Pages

Monday, December 6, 2010

Masakan kesukaan Arwah Abah...

Hari ini ringkas makan malam kami... daging goreng  cicah air asam, sayur lemak taugeh dan telur goreng dadar...kesemuanya lauk kegemaran abah. Tiap kali kumasak di dapur..kenangan bersama abah sering hadir. Kumasih ingat..abahlah yang mula mengajarku memasak (masak telur dadar) dan menjahit. Malah..arwah ummi pernah bercerita..waktu baru kahwin..abah yang mengajar Ummi memasak. Abah pandai memasak. Sejak kecil..kumasih ingat, ummi dan abah akan masak bersama, tapi lain-lain jenis lauk..abah satu jenis, dan ummi jenis yang lain. Ia suatu amalan yang istimewa dalam rumahtangga, ... sebenarnya setiap pasangan harus begitu. Berkongsi aktiviti bersama...walaupun ketika di dapur. Sukar kubuang kenangan ummi dan abah yang menjadi darah dagingku..sukar kucoretkan menjadi ayat cerita.

Kenangan bersama arwah abah makin terasa selepas pemergian arwah Ummi. Terutama dalam soal masakan.. kalau dulu arwah ummi yang masakkan untuk abah. Kini..ia menjadi tanggungjawabku. Suatu yang menjadi panduan buatku. Arwah ummi tidak pernah mengeluh.. kepenatan pulang dari mengajar, arwah ummi tetap akan masak untuk abah walaupun  ringkas masakannya. Seringkali juga arwah abah masak bersama. Walaupun lewat malam.. bila arwah abah pulang lewat dari program dan belum makan.. ummi akan bangun masak untuk abah tanpa rasa berat hati dan rasa terpaksa. Bagaimana kita...sebagai isteri, malah bagaimana suami di luar sana?. Sesekali, abah akan bawa kami sekeluarga makan di luar terutama di Kuala Perlis.

Abah paling suka masak lemak cili padi.. rebung dengan cendawan liat. Kadang-kadang rebung juga dibuat sayur air...dimasukkan belacan, cili & bayam. Kalau di Semadung (kebun arwah Abah & Ummi) , abah akan berselera makan . Masa arwah Ummi masih ada, mereka berdua banyak menghabiskan masa berdua di Semadung di waktu petang dan hujung minggu. Bila Ummi tiada, waktu abah mampu berjalan... anak-anak muridnya terutama kelas Khassah menjadi teman. Mereka menjadi sebahagian dari keluarga kami... bersama menjaga abah. Terima kasih..yang pasti..kalian istimewa di hati abah.

Banyak kenangan yang menjadi pedomanku mengharungi liku-liku kehidupan.. terutama panduan dalam rumahtangga. Apa yang dikata oleh arwah abah.. dipraktikkan dalam amalan seharian. Banyak yang ingin kukongsi bersama ...walaupun ia hanya cerita seorang anak. Hakikatnya, jika kenangan itu hanya di fikiran dan hati...tidak dilakarkan dalam tulisan...panduan dan pedoman itu hanya untuk seorang. Mungkin pengalaman bersama arwah abah berbeza-beza.. antara anak juga berbeza, cara didikan arwah abah pada anak perempuan berbeza dengan anak lelaki. Cara interaksi dengan anak didik, rakan, sahabat, mad'u ... juga berbeza. Kongsikanlah kenangan itu...

Saturday, December 4, 2010

Ummi..adik mencari jejakmu di U.Malaya

Hari ini kuhadir lagi di sini...Universiti Malaya untuk menghadapi peperiksaan bagi subjek Metodologi Penyelidikan. Tadi kutiba..masih gelap. Dalam keheningan pagi di sini... kucari tempat untuk study sementara menunggu masuk ke dewan peperiksaan.. Dan sekarang, matahari tegak di kepala....kepalaku ringan sebaik keluar dari dewan.

Sambil menunggu adik ipar datang, kuperhatikan sekeliling. 37 tahun lalu...di sinilah arwah ummi belajar. Waktu itu, abangku Akmal sudah berusia 3 tahun. Arwah Ummi sarat mengandungku. Arwah Ummi pernah bercerita, adik menemani ummi belajar di universiti Malaya waktu dalam kandungan..suatu hari nanti, moga Allah bagi peluang  adik belajar di sini. Kusahut dalam hati..Insya-Allah Ummi. Dan kini, kutunai janji itu..walaupun tanpa Ummi di sisi.

Kudapat bayangkan setiap pagi abah menghantar Ummi ke kuliah, dari kuaters LLN (rumah kami dulu).. kucari derap langkah ummi di sini.. kucari semangat jitu ummi. Tiap kali kuberada di sini..bumi U.Malaya, semangatku membara. Bila berjalan ke Perpustakaan...mungkinkah derap langkahku seiring langkah Ummi? 37 tahun dulu....semangat itu kembali semula...di sini..