kami bernama Amani bt Dahlan dan bapa kami pula bernama Ahmad Zaini bin Samsudin. Kami merupakan cucu tokmi dan tokbah yang ke 3, 4 dan ke6. Kami selalu tidur di rumah tokmi dan tokbah. Di rumah tokmi dan tokbah, tokmi selalu memasak makanan yang sangat sedap. Tokmi ajar kami basuh pinggan, masak nasi goreng dan telur goreng bawang. Kami selalu sapukan ubat di kaki dan tangan tokmi. Kami juga selalu memijak kaki dan memicit badan tokbah. Kami sangat sayang pada tokmi dan tokbah. Tokmi selalu buat perkara yang baik dan soleh. Kami rindu pada tokmi. Sekarang kami tinggal bersama dengan tokbah dengan mama dan abah dan adik-adik. Kami berdoa agar tokmi masuk syurga. Kami selalu pergi ke kubur tokmi selepas balik sekolah bersama abah. Kami berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang yang soleh. Sekarang kami selalu memicit kaki tokbah. Kami berdoa agar tokbah sihat dan ceria. Tamat
Ditulis oleh;
ATFA dan AUFA

Bagaimana keadaan Abah?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana keadaan dan kehidupan ustaz selepas kehilangan ummi....



Abah seorang yang cukup tabah dan kuat. Tapi jelas di raut wajah abah kesedihan dan rasa kehilangan. Abah tidak perlu pengganti ummi. Ada yang cuba mencadangkan agar dicari abah pasangan hidup yang baru....bagiku sebagai anak, mereka yang mencadangkan itu tidak benar-benar memahami abah. Abah dan ummi telah hidup bersama selama 42 tahun. Malah, hubungan hati mereka sejak seebelum abah ke Bagdad lagi. Dalam tempoh ini (sudah cukup sebulan), abah dalam proses penyembuhan hati abah yang kehilangan. Jika berbual dengan abah, dia masih suka bercerita tentang ummi. Sekarang, kulihat abah lebih selesa memandu kereta Myvi Ummi berbanding Volvonya. Malah, abah setiap hari pergi ke MATRI walaupun sekarang cuti semester. Pasti abah rasa lebih dekat dengan Ummi kerana ummi dikebumikan di tanah perkuburan hampir dengan MATRI. Yang mengharukan diriku, selimut yang dibeli ummi untuk abah menjadi barang yang amat berharga bagi abah. Abah bertanyaku, ada amani nampak selimut tebal bunga pink ?. Aku menjawab, tak dak abah. Abah nak selimut? Aku memberi selimut yang ada di dalam almari. Kulihat abah masih mencari-cari selimut yang dikatakan itu. Seharian abah mencari. Bila berjumpa selimut itu, abah berkata, "Selimut ni ummi baru beli kat KL". Baru kuingat, selimut itu ummi beli untuk abah. Abah letak atas bantalnya. Selimut itulah yang dipakai abah setiap malam.

Ramadan ini abah akan pergi Umrah walaupun tanpa ummi. Sehari sebelum ummi tidak sedarkan diri, kami anak beranak..di samping ummi di wad 1. Abah bagitau ummi, tarikh ke Umrah ditunda ke bulan puasa. Ummi menjawab,"Mah (ummi membahasakan diri 'Mah') tak pi, abang pi lah dengan Akram. Akramlah teman abah, na". Kujawab pada ummi," Insya-Allah, ummi boleh pi..dah sembuh dah.". Tapi Ummi tak respon kembali jawapanku itu. Kutahu, walaupun abah berat dan sedih untuk ke Umrah tanpa ummi di sisi, tapi abah tetap pergi sebab ia seolah-olah permintaan ummi. Begitu kuat ikatan cinta abah pada ummi. Seperkara lagi, sebelum ummi meninggal dunia...ummi sering bagitau diriku..bagitau abah dan Akram...bilik library dan dapur rumah ni teruk sangat, penuh dengan anai-anai. Ummi asyik sebut nak renovate bahagian library dan dapur tapi tak sempat. Minggu lepas, abah cuba planning tunaikan amanat ummi..abah lukis plan untuk itu. Kuat hati ini menyatakan... abah cuba sedaya mungkin menunaikan apa yang menjadi permintaan dan amanat ummi. Itulah yang perlu ditanya dan dibantu oleh sahabat-sahabat abah, bukan mencadangkan sesuatu yang mungkin melukakan hati abah, juga hati anak-anak . Masanya tidak sesuai. Aku cukup terkilan bila Acu menceritakan hal itu. Begitu juga dengan mak ummi. Malah airmata ini cukup mudah mengalirkan airmata.



Ramai yang melihat dari luar.. abah dan ummi mempunyai karektor yang cukup berbeza..abah seorang yang sabar, pendiam, dia hanya bercakap sesuatu yang penting...ummi pula agak kurang sabar, ramah, mudah mesra dengan orang walaupun baru berjumpa. Tapi perbezaan itulah pelengkap. Bagiku sebagai anak.. malah anak perempuan tunggal... kehidupan dan ikatan erat suami isteri antara ummi dan abah menjadi contoh utama bagiku, terlalu istimewa hubungan mereka. Abah walaupun nampak serius dan pendiam, tapi bila di samping ummi..dia mampu tersenyum, ketawa (walaupun ketawa kecil) dan berjenaka. Waktu abah marah atau nasihat isterinya, ummi tak pernah menjawab balik...dia hanya diam. Malah, abahlah yang mengajar ummi memasak. Dari kecil hingga setelah kuberkahwin, bila aku ke rumah abah, kulihat abah dan ummi masak bersama terutamanya waktu makan malam. Cukup loving..ummi masak satu jenis, abah satu jenis... Masakan kegemaran abah, ikan goreng cili (cili hidup goreng kering), gulai lemak rebung, ikan bakar. Satu lagi yang paling abah suka, keropok jangat goreng cili. Keropok tu hanya ada di Padang & Sumatera aje (sebab abah asal bukit tinggi, padang, sumatera). Setiap malam, sebelum tidur ummi kena picit dan urut abah. Sekarang, adikku Akram dan cucu-cucu abah (anak-anakku) Aufa, Atfa, Asla dan Ashmal. Anak-anakku masih kecil, jadi abah suruh mereka pijak belakang abah.



Setelah bermesyuarat adik beradik kami berempat, Akram dan isterinya Ayan akan tinggal dengan abah. Tapi Ayan masih mengajar di Tanjung Piandang. Dia akan mohon pertukaran hujung tahun ini. Dalam masa ini, aku dan keluarga berpindah ke rumah abah. Suamiku setiap pagi sebelum ke tempat kerja akan pulang sekejap ke rumah kami di Arau. Hujung minggu aku dan keluarga akan pulang ke rumah di Arau sebab Ayan pula yang mengganti. Ali adik bongsuku yang mengajar di Sabah juga akan mohon berpindah ke Perlis. Hanya abang sulungku yang tinggal jauh di Kuala Lumpur sebab dia dah bermukim di sana, dah beli rumah di sana. Abah kelihatan semakin ceria wajahnya... terutama melihat kerenah anak lelaki ke-4ku, Ahmad Ashmal yang ramah...dan baby boy yang baru 2 bulan..dah pandai senyum dan beri respon bila mengacah.



Babyku tak nak minum susu tepung...macamana ye? Minggu depan dah nak kerja. Opss... dia dah bangun dan merengek...kita sambung esok pulak,k. Wassalam