Pages

Wednesday, August 25, 2010

Apa yang Allah taqdirkan adalah yang terbaik untuk kita

Kumerenung sendirian..setiap yang ditaqdirkan untuk kita, hakikatnya ada hikmah di sebaliknya. Satu contoh yang jelas. Waktu kudapat interview untuk biasiswa PhD di Putrajaya bulan 5, waktu itu abah dalam wad. Hatiku berat untuk meninggalkan abah. Tapi, abah kata..pergilah interview, memang Arwah Ummi mengharapkan anak-anak abah & arwah ummi terus berjihad di medan ilmu hingga kepada tahap tertinggi. Selepas interview, abah tanya perkembangan..apa yang disoal. Jelas kulihat, kegembiraan di wajah abah.
Kemudian, kuberjaya dapat tawaran belajar, hati masih berbelah bahagi nak terima ataupun tidak.. pernah kutanya abah.. abah kata, "pasal apa nak tolak pulak, dah dapat. Apa yang Allah taqdirkan tu adalah yang terbaik untuk kita". Kuberfikir juga... jika tak sambung belajar, setiap hari perlu ke pejabat dan bekerja. Tapi jika belajar..hanya 1 semester aje perlu attend kuliah..lepas tu banyak masa menulis..banyak masa dengan family dan jaga abah.
Tapi pakcikku berpandangan berbeza.. dia agak tidak setuju kuterima tawaran belajar tu. Tapi, kumasih berpegang kepada kata-kata abah. Dan, kutidak pernah membuat keputusan tanpa merujuk kepada suamiku dan abah. Terus-terang dalam hidup ini... banyak perkara besar dalam kehidupan ini yang kuambil selepas mendengar nasihat ibubapa dan suami.
Hikmah yang paling jelas, yang Allah taqdirkan kumenerima tawaran cuti melanjutkan pelajaran ...ada di depan mata. Dalam situasi abah sedang koma... dua anak abah, yang sulung dan adik bongsuku terpaksa kembali semula ke rumah masing-masing kerana cuti dah habis, terpaksa meneruskan kerja. Yang tinggal hanya anak-anak yang tidak terikat dengan kerja, diriku dan adikku...kami berdua dalam cuti belajar. Inilah hikmahnya yang abah sebut tempohari..."apa yang Allah taqdirkan tu adalah yang terbaik untuk kita.". Setiap hari berlalu... rutinku bangun dari tidur, sahur, bersiap ke hospital.. menunggu abah di hospital hingga petang dan kadang-kadang awal malam. Dalam pukul 6.30 - 7.00 petang Kutunggu adikku pula datang menjaga abah. Kubergilir dengan adikku ... dia ambil giliran malam sebab dia tidak ada anak kecil. Sambil menjaga abah, kuselang seli baca Al-Quran dan bahan-bahan studyku. Inilah hikmahnya.. jika kutidak dapat cuti belajar, pasti diri ini lagi berserabut.. dengan bebanan kerja dan prosuder cuti yang terhad. Malahan, cuti tahunanku juga telah habis semasa abah sakit dulu. Jadi... kata-kata abah tersemat erat di hati ini....."apa yang Allah taqdirkan adalah yang terbaik untuk kita.".

Abah sedang berjuang..

Hari ini, 17 hari abah di CCU. Tadi pukul 8.30, Akram adikku telefon, doktor pakar nak jumpa waris. Ya Allah..waktu itu berdegup kencang jantungku..apa yang berlaku pada abah?. Anakku yang kecil, Audad atas ribaku...semalam dia demam kuat. Kukuatkan hati, menyerahkan Audad pada suamiku..segera kubersiap untuk ke hospital. Bila kusampai, Akram beritahu dia dah jumpa doktor Pakar..terangkan keadaan yang terkini tentang abah... ringkasan kata doktor, abah masih dalam koma..walaupun kadang-kadang, dia macam respon dengan suara terutama suara anak-anak dan isteri, tapi tidak konsisten. Jantung abah pula masih disupport dengan ubat. Kemudian, abah ada jangkitan kuman...dah tukar antibiotik kepada yang lebih kuat. Pernafasan masih dengan bantuan mesin. Setelah Akram memberitahu keadaan abah, kubisikkan dalam hati.. setiap detik, setiap masa..aku perlu makin tabah dan kuat semangat. Terngiang di telinga kata-kata seorang teman rapat abah dari KL semalam yang datang menziarahi abah.. ramai orang yang berjuang untuk Islam diuji dengan sakit kuat. Kita lihat sebagai ujian Allah, sebenarnya ia pilihan Allah kerana Allah kasih.., kesakitan itu kafarah , pembersih dosa-dosa. Orang yang dikasihi Allah ini.. dalam hidupnya sering berhadapan dengan sakit, bila sembuh.. dia bangun berjuang kembali, seolah Allah membersih dosa-dosa terdahulu. Kata teman abah lagi, kalaupun  ia suatu penamat...Allah bersihkan  dosa-dosanya sebelum kembali padaNya. Ya Allah..kata-kata teman abah cukup berbekas di hatiku. Memang dalam hidup abah, abah sering berhadapan dengan sakit kuat..ada ketika hingga langsung tidak boleh bergerak. Ada ketika, hanya kalimah Allah yang keluar dari mulut abah.. tapi kali ini..abah terbaring dan koma. Kata-kata teman abah itu mampu memujukku dalam diam.

Sunday, August 15, 2010

Hari ke 7 Abah di CCU

Hari ini hari ke 7 abah di CCU, Kangar. Pagi ini selepas bersahur bersama suami dan anak-anak, kubergegas mandi dan bersiap untuk menggantikan adikku menjaga abah di luar wad CCU. Ya Allah! Berilah pengharapan baru kepada kami. Kasihan kulihat Aunty Nali semalam..nampak keletihan di wajahnya. Bila kunasihat, "Aunty tidurlah di rumah, lepas subuh esok datang semula.". Tapi Aunty nampak cukup bersedia dan ikhlas dalam menjaga Abah. Kutumpang rasa bersemangat dan terharu dengan pengorbanan Aunty. Bila kutiba di CCU, suasana masih gelap..kulihat Ali sedang tidur di atas bangku panjang...kasihan adikku ini..dia dah banyak berubah, makin slim dan makin matang. Bila kusampai, dia pulang ke rumah abah utk rehat dan mandi. Kulihat pintu CCU terkunci. Bagaimana keadaan abah hari ini. Kubaca surah Yasin dan Ar-Ra'd untuk abah. Moga di luar sana juga begitu.
Kelmarin, keputusan CT Scan menggembirakan kami kerana tiada masalah dalam otak abah.. maksudnya abah tidak respon bukan disebabkan brain damage. Kemungkinan besar abah tidak respon disebabkan buah pinggang abah yang rosak. Kuajak Ayan lihat samada pintu wad CCU berkunci ataupun tidak. Alhamdulillah, pintu tak berkunci. Terus kuajak Ayan masuk ke bilik abah. Kuhampiri abah..kupanggil "Assalamualaikum abah.. adik datang...abah bukalah mata, ingat Allah.." Kulafazkan kalimah Allah dan Syahadah di telinga abah berulang kali. Tiba-tiba, mata abah terbuka..berkelip-kelip, abah melihatku lama. Kupanggil semula abah..Kuminta abah genggam tanganku, atau gerakkan jari..tapi hampa. Kemudian, abah pejamkan mata semula. Ya Allah, tak sanggup rasanya melihat orang yang dikasihi terbaring begini. Berilah kekuatan pada diriku menghadapi situasi ini. Kupegang kaki, betis dan paha abah..suam...Alhamdulillah. Hanya hujung jari kaki abah sejuk. Kelihatan ada sahabat abah datang mendekati katil. Nurse menasihat mereka agar berada di luar bilik..lihat dari jauh kerana cuba jauhkan dari jangkitan kuman. Nurse beritahu, malam tadi abah demam, mereka bimbang ada jangkitan kuman. Kami keluar dari wad...meninggalkan abah terbaring lesu. Tengahari nanti, adik masuk semula bah..

Friday, August 13, 2010

Abah....Kuatkan semangatmu abah..

Abah masih seperti kelmarin, selepas dialisis abah tetap tiada respon. Jantung Abah juga lemah. Tapi, kulihat walaupun mata abah tertutup, mata abah seperti bergerak-gerak.Moga ia tanda abah akan sedar. Jika selepas dialisis abah tidak juga sedar, doktor akan buat CT Scan. Hari ini kami adik beradik buka puasa di tepi tangga wad CCU. Tanpa gelas dan pinggan.. abang sulungku juga ada sekali. Kami cuba membuat suasana berbuka puasa ceria...sedangkan dalam hati Allah yang Maha Mengetahui bagaimana rasanya. Kuserahkan anak-anakku pada suamiku...tapi kuredha dengan ketentuan ini. Setahun tiga bulan yang lepas.. kami juga berada di sini menanti Ummi sembuh. Ia berulang kembali. Orang yang menjadi tunggak kekuatan kami, menjadi sumber semangat juang kami terbaring bertarung dengan kesakitan juga dengan maut. Hanya doa dan ayat Al-Quran mengiringi abah. Kuyakin...di luar sana..ramai anak-anak abah yang juga berperasaan sepertiku, turun menadah doa untuk abah.. membaca Al-Quran untuk memohon keajaiban dariMu Ya Allah. Di saat ini jam 9.55 malam, kusolat isyak dan tarawih berseorangan di luar wad CCU, Ali adikku juga ada bersama...ayat-ayat Al-Quran memenuhi ruang ini..moga ia sampai ke dalam bilik abah, moga ayat-ayat Al-Quran ini sampai di telinga abah. Jiwaku tersentuh melihat sahabat-sahabat abah, anak didik abah datang dari jauh..kelantan, terengganu, johor, selangor, perak dll semata menziarahi abah.. mendoakan untuk abah.. semua ini adalah kekuatan buat kami.

Abah...Abah...bukalah mata

Hati ini merintih sayu..Abah yang kusayangi, terbaring tanpa suara. Mata abah terpejam rapat. Rasa tak mampu diri ini melalui keadaan kedua selepas pemergian Arwah Ummi. Ya Allah, tabahkanlah hati ini, Setiap malam selepas ahad malam tempohari, sukar kulelapkan mata..seperti wayang tergambar detik-detik cemas Ahad malam  dalam pukul 1.30 di wad kecemasan di Kangar. Bagaikan gambar bergerak, berulang-ulang wajah abah, keperitan abah dan wajah-wajah cemas kami menghadapi situasi gentir itu. Dah lama tak kutulis di blog ini...tapi hari ini tergerak hati dan kugagahi diri menaip sesuatu, moga ia dapat meringankan apa yang ada di dada ini. Kelmarin kupanggil abah.."Abah..Abah bukalah mata bah, bangunlah..adik ada di sebelah abah, semua anak-anak abah ada, aunty tak pernah tinggalkan abah, bukalah mata... bah. Sambil airmata deras di pipiku. Kulihat aunty teresak memegang erat tangan abah. Kutabahkan hati, menumpang kekuatan bila melihat aunty tabah, cikgu A tabah, Melihat insan-insan yang menyayangi abah menziarahi abah..menjadi kekuatan kami anak-anak abah