Pages

Sunday, December 6, 2009

Syair Arab 2: Mata, telinga dan lidah

Hayatilah syair di bawah...









Terjemahan :
Sesungguhnya Allah menjadikan manusia dengan dua mata # tetapi ramai manusia melihat dengan sebelah mata sahaja.
Sesungguhnya Allah menjadikan manusia dengan satu lidah dan dua telinga # tetapi ramai manusia bercakap dua lidah dan mendengar dengan sebelah telinga sahaja.

Cukup bertepatan syair Arab di atas. Memang ramai manusia sering menggunakan sebelah mata dan sebelah telinga tetapi sering menggunakan dua lidah (lidah bercabang) bila berbicara. Moga kita tidak tergolong dalam kategori 'ramai manusia' tersebut.

Kita sering menggunakan kata-kata hikmah dari sarjana bukan Islam dan kata-kata dalam bahasa Inggeris...tetapi kurang didedahkan dengan kata hikmah sarjana Islam dan dalam bahasa Arab. Peluang ini kuambil untuk berkongsi sedikit yang ada untuk semua. Moga bahan/ilmu ini disebarkan terutama untuk pelajar, pekerja dan insan-insan yang menghargainya. Angan dan harapanku....akan kulampirkan semua kata-kata hikmah dan syair dalam bahasa Arab ini dalam sebuah buku..tapi tak tahulah boleh jadi kenyataan ke tak?

Saturday, December 5, 2009

Bagaimana kasih sayang kita?

Kasih ibupada pada anak-anak sungguh besar. Bagaimana kasih anak-anak pada ibubapa? Ramai anak-anak melafazkan di mulut mereka... tetapi adakah apa yang kita lakukan untuk ibubapa kita cukup. Semakin kita umur kita bertambah, semakin  banyak tanggungjawab kita. Semakin matang kita, semakin jauh jarak kita dengan ibubapa kita. Kita akan belajar jauh dari kampung, kita akan mempunyai tanggungjawab sebagai pelajar kemudian bila dah berkeluarga, kita sibuk dengan suami/isteri dan anak-anak. Makin lama kita bekerja, kita bukan semakin senang tetapi semakin kita sibuk. Semakin hari, kita semakin kurang bersama ibubapa kita..masa berlalu pantas.Masa ibubapa kita juga makin suntuk...mereka makin tua dan uzur.

Jika 20 tahun dulu, kulihat abah seorang yang cukup segak..cergas dan banyak menghabiskan masa dengan amanah yang digalasnya. Bila kulihat sekarang, abah dah semakin uzur. Badan abah semakin kurus, sekarang abah belum dapat berjalan tanpa tongkat. Malah... abah terpaksa guna tongkat 4 kaki sebab kaki abah tak kuat..kalau guna tongkat biasa , abah nak jatuh..abah cakap, rasa paha dan lutut abah lemah nak melangkah. Menitis airmata ini melihat keadaan abah. Berbisik dalam diri, mampukah kuberbakti sebaik mungkin menjaga abah bersama anak-anak yang lain sebaik abah menjaga dan mendidikku sejak dilahirkan. Tadi baru kubersembang dengan Akram, Ayan isteri Akram dan suamiku, mengimbau kisah-kisah dahulu. Abah tidak pernah marah padaku masa dulu-dulu..kutanya Akram pasal apa ye abah tak pernah marah kakak, Akram dan Ali abah marah gak dulu-dulu. Akram kata, "macamana nak marah..kakak kan anak perempuan sorang". Abahlah yang menyedarkan diriku tentang nikmat Islam yang hakiki.

Kurasa terkilan juga tak lama jaga ummi masa ummi sakit. Arwah ummi jarang sakit teruk. Waktu arwah ummi sakit, kumasih dalam pantang lepas bersalin. Akramlah yang bertuah sebab dapat jaga ummi banyak hari di wad. Kumasih ingat, masa arwah ummi sakit..di mulut ummi asyik sebut dan tanya, macamana abah? abah makan apa?. Walaupun tengah sakit, masih bimbangkan makan minum abah.

Bagi yang sudi membaca dan menatap coretanku ini, rebutlah peluang yang ada.Kalau masih punyai ibu dan bapa, jagalah mereka sebaik mungkin..luangkanlah masa bersama mereka. Telefon dan tanyalah khabar selalu kalau berjauhan. Tanya dalam diri, pernahkah kita hadiahkan sesuatu pada mereka, masakkan makanan kegemaran mereka, urut badan mereka yang semakin tua, suapkan nasi, sikat rambut mereka, basuh baju mereka, doakan kesejahteraan mereka, dan tidak melukakan hati mereka. Bila kita kehilangan mereka, barulah kita rasa terkilan banyak yang tidak kita lakukan untuk mereka. Peluang itu tiada kali kedua.Bila peluang itu dah tiada, kita akan terkilan seumur hidup. Ibubapa tiada dua atau tiga. Merekalah ibubapa satu-satunya dunia akhirat.Percayalah...masa yang kita luangkan untuk ibubapa kita tidak sia-sia. Setiap saat kita berbakti pada mereka dihitung pahala.Walaupun sebukit masa dan tenaga kita luangkaan untuk mereka tidak setimpal masa, tenaga dan kasihsayang mereka tumpahkan pada kita sejak dalam kandungan hingga dewasa.

 Ibubapa selalunya tahu dan arif makanan kegemaran anak..bila pulang ke kampung..mak kita akan masakkan makanan kegemaran kita. Kita perlu tahu makanan kegemaran ibubapa kita, sekali sekala masaklah untuk mereka walaupun anak lelaki. Ibubapa kita pasti terharu dan gembira jika kita hadiahkan sesuatu walaupun tidak mahal tanda mereka di hati kita. Kuingat lagi, suatu hari abah nak pergi makan dalam majlis diraja Perlis..kena pakai baju kod penuh. Abah pun cari baju kod sepasang.. dah nampak lama..malah dah terkoyak tepi leher baju. Bila kulihat baju tu..berbisik di hati, kesian abah. Esok kubawa abah ke kedai jahit. Minta abah pilih kain...jelas terserlah di wajah abah..gembira. Bila baju tu dah siap lepas dua minggu, abah sangkut baju tu tepi katil, abah pakai dan tunjukkan padaku. Walaupun harganya tak mahal tapi bila hadiah tu dari anak.. mereka akan gembira. Terserlah di wajah abah kegembiraan itu.

Banyak yang masih perlu kufahami dan kongsi dengan abah. Baru-baru ini baru kutahu dari abah, abah belum pernah ke Cameron Highland. Baru-baru ini, kuterpaksa jadi pengiring student ke Cameron Highland..kebetulan waktu tu Akram ada Seminar. Jadi abah tak dak yang teman. Jadi kutanya abah, " Bah nak ikut adik ke Cameron Highland dak? Adik kena bawa student ke sana." . Abah kata, "Boleh jugak, abah pun tak pernah pi lagi sana.". Ya Allah, kasihan abah... dia belum pergi ke sana sedangkan anaknya ini dah lebih dari 5 kali pergi. Malu sungguh rasa hati. Tapi akhirnya program tu cancel. Kujanji dalam diri, lepas abah sihat nanti...kami akan bawa abah berehat kat sana. Moga kami ada ruang untuk tunaikan janji itu..dan moga abah cepat sembuh.

Thursday, December 3, 2009

Bahasa Puisi Lukisan Hati 1

Apa hobi atau kegemaran semua? Semua orang ada hobi yang tersendiri,kan? Kuhanya ingin berkongsi satu-satu hobiku yang mungkin sama dengan sesiapa.... mengumpul bait syair... tapi dalam bahasa Arab. Ada juga kucuba karang bait syair Arab tapi taklah secantik syair-syair Arab yang original. Sebenarnya, menulis sesuatu dalam blog ni suatu yang baik... seperti bait syair di bawah;














Terjemahan :

Tanganku akan hancur di dalam tanah     #     Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku
Moga sesiapa yang membaca tulisanku     #    doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

Cukup indah bait syair ini. buku yang dimaksudkan bukan sekadar buku...tetapi bahan yang dimuatkan, tulisan kita...ia termasuklah blog. Tetapi biarlah tulisan yang kita lakarkan di blog diselit hikmah dan pedoman. Kita semua pasti akan pergi menemui Ilahi, 3 perkara yang ditinggalkan kita...ilmu yang bermanafaat, anak yang soleh dan sedekah jariah. Tulisan kita juga merupakan medan atau medium bagi ilmu yang bermanafaat. Dalam kita berceloteh atau berkongsi....adalah cebisan nasihat, ilmu dan pedoman untuk dimanafaatkan. Orang yang menulis sesuatu tidak menginginkan apa-apa harapan..hanyalah doa, moga amal kita diterima dan dijauhkan dari azab.
Cukuplah dulu puisi Arab pertama yang dikongsikan...moga Allah memberi ruang untuk bahasa puisi lukisan hati yang seterusnya...


Cebisan kisah anak abah

Hari ini dah 4 hari abah keluar wad di HUKM. Tapi abah belum boleh balik ke Perlis. Kena follow-up lagi di HUKM. Alhamdulillah abah dah semakin sembuh. Walaupun masih lemah, abah dah mula makan nasi. Hari ini masuk 2 hari abah minta kumasak rebung+cendawan masak lemak, tapi tak pedas sebab perut abah masih belum benar-benar sembuh. Abah ikut nasihat Dr Zamrin, minta abah makan telur separuh masak, kurangkan minyak dan pedas dan banyakkan makan sayur dan buahan.

Akram dah balik ke Perlis, dia akan ke KL bila kupulang ke Perlis, kami bergilir jaga abah. Kubergilir urut abah dengan Adik Ali. Sambil urut abah..kupandang wajah abah dalam-dalam... abah yang kusayangi dah  semakin uzur, tapi semangatnya cukup kuat. Dulu arwah ummi yang urut abah tiap-tiap hari, kini tangan anak-anak yang menggantikan tangan ummi. Malah, anak-anak didik abah juga bersama urut abah. Tiba-tiba, terbit persoalan dalam hati, berapa lama Allah beri peluang untuk kami berbakti pada abah, adakah peluang menyentuh kulit tua abah masih panjang atau sebaliknya? Kupandang lagi wajah abah...rambut abah dah makin banyak uban, garis-garis di muka abah juga banyak. Bila  tangan terus mengurut abah..Ya Allah, badan abah dah semakin kurus. Abah tidur nyenyak..malah kadang-kadang terdengar suara dengkuran. Alhamdulillah... dah lama abah susah nak tidur nyenyak. Waktu abah sakit teruk, lepas subuh baru abah boleh tidur.

Hati kembali bersuara, minda kembali berfikir... ada hikmah susunan dan tentuan Allah, mengambil arwah ummi dulu sebelum abah... Allah memberi peluang pada anak-anak abah berbakti pada abah, menjaga secara langsung, lebih akrab dan memahami diri abah. Bukan saja anak-anak kandung abah...malah anak-anak didik abah berganding bahu, saling menjaga abah. Abahlah bapa yang paling beruntung..mempunyai ramai anak-anak didik yang sangat prihatin, ikhlas dan kasihkan abah. Kudapat semangat dan kekuatan dari keikhlasan dan kasihsayang mereka pada abah...kasih kerana Allah, kasih dalam mencapai keredhaan Allah. Moga kasih itu berkekalan hingga ke akhirnya....

Saturday, November 28, 2009

Us Dahlan semakin pulih..

28 Nov 2009

Kondisi Abah hari ini.....

Pagi ini, raya kedua... kami di sisi abah. Akram dan Ayan tidur di HUKM. Pagi ini abah kelihatan semakin pulih walaupun masih nampak lesu. Tadi abah makan ice cream HPA... banyak juga. Lepas tu, abah sakit perut..rasa sebu... memulas. Doktor datang, dia cakap hasil scan..ok, ada batu dalam hempedu..akan dioperasi bila tubuh dah sihat. Paru-paru ada infection...sambung bagi antibiotik. Pastu..platlet dah naik 110. Cuma virus di usus tu yang masih dalam observation. Kemungkinan hari Isnin nak kena masuk spot dalam usus (tak berapa faham istilah doc.. rasanya masukkan kamera kecil ikut dubur kot). Baru dapat lihat apa yang berlaku dalam usus abah. Lepas abah diurut olehku dan cucu (Aufa, anak sulungku) abah terus nak kebilik air. Kutanya abah..warna najis abah...kata abah warna hitam. Dulupun warna najis arwah ummi - warna hitam juga. Doktor ajar abah senaman untuk kuatkan paru-paru abah. Ada 5 step. Suamiku beli nasi lemak. Abah nak cuba makan nasi lemak...dapat makan 2 suap, alhamdulillah . Abah nampak bersemangat semula. Wajah pun nampak ceria sikit. Tapi kaki masih lemah. Abah tak boleh tak diurut...kami terus-terusan urut abah, berganti-ganti. Sendi-sendi abah lenguh dan sakit.

Kami terhutang budi pada anak2 didik abah, doktor2 yang diketuai oleh Prof Dr Zamrin, pakar Kardio. Walaupun hari raya..tetap bersama menjaga abah. Kuterharu dengan pengorbanan mereka, mereka jaga abah macam ayah mereka sendiri.

Opps, sambil kumenulis...sebelah tangan urut abah. Abah dah lena. Kulihat abah mengigau dalam tidur. Tangan abah macam tengah menulis, tak pasti apa yang abah ngigau dalam tidur. Semalam, abah mengigau...cakap Arab.

Lama tak kucatatkan apa-apa di blog ini. Nak menulis di blog ni pun kena bersama hati. Bila meluahkann di sini, hati rasa lega dan puas..seolah-olah berkongsi dengan seseorang... mula-mula taip ganti diri 'ana'. pastu delete sebab kalau tulis ana macam tak selesa sebab ruangan ini luahan hati seorang anak.. 'ku' lebih selesa.

Sakit Denggi abah.....

Hati tertanya-tanya, mengapa abah dapat denggi macam ummi..nyamuk tu ada di Semadung (kebun abah) atau di halaman rumah abah?. Nyamuk Aedes hanya gigit waktu subuh dan senja aje... Abah selalu gak bagi makan ikan keli lepas subuh. Kolam ikan keli tu di belakang rumah. Sebenarnya ikan keli tu arwah ummi yang beli..banyak. Waktu beli masih anak keli. Jadi, bila ummi dah tak de..abahlah yang selalu bagi makan. Abah sayang sangat pada ikan-ikan keli tu. Waktu petang abah banyak luang masa di tepi kolam. Sambil bagi makan ikan keli..abah letak kerusi tepi kolam...sambil termenung. Kuyakin..abah termenung mengingatkan arwah ummi.

Friday, November 27, 2009

Bagaimana sakit abah?

Dah lama ku tak menulis di ruangan ini. Setelah membaca website Langit Ilahi, tergerak untuk meluahkan sesuatu. Allah amat kasihkan abah... setelah mengalami tamparan yang cukup besar dalam kehidupan abah..kehilangan isteri yang menjadi kekuatan abah, Allah memberi peluang pada abah ke Mekah dua kali dalam tahun ini. Allah beri ruang untuk abah dapatkan semula kekuatan diri. Alhamdulillah...

Balik dari Mekah kali ke 2, abah sakit-sakit. Mungkin keletihan perjalanan kerana pergi bersama rombongan Raja Perlis..banyak negara yang dilawati.

Abah pergi Semadung (kebun yang selalu abah&arwah ummi habiskan masa petang & cuti) dengan Pak Usu dan pelajar MATRI (Khassah). Balik dari Semadung, abah rasa tak sedap badan. Tapi hari Isnin abah gagahkan diri pergi MATRI walaupun tak sihat. Hari demi hari, badan abah makin lemah..demam panas, terbaring aje atas katil...selalunya abah rajin baca kitab dan menulis, abah kata mulut rasa pahit...tak lalu makan. Macam-macam kami ikhtiar/masak..tanya abah apa yang teringin makan..hari demi hari abah makin lemah. Dari nasi.. abah hanya makan bubur nasi..dari bubur nasi ... hanya air didih nasi. Dia bagitau dia langsung tak boleh tidur..( mungkin bimbangkan Us Umar..).Seluruh badan abah sakit dan lenguh. Kami bergilir urut badan abah. Ada pelajar MATRI yang datang urut abah. Muka abah makin pucat. Dia hanya banyak minum air zamzam. Akram bagitau.. kakak, kita bawa pi klinik. Tiap-tiap hari Pak Usulah yang check tekanan darah abah. Tok dan mak Usu masak macam-macam untuk abah. Aku cukup terharu dengan pengorbanan Pak Usu dan Mak Usu. Perhatian mereka tak pernah berkurang walapun Ummi dak ada. kubawa abah ke klinik Ehsan (dr Ismail) Akram pergi dulu ke Kangar dan dia tunggu di klinik. Abah di sebelah. Kulihat abah uzur walaupun dia sembunyikan kesakitan dan keperitan menahan sakit. Sebelum ini, hari Sabtu kubawa abah ke Putra Medical Centre (PMC). Waktu itu, doktor tak kaitkan demam abah dengan denggi. Balik dari klinik..hari-hari seterusnya kesihatan abah makin teruk. Kami berbincang ... nak masukkan abah di Hospital Kangar. Abah tak nak.. dia nak check kat abang (Dr Akmal) di KL. Mulanya nak pergi hantar dengan kereta.. tapi kondisi abah sangat lemah, perjalanan jauh lagi memenatkan badan abah. Suamiku cadang pergi dengan flight. Malam itu juga ambil tiket flight ke KL. Tengok dalam internet..semua tiket sold out. hanya Firefly aje yang ada. Tak pelah... asal sampai. Pagi tu..kondisi abah makin lemah..dah tak boleh berjalan..tak ada tenaga. Suamiku tanya.."Ma boleh ke pergi sorang bawa abah ni?". Kujawap," Insya-Allah, Allah bersama Ma." Aku perlu kuat semangat... Akram hantar hingga ke Airport A.Setar. Masalah timbul.. Firefly kena naik tangga 5 anak tangga. Mcamana bah? Tanyaku pada abah, abah jawab," Insya-Allah boleh." . Kusorong abah dengan kerusi roda. Di Subang, abang Akmal dah tunggu. Kami terus ke Hospital Gombak.(tempat abang kerja). Abang terus pasang drip kat abah. Fligt balik petang itu juga sebab tak bawa baby bersamaku. (baby masih menyusu badan). Berat rasa hati nak tinggalkan abah. Kupujuk hati, abang Akmal ada di sisi abah.

Hari Sabtu, abang call ..abah kat rumah abang, suspek denggi sebab platlet rendah. Bila fikirkan semula memang sakit abah mirip arwah ummi...demam, tak lalu makan, lenguh satu badan..sakit perut.. Ya Allah.. berat rasa ujianMu ini. Hari Ahad kupergi ke KL bersama Akram dengan kereta (bawa baby sekali). Sampai di rumah a.Akmal, lihat abah pucat tak bermaya. Macam-macam anak2 murid abah bawa untuk abah. Abah hanya minum air zamzam. Malam tu, kutanya abah teringin makan apa? Abah nak makan bubur pulut hitam. Lama dah kutak masak bubur pulut hitam. Kucuba masak, kak Siti Hilmiah juga bawa untuk abah..sikit aje yang dimakan. Satu pagi.. abah bagitau teringin makan 'roti lenggang'. Waktu arwah ummi ada, pagi-pagi abah selalu makan roti lenggang. Mengalir airmataku.. abah teringin masakan ummi, bila kuhidang...dia gagahkan diri untuk makan. Alhamdulillah. Petang itu, abah mengadu sebu perut dan sakit perut sangat2, di bibir abah terdengar abah sebut..Allah..Allah. Abang Akmal cucuk ubat tahan sakit. Anak2 murid abah (doktor2) berganti memantau kesihatan abah. Mereka lihat kondisi abah makin teruk. Mereka cadang abah dimasukkan ke HUKM.

Raya Haji ini kami raya di KL bersama abah. Sayu rasa di hati.... pagi raya tak dapat ziarahi kubur ummi. Semua anak-anak ada di sisi abah. Malah anak-anak abah bukan hanya 4 orang, ramai.... anak-anak abah sentiasa mendoakan untuk abah walaupun di mana mereka berada, macamana mereka mendoakan untuk arwah ummi. Pagi raya ni.. walapun sebak rasa di dada melihat keadaan abah dan merindui ummi..kunangis dalam hati, biar abah lihat anak perempuuannya ini kuat hadapi ujian Allah. Pagi tadi doktor bagitau.. platlet abah dah makin tinggi tapi masih tak 100% sembuh denggi tu, ada batu dalam hempedu, buah pinggang abah juga ada masalah. Ada jangkitan paru-paru dan diberi antibiotik. Perut abah masih sakit. Doktor kata ada radang di usus. Pakar mungkin akan check lebih detail dan cari punca abah sakit. Adakah kesan dari denggi atau ada sesuatu di usus abah. Aku jadi resah untuk menunggu keputusan tu. Mungkin esok doktor operasi... malam ni abah dah mula mau makan bubur nasi sikit...kumasak campur sayur2. Abah kata, nak makan moi dengan ikan talang kering. Pagi esok akan kumasak. Esok nak pi cari burung puyuh..nak buat sup sebab bila kutanya nak sup ikan/ketam, abah jawap tak lalu makan. Bila kutanya nak sup burung puyuh dak? Abah kata boleh juga nak cuba kot mau makan.

Saturday, June 13, 2009

Cerita Cucu Tokmi

Nama kami Atfa Humaira, Aufa Afiqah dan Asla Sofia. Atfa berumur 9 tahun , Aufa berumur 10 tahun dan Asla berumur 7 tahun. Kami bersekolah di SRA Sri Melati, Tunjung, Perlis. Ibu kami bernama Amani bt Dahlan dan bapa kami pula bernama Ahmad Zaini bin Samsudin. Kami merupakan cucu tokmi dan tokbah yang ke 3, 4 dan ke6. Kami selalu tidur di rumah tokmi dan tokbah. Di rumah tokmi dan tokbah, tokmi selalu memasak makanan yang sangat sedap. Tokmi ajar kami basuh pinggan, masak nasi goreng dan telur goreng bawang. Kami selalu sapukan ubat di kaki dan tangan tokmi. Kami juga selalu memijak kaki dan memicit badan tokbah. Kami sangat sayang pada tokmi dan tokbah. Tokmi selalu buat perkara yang baik dan soleh. Kami rindu pada tokmi. Sekarang kami tinggal bersama dengan tokbah dengan mama dan abah dan adik-adik. Kami berdoa agar tokmi masuk syurga. Kami selalu pergi ke kubur tokmi selepas balik sekolah bersama abah. Kami berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang yang soleh. Sekarang kami selalu memicit kaki tokbah. Kami berdoa agar tokbah sihat dan ceria. Tamat
Ditulis oleh;
ATFA dan AUFA

Bagaimana keadaan Abah?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana keadaan dan kehidupan ustaz selepas kehilangan ummi....



Abah seorang yang cukup tabah dan kuat. Tapi jelas di raut wajah abah kesedihan dan rasa kehilangan. Abah tidak perlu pengganti ummi. Ada yang cuba mencadangkan agar dicari abah pasangan hidup yang baru....bagiku sebagai anak, mereka yang mencadangkan itu tidak benar-benar memahami abah. Abah dan ummi telah hidup bersama selama 42 tahun. Malah, hubungan hati mereka sejak seebelum abah ke Bagdad lagi. Dalam tempoh ini (sudah cukup sebulan), abah dalam proses penyembuhan hati abah yang kehilangan. Jika berbual dengan abah, dia masih suka bercerita tentang ummi. Sekarang, kulihat abah lebih selesa memandu kereta Myvi Ummi berbanding Volvonya. Malah, abah setiap hari pergi ke MATRI walaupun sekarang cuti semester. Pasti abah rasa lebih dekat dengan Ummi kerana ummi dikebumikan di tanah perkuburan hampir dengan MATRI. Yang mengharukan diriku, selimut yang dibeli ummi untuk abah menjadi barang yang amat berharga bagi abah. Abah bertanyaku, ada amani nampak selimut tebal bunga pink ?. Aku menjawab, tak dak abah. Abah nak selimut? Aku memberi selimut yang ada di dalam almari. Kulihat abah masih mencari-cari selimut yang dikatakan itu. Seharian abah mencari. Bila berjumpa selimut itu, abah berkata, "Selimut ni ummi baru beli kat KL". Baru kuingat, selimut itu ummi beli untuk abah. Abah letak atas bantalnya. Selimut itulah yang dipakai abah setiap malam.

Ramadan ini abah akan pergi Umrah walaupun tanpa ummi. Sehari sebelum ummi tidak sedarkan diri, kami anak beranak..di samping ummi di wad 1. Abah bagitau ummi, tarikh ke Umrah ditunda ke bulan puasa. Ummi menjawab,"Mah (ummi membahasakan diri 'Mah') tak pi, abang pi lah dengan Akram. Akramlah teman abah, na". Kujawab pada ummi," Insya-Allah, ummi boleh pi..dah sembuh dah.". Tapi Ummi tak respon kembali jawapanku itu. Kutahu, walaupun abah berat dan sedih untuk ke Umrah tanpa ummi di sisi, tapi abah tetap pergi sebab ia seolah-olah permintaan ummi. Begitu kuat ikatan cinta abah pada ummi. Seperkara lagi, sebelum ummi meninggal dunia...ummi sering bagitau diriku..bagitau abah dan Akram...bilik library dan dapur rumah ni teruk sangat, penuh dengan anai-anai. Ummi asyik sebut nak renovate bahagian library dan dapur tapi tak sempat. Minggu lepas, abah cuba planning tunaikan amanat ummi..abah lukis plan untuk itu. Kuat hati ini menyatakan... abah cuba sedaya mungkin menunaikan apa yang menjadi permintaan dan amanat ummi. Itulah yang perlu ditanya dan dibantu oleh sahabat-sahabat abah, bukan mencadangkan sesuatu yang mungkin melukakan hati abah, juga hati anak-anak . Masanya tidak sesuai. Aku cukup terkilan bila Acu menceritakan hal itu. Begitu juga dengan mak ummi. Malah airmata ini cukup mudah mengalirkan airmata.



Ramai yang melihat dari luar.. abah dan ummi mempunyai karektor yang cukup berbeza..abah seorang yang sabar, pendiam, dia hanya bercakap sesuatu yang penting...ummi pula agak kurang sabar, ramah, mudah mesra dengan orang walaupun baru berjumpa. Tapi perbezaan itulah pelengkap. Bagiku sebagai anak.. malah anak perempuan tunggal... kehidupan dan ikatan erat suami isteri antara ummi dan abah menjadi contoh utama bagiku, terlalu istimewa hubungan mereka. Abah walaupun nampak serius dan pendiam, tapi bila di samping ummi..dia mampu tersenyum, ketawa (walaupun ketawa kecil) dan berjenaka. Waktu abah marah atau nasihat isterinya, ummi tak pernah menjawab balik...dia hanya diam. Malah, abahlah yang mengajar ummi memasak. Dari kecil hingga setelah kuberkahwin, bila aku ke rumah abah, kulihat abah dan ummi masak bersama terutamanya waktu makan malam. Cukup loving..ummi masak satu jenis, abah satu jenis... Masakan kegemaran abah, ikan goreng cili (cili hidup goreng kering), gulai lemak rebung, ikan bakar. Satu lagi yang paling abah suka, keropok jangat goreng cili. Keropok tu hanya ada di Padang & Sumatera aje (sebab abah asal bukit tinggi, padang, sumatera). Setiap malam, sebelum tidur ummi kena picit dan urut abah. Sekarang, adikku Akram dan cucu-cucu abah (anak-anakku) Aufa, Atfa, Asla dan Ashmal. Anak-anakku masih kecil, jadi abah suruh mereka pijak belakang abah.



Setelah bermesyuarat adik beradik kami berempat, Akram dan isterinya Ayan akan tinggal dengan abah. Tapi Ayan masih mengajar di Tanjung Piandang. Dia akan mohon pertukaran hujung tahun ini. Dalam masa ini, aku dan keluarga berpindah ke rumah abah. Suamiku setiap pagi sebelum ke tempat kerja akan pulang sekejap ke rumah kami di Arau. Hujung minggu aku dan keluarga akan pulang ke rumah di Arau sebab Ayan pula yang mengganti. Ali adik bongsuku yang mengajar di Sabah juga akan mohon berpindah ke Perlis. Hanya abang sulungku yang tinggal jauh di Kuala Lumpur sebab dia dah bermukim di sana, dah beli rumah di sana. Abah kelihatan semakin ceria wajahnya... terutama melihat kerenah anak lelaki ke-4ku, Ahmad Ashmal yang ramah...dan baby boy yang baru 2 bulan..dah pandai senyum dan beri respon bila mengacah.



Babyku tak nak minum susu tepung...macamana ye? Minggu depan dah nak kerja. Opss... dia dah bangun dan merengek...kita sambung esok pulak,k. Wassalam

Tuesday, May 26, 2009

Catatan Tazkirah Ummi

Di ruangan ini, ana ingin kongsikan sebahagian catatan Ummi khusus untuk anak-anak didiknya. Insya-Allah, catatan ummi ini dapat dijadikan bekalan buat kita semua. Doakan untuk ummi ...
Catatan Tazkirah Ummi 1
Anak-anak didikku telah meninggalkan MATRI untuk meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi. Persediaan yang dibina di MATRI kiranya dapat menjadi bekalan bagi menghadapi suasana jahiliah yang beaneka ragam. Biar bagaimanapun, anak-anakku perlu ingat, penerusan tarbiyah itu perlu. Kalau ia berhenti, bererti memberi laluan pada unsur-unsur yang melemahkan.


Tidakkah dirasakan wahai anak-anakku sayang, bahawa suasana di sekelilingmu kini sebagai medan ujian. Ujian bagi menguji kekuatan sebenar. Andai ia dapat diatasi, iman dan kekuatannya akan tertingkat. Firman Allah SWT :" Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan, mereka berkata ,Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji."

Kejutan budaya dalam suasana jahiliah dan hawa nafsu yang memang melalaikan terutama pada hati-hati muda. Di sinilah dapat diukur komited dan dominan kita dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan hasil dari proses tarbiyah yang berterusan. Sejauh mana kekuatan itu menjadi benteng mempertahankan kelarutan kita dalam suasana sekeliling kita. Sejauh mana ia dapat berfungsi mengisi kemakrufan serta menyebarkan keindahan dan keunikan nikmat Islam dan Iman. Nabi Adam dan Hawa telah memberi iktibar terhadap respon mereka kepada kejutan budaya ini. Limpahan nikmat Allah telah diuji dengan godaan Iblis, Hawa terpesona dan terus mengikut arahan iblis (anak-anak pasti mengetahui detail cerita ini). Adam dan Hawa menyesali perbuatan mereka, terus bermuhasabah dan bertaubat.Inilah gambaran orang yang beriman dan tawadhuk. Anak-anakku, Allah pilih insiden ini pada Nabi yang mulia untuk kita mengambil iktibar daripadanya.


Di kesempatan ini, terus Ummi manfaatkan untuk membincang isu kekuatan kiranya anak-anak tidak jemu membaca, memahami dan menghayati. Cerita Nabi Yusoff paling hampir dengan diri anak-anak. Di sekeliling beliau, penuh tarikan dan pujukan...tapi hatinya kuat dengan kekuatan ikatanya dengan Allah dan takwanya menjadi penghalang untuk menurut kemahuan mereka.


Anak-anakku,

Inilah kekuatan yang sama-sama perlu kita bina.Kalau tidak, di manakah tamayuz antara pembangunan Islam dan jahiliah..antara pembangunan hati dan kebendaan/ilmu semata. Tentu kekuatannya yang sentiasa terikat erat dengan Allah swt.


Pasti anak-anak sibuk dengan kuliah dan tugasan yang bertali temali. Ummi simpati dan gembira kerana dalam kesibukan ini Allah memberi jua kesempatan untuk anak-anak mengikuti program tarbiyah. Kita akan rasa tenang dan bersemangat untuk terus berjihad di medan ilmu ini. Syukurlah...anak-anak, kebersamaan anak-anak bersama orang yang dapat membina kekuatan dan keterikatan hati dengan Allah menyejukkan hati Ummi.


Ummi kembali memperingati tentang peringkat jihad yang disarankan oleh ulama muktabar Ibnu Qayyim :

1. Jihad Mencari Ilmu

2. Jihad Mengamalkan Ilmu

3. Jihad Melawan Hawa Nafsu

4. Jihad di medan perang

Jihad ini perlu diambil secarra menyeluruh agar tidak berlaku ketempangan di dalam ubudiyah kita yang mulia. Anak-anakku, kecemerlangan ini dipertanggungjawabkan pada pemuda..kerana kesediaan, potensi dan kemampuan yang ada pada mereka memungkinkan satu pencapaian yang diharapkan dan diredhai Allah.

Ummi Halimaton

Insya-Allah...ana akan sambung untuk catatan yang ditulis ummi sepanjang hidupnya.

Sunday, May 24, 2009

Bagaimanakah sejarah hidup Ummi?

Di sini kusisipkan secara ringkas sejarah hidup Ummi.
Kebanyakan kita, sahabat-sahabat, anak-didik hanya mengenali gelaran Ummi. Nama Ummi Habsah@Halimaton bt. Lebai Husin, anak sulung dari lima adik beradik, dilahirkan pada pukul 10 malam, 22 hb Ogos 1942 di kampung chuping, Perlis. Bapa Ummi seorang peniaga kain, manakala ibunya surirumah. Ummi seorang yang cerdik dan pintar. Dalam zaman yang menganggap sekolah tidak penting untuk kaum wanita, Ummi lulus dengan cemerlang Darjah 6 Sekolah Melayu di Oran, Perlis pada 9 November 1955. Selepas lulus Darjah 6, Ummi menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Chuping dan Sekolah Orang Dewasa.Kemudian sambung belajar di Al-Madrasah Al-Alawiyah Arau,Perlis. Semasa itu, Ummi baru masuk ke sekolah tersebut dan menjadi ketua darjah. Manakala abah merupakan ketua pelajar di sekolah tersebut. Persatuan pelajar yang diketuai abah melancarkan mogok kerana protes sekolah yang berteraskan bahasa Arab akan diubah. Ummi terlibat sama kerana menjadi ketua darjah. Dari situlah Ummi mengenali abah dari jauh. Tahun 1964, abah melanjutkan pelajaran ke Universiti Baghdad,Iraq dalam jurusan syariah dan adab. Sebelum pergi ke Baghdad, abah memberitahu Ummi bahawa emaknya akan merisik ummi. Mendapat semangat abah yang sedang belajar di luar negeri, Ummi belajar sendiri dan menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran sebagai calon persendirian, berjaya mendapat gred 1 pada 1965. Apabila Ummi berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SRP, semangat Ummi bertambah tinggi. Abah sering memberi kata dorongan dan semangat melalui surat yang dititipkan kepada Ummi dari jauh. Ummi bertekad untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada 1967. Ummi berjaya mendapat gred satu. Pada tahun 1968, abah pulang ke tanah air dengan Ijazah BA (Hons) Syariah dan Adab. Ummi dan abah melanggsungkan perkahwinan pada 22 Disember 1968. Kemudian, Ummi mengikut abah tinggal di Pekan, Pahang kerana abah berkhidmat sebagai guru Kuliah Lughah Sultan Abu Bakar, Pekan Pahang hingga tahun 1970. Pada bulan november 1969, Ummi melahirkan cahayamata sulung di Perlis, Mohd Akmal (kini doktor di Hospital Gombak). Pada tahun 1971 abah dan Ummi berpindah ke Kuala Lumpur kerana abah bekerja sebagai pegawai dan guru agama di Balai Islam LLN Jalan Pantai, Kuala Lumpur. Ummi mengambil STPM (dikenali sebagai General Certificate of Education pada ketika itu) pada tahun 1971 ketika anak sulung Ummi berusia 2 tahun. Ummi lulus dengan cemerlang.Dan Ummi memohon untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijaazah. Ummi mendapat tawaran di Universiti Malaya dalam jurusan Linguistik Sastera. Dalam tahun 2 pengajian ijazah , Ummi dikurniakan anak perempuan, Amani (kini pensyarah di Institut Perguruan Perlis). Ummi mendapat BA (Hons) Linguistik Sastera ( 2nd Upper) pada 21 Jun 1975. Kemudian, melanjutkan Diploma Pendidikan selama setahun dan lulus pada 26 Jun 1976. Pada 1974 abah pulang ke Perlis dan berkhidmat sebagai guru di sekolah Alawiyah Arau, Perlis dan tinggal bersama anak-anak yang masih kecil. Ummi berulang alik dengan keretapi dari Kuala Lumpur seminggu sekali menjenguk anak-anak dan suami di kampung. Setelah lulus Diploma Pendidikan, Ummi ditempatkan sebagai guru di SMK Tengku Sulaiman, Beseri. Abah dan Ummi membina rumah di Kampung Kersek, Mata Ayer Perlis bersebelahan dengan rumah bapa Ummi. Ummi dikurniakan 2 lagi anak lelaki iaitu Mohd Akram (kini pensyarah di Universiti Utara Malaysia) dan Ali Karimi (kini guru di Sabah). Setelah berkhidmat lama di SMK Tengku Sulaiman, Ummi dinaikkaan pangkat menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SM Tunku Bendahara,Kedah pada tahun 1991. Abah telah bersara awal sebagai guru, pada tahun 1990 bagi menumpukan perhatian pada penubuhan Maahad At-tarbiyah Al-Islamiyah. Dan, Ummi menjadi sukarelawan..mengajar bahasa Melayu sehingga pencen pada tahun 1998. Mulai tahun 1998, Ummi berkhidmat penuh di MATRI.

Saturday, May 23, 2009

SAJAK MIMPI

Semalam diterima warkah sempadan
Jerebu terus melanda hati
Bulan suram di bibir langit berkaca
Sedang dia tenang di pelukan cintaNya


Malamnya mimpi ngeri meracau
Dihantui gerombolan dua wajah
Bersama keris terselit
Mengacu keegoaan pembina
Siapa sasarannya?
Siapa mangsanya?
ya Azzawajalla
Mengapa begini
Sedang dia tenang di pelukan cintaNya


Serunya yakin dan mesra
Mimpi itu mainan belaka
di hatiku surah Al-Ankabut
bertahta...
di sanalah kita



Walau menyusul mimpi bercandu sedu
gerombolan dua wajaah bertaring merah
mengikat mengheret sasaran
menghembur caci nesta
kan dibawa ke sempadan
kepuasan berpeta di dada
kesalan meronta melata
kasihanilah dia
pejuang kecil berwawasan
sedang dia tenang di pelukan cintaNya
serunya mesra mimpi itu lumrah dunia
suburkan di jiwa surah al-Mulk



Malam itu
kau datang lagi tanpa undangan
dengan api menyala di tangan
ingin membakar MATRIku
tidak.............!!!
dia wasilah redhaNya
sumber pembangunan ummah
menjerit hati menghambat segala
sedang dia tenang dalam pelukan cintaNya



Keringkan airmatamu, sayang
Allah ada...
kebenaran pasti penghapus kebatilan
tanam dalam-dalam di kalbu


Persetankan segala mimpi
igauan penggerak rasa
hakikatnya ketara
tiada jalan tanpa likuan
tiada pendakian tanpa curangan


Sinarkan tuju
Perkasakan amal


Sama mara berjuara
meniti di ambang syurga
Amin...


Nukilan :


Ummi Halimatun 1997

Friday, May 22, 2009

HARI-HARI TERAKHIR UMMI DI CCU



Aku berdoa pada Allah agar diberi kekuatan menulis dan berkongsi saat-saat kritikal Ummi di CCU. Aku redha dengan pemergian Ummi walaupun mengejutkan semua orang. Aku cuba mendapatkan ketenangan dan ketabahan dalam mengimbas kembali detik-detik yang amat memilukan dalam hidup ini...saat-saat akhir menghadapi pemergian Ummi mengadap Allah. Hakikatnya, hambaMu ini seorang yang kerdil lagi lemah...terdetik di hati, Ya Allah, Engkau mengambil insan yang paling rapat, seorang ibu, seorang yang menjadi tempat mengadu dan mendapat semangat di kala rasa lemah. Bagaimana harus kuhadapi hari-hari tanpa Ummi di sisi. Detik-detik ini kukongsikan untuk tatapan anak-anak ummi..walaupun anak-anak tanpa talian darah.Kutahu Ummi bukan ibuku...atau 4 anaknya, Akmal,Amani,Akram dan Ali tetapi di luar sana...ribuan anak-anaknya yang meratapi dan hiba dengan kehilangannya, anak-anak didiknya yang kini berada di merata pelusuk dunia...Doakanlah untuk ummi setiap kali selepas sembahyang..semoga rohnya bersama orang-orang yang soleh.


Aku cuba mengimbas kembali kenangan pilu itu...


12hb Mei 2009 (Selasa)

Pukul 11 pagi, aku menelifon Ummi. Suara Ummi ceria sekali..lama kami berbual..dia kata Ummi dah sihat, mungkin esok boleh balik dah. Aku tanya Ummi nak sup ketam (untuk pulihkan demam denggi)? Ummi kata tak nak, teringin nak makan ikan bakar..nanti nak pesan kat Abang Akmal. Tanya ada sape dengan ummi..Ummi kata Akram. Abang Akmal balik tidur, mungkin tak selesa tidur di wad. Ummi tanya Audad, babyku masih menangis malam? Dia masih lagi menangis malam. Aku bagitahu ummi lepas zohor nanti aku dan suami akan ke wad menziarahi ummi.

Dalam pukul 11.30 tengahari, ummi makan bersama Akram dan Ayan. Banyak ummi makan tengahari ini. Ummi teringin nak makan ikan bakar, pesan pada Abang Akmal..nanti Abang Akmal datang dengan abah. Kemudian Ummi terasa pahit mulut, teringin makan asam ko. Ayan pergi beli asam ko di kedai hospital. Lepas makan, Ummi tidur nyenyak kata Ayan. Akram pun turut tidur. Tiba-tiba, ummi terbangun....dia kata rasa sejuk, ambik selimut...selimut ummi. Ayan lari pi ambik selimut, selimut seluruh badan ummi, ummi masih sejuk. Ayan gosok untuk panaskan kaki tangan ummi dan letak bam.Ummi semakin sejuk hingga menggeletar. Akram peluk ummi kuat. Ummi kata jangan peluk kuat sangat..sakit. Abah dan Abang Akmal dalam perjalanan ke hospital. Abang Akmal datang dengan abah dari Mata Ayer..kemudian pergi makan. Abang Akmal belikan Ummi ikan bakar. Akram telifon, waktu tu abah dan Abang Akmal dah ada di entrance hospital. Abah kata, dia rasa sesuatu yang tak kena bila Akram telifon.Kemudian abah sampai dulu sebab Abang Akmal parking kereta. Abah terus berada di sebelah ummi. Sabar, Mah...sabar, ingat Allah, pujuk abah sambil memegang ummi. Abang Akmal pun sampai.Tiba-tiba Ummi rasa sesak nafas, ummi kata, ummi penat sambil membongkokkan diri dalam mengiring.Akram pergi panggil doktor. Keadaan jadi kelam-kabut, cemas....doktor minta ummi tidur melentang untuk check dada ummi. Ummi tak nak sebab dada ummi makin sakit. Setelah dipujuk ummi pun tidur menelentang dan dada ummi diperiksa, doktor mengesahkan ummi mendapat serangan jantung. Doktor meminta semua berada di luar wad. Ummi makin teruk, ummi makin sukar bernafas.

Akram telifon aku tapi telifonku tiada bateri, dia telifon suamiku, Abang Zaini. Waktu aku sampai, abah, abang Akmal, Akram dan Ayan ada di luar bilik wad. Kelihatan doktor dan nurse kelam kabut keluar masuk bilik wad. Langsir di katil ummi ditutup. Aku menangis terus-terusan tanpa dapat dikawal. Abah juga melinang airmata, begitu juga Akram. Abah mententeramkan aku, duduk...doktor tengah usaha. Aku kuatkan semangat, menjenguk Ummi di katil wad. Aku duduk di belakang Akram, Akram sambil menangis minta Ummi bersabar, ingat Allah, mengucap. Banyak wayar-wayar diletakkan di dada, tangan, kaki ummi. Ummi bernafas kuat, dadanya berombak..doktor panggil nama Ummi. Dalam masa yang sama nurse inject dan letak drip ...aku sendiri tidak faham keadaan itu...semuanya begitu pantas. Doktor bertambah dari 2 orang menjadi 3 kemudian 4 (mungkin doktor pakar). Lepas doktor bagi inject ubat pada ummi, kelihatan ummi kurang sesak nafas..kemudian dalam beberapa saat kembali sesak nafas. Aku takut dan tak sanggup melihat keadaan Ummi. Aku keluar sambil menangis pergi kepada Abang Akmal.Aku berkata, masuklah abang, tolong ummi...masuklah tengok ummi. Abang Akmal kata dia tak boleh masuk...etika kerja walaupun doktor tapi bila melibatkan keluarga terdekat, doktor yang lain kena take over. Tambahan pula abang Akmal tidak bekerja di hospital ini. Abah terus berkata, ingat Allah...bersabar. Abah waktu itu cukup tabah walaupun kutahu abah menahan pilu yang amat sangat, melihat isteri tersayang sakit bertarung dengan maut. Abah suruh telifon Ali di Sabah, minta balik segera...bersama isteri dan anaknya,Auni. Mak Lang dan kak Safur pun telifon, aku dalam menangis minta m.lang pulang ke Perlis segera. Setelah kurasa kuat dan tenang sedikit, aku masuk kembali ke bilik wad ummi.Ummi kata, dahaga...nak minum air. Doktor tak bagi...aku ajak Akram mendekati Ummi.Kuurut dada ummi, Akram letak air di bibir ummi dan dahi ummi. Ummi sebut, Ya Allah...sakitnya dada. buatlah cepat..Aman (merujuk pada abang sulungku) mai la..buatlah cepat di dada ni. Abang Akmal tak masuk. Hanya aku dan Akram sahaja di sisi ummi. Sambil menangis,kami mententeramkan ummi..sabarlah ummi, ingat Allah, mengucap...doktor tengah ikhtiar. Tiba-tiba, ummi semakin kuat bernafas..dadanya makin sakit dan ketat...nampak kesukaran ummi bernafas, dia menggelabah tiba-tiba. Doktor minta kami keluar dari bilik wad. Kedengaran arahan doktor pada nurse minta bersedia alat shot ( kejutan elektrik pada dada). Aku cemas..rasa macam nak pitam..Ya Allah selamatkanlah Ummi, tolonglah ya Allah. Pintu bilik wad ditutup. Aku tak tahu apa yang berlaku di dalam sana. Kami anak-anak menangis, abah juga mengalir air mata..dia tak sanggup lihat keadaan ummi. Abah hanya duduk di kerusi tepi bilik wad. Kata abah( selepas seminggu peristiwa ini), abah dah rasa waktu ummi sesak nafas...ummi akan meninggalkan kita. Kuat perasaan abah kata ummi tengah nazak.

Bila pintu dibuka, kami meluru pada doktor...doktor bagitau ummi dah koma...jantungnya lemah sekali, amat kritikal...kami perlu bersedia apa-apa kemungkinan. Ummi akan dimasukkan ke CCU ( Unit Rawatan Rapi untuk serangan jantung). Ummi menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan. Semasa pintu bilik wad dibuka, dan katil ummi ditolak keluar..tiba-tiba doktor dan nurse kelam kabut...tolak kembali katil ummi ke dalam, dan pintu ditutup. Ya Allah, apa pula yang berlaku. Doktor bagitahu, tiba-tiba kondisi jantung ummi tak stabil, lemah dan perlu diberi tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa ummi.

Beberapa minit kemudian, pintu wad dibuka semula. Ummi diusung keluar ke wad CCU. Doktor menerangkan keadaan Ummi...yang sempat kufahami kata-kata doktor...kondisi ummi amat kritikal, jantungnya amat lemah. Dia kena serangan jantung..dan tak ada kaitan dengan demam denggi. Sekarang dia menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan. Keluarga perlu bersedia bagi sebarang kemungkinan. Kami telah usaha semampu mungkin.

Kami pun bergerak ke CCU. Acu Khairul, Mak usu, dan ramai lagi yang datang. Bila sampai di CCU, kami tak dapat masuk. Kami hanya boleh tunggu di luar wad. Lama kami tunggu di luar. Ramai kawan-kawan, saudara mara dah sampai. Ali belum sampai lagi.

Kemudian, pintu CCU dibuka..waris terdekat, abah dan kami anak-anak ummi dibenarkan masuk. Doktor menerangkan kondisi ummi, macam penerangan tadi, masih sangat kritikal dan tak stabil. Aku lihat ummi di wad CCU...penuh dengan wayar besar dan kecil. Dada Ummi turun naik mengikut gerakan mesin. Ya Allah! Mampukah kuhadapi semua ujianMu ini?

Dari tengahari hingga malam, aku serah babyku. Audad pada bibik...dia tidak pernah ditinggalkan dan belum diajar minum susu dalam botol susu. Moga-moga Idah mampu menjaga babyku dengan baik. Aku tak akan pulang meninggalkan Ummi walaupun tidak dapat menjaga di dalam wad CCU. Kami semua tidur di depan pintu CCU. Malam itu, mak lang dan anak-anaknya sampai dari KL, kemudian Kak Ina, kakak suamiku dari Ipoh, kemudian Ali, adik bongsuku, Aisyah dan anaknya Auni yang sering disebut-sebut Ummi pun sampai. Mereka dibenarkan masuk..aku masuk bersama malam itu...ummi masih seperti petang tadi. Dada Ummi bernafas tinggi mengikut mesin pernafasan itu. Mata ummi tertutup rapat. Kubisik di telinga ummi, ingat Allah..dan kuajar ummi mengucap


13hb Mei 2009 (Rabu)

Sebelum subuh, aku rasa seluruh badanku sejuk...mungkin masuk angin kerana aku masih dalam pantang. Aku dan suami pulang solat subuh di rumah, menyusukan baby dan bertungku. Kemudian aku dan suami pergi kembali ke CCU, menunggu Ummi di luar wad. Waktu aku sampai, Ayan yang tinggal, abah dan adik beradikku yang lain pergi mandi dan bersarapan. Kami berganti. Pagi itu kami tidak dibenarkan masuk hingga tiba masa melawat pada pukul 12.30 tengahari hingga pukul 2.00. Pukul 10.00 ramai saudara, sahabat handai dan anak didik ummi datang untuk menziarahi ummi. Abah dan kami adik beradik masuk dahulu melihat kondisi ummi...masih seperti semalam. Abah berbisik di telinga ummi,"Mah, ingat Allah...kuat semangat, bersabarlah" dan abah mengajar ummi mengucap dua kalimah syahadah. Kelihatan abah sedih sekali, airmata abah bertakung..abah tunjuk kuat di depan anak-anak. Suara abah sebak bila abah mengajar Ummi mengucap. Kemudian kami beri ruang pada orang lain...saudara, sahabat dan anak didik ummi dan abah melawat Ummi. Mak su (Tikam batu) datang berbisik di telingaku, keadaan ummi tidak boleh tinggal..kena ada anak-anak di sisi mengajar mengucap dan baca surah Yasin. Aku segera pergi pada Abah mencadangkan perkara tersebut. Abah pun berpendapat begitu. Aku rasa tidak kuat waktu itu, Ali dan Abang Akmal pun begitu...Akram mula jaga ummi. Akram menangis sambil membaca yasin dan mengajar Ummi mengucap....sebab tiap kali Akram berbisik di telinga Ummi, Ummi mengalirkan airmata.

Petang itu, pukul 4.30 petang..kami adik beradik masuk semula menziarahi ummi.Aku masuk bersama Ali dan Aisyah. Ali menangis teresak-esak, begitu juga diriku dan Aisyah..ku bisik di telinga ummi, Ummi bangunlah..semua anak-anak Ummi ada di sini, Auni..cucu ummi yang ummi selalu sebut balik, bangunlah ummi. Kelihatan airmata ummi melinang di hujung mata ummi yang terpejam. Kukesat airmata ummi, aku bersyukur ke hadrat Allah kerana Ummi memberi respon bila kami berbisik di telinga Ummi walaupun hanya dengan airmata. Kubisik lagi sambil menangis..Ummi bangunlah..ummi janji dengan abah nak ke umrah..bangunlah ummi, abah tunggu ummi. Sekali lagi ummi mengalirkan airmata. Aku jadi terharu dan gembira bercampur baur melihat perubahan itu. Kutanya...Ummi nak jumpa abah dak? Abah kat luar tunggu ummi dari semalam. Ummi nak jumpa abah dak? Bukalah mata, ummi. Tiba-tiba, kening ummi bergerak. Waktu itu, kufahami dan kutahu ummi berusaha memberitahuku dia nak bertemu dengan abah, kekasih hatinya, teman hidupnya setelah 42 tahun tinggal bersama. Dalam esakan, aku terus keluar meluru pada abah di luar wad CCU, menceritakan peristiwa itu dan mengajak abah masuk. Abah dalam sebak mengambil baju putih wad yang kupakai dan dia masuk ke dalam sambil dipimpin suamiku. Disisi ummi, abah menangis sambil berkata.."Mah, bangun Mah...kata-kata abah tersekat-sekat dalam hiba...mana mampu menahan perasaan melihat insan yang paling dicintai, insan yang berjanji bahagia hingga ke akhir hayat, mengharungi ujian dan rintangan hidup dalam medan dakwah, insan yang menjadi pendorong, kekuatan abah dalam mengharungi medan jihad ..medan dakwah yang penuh dugaan....kaku, terpejam tanpa suara. Ummi yang selalu ramah bercerita pelbagai cerita, yang menghidupkan suasana yang hambar terus membisu.

Suamiku membawa anak-anakku Aufa dan Atfa masuk melihat tok ummi mereka. Mereka menangis teresak-esak..abah bisik di telinga ummi dalam suara hiba.."Buka mata, Mah..ni cucu-cucu mai ni" Adikku tidak dapat mengawal perasan, menangis teresak-esak. Abah dalam hiba..kata "Kita kena sabar, kena tabah...ingat Allah", "Allah dah tentukan semua ujian ni". Waktu abah keluar..abah kena papah..kerana dia dah tak tertanggung sedih dan hiba dengan keadaan ummi.

Lewat petang itu, abah menyendiri di kerusi bawah tangga wad CCU, kulihat abah berwirid sambil baca al-Quran. Dia cukup teruji dengan keadaan Ummi. Waktu itu jelas..betapa tingginya kasih dan cinta abah pada ummi, isterinya. Kak Sapur dan Abang Azhar (dari Negeri sembilan), anak saudara abah datang, bersembang dengan abah..berkongsi dan memujuk abah untuk pulang berehat. Kata kak safur pada abah,"Anak-anak sedih dengan keadaan mak njang, dan mereka bimbang dengan kesihatan dan keadaan pak njang, pak njang kena kuat,tabah dan jaga kesihatan supaya anak-anak juga kuat hadapi ujian ini. Kita tak tahu berapa lama kena jaga di CCU ni..pak njang kena ambik masa, rehatkan diri..dapatkan tenaga dan kekuatan.". Sebelum ini ramai sahabat-sahabat abah pujuk balik rehat, pelawa rehat di rumah mereka yang dekat dengan hospital tapi abah enggan..dia tak nak tinggalkan ummi. Tapi setelah dengar kata-kata kak safur, anak saudaranya..dia terus telifon cikgu Nordin (sahabat baiknya) untuk rehat dan tidur di rumah cikgu Nordin. Alhamdulillah.


Aku pulang dari hospital lewat malam, terpaksa pulang kerana babyku menangis kuat.


14hb Mei 2009 (Khamis)

Malam tadi aku langsung tidak dapat tidur, Audad babyku menangis terus-terusan. Selepas subuh, baru dia berhenti menangis. Pagi itu selepas subuh, suamiku Zaini masuk bersama abah dan Ali. Wajah Ummi nampak bersih, tenang dan ceria berbanding semalam. Dadanya tidak seperti kelmarin, ia seolah-olah bernafas sendiri tanpa bantuan mesin. Doktor menjelaskan dengan detail pada abah, alatan..ubat dan mesin-mesin yang berada di bilik ummi. Kata doktor, tiada perubahan positif hingga pagi ini, malah air kencing ummi sedikit...doktor bimbang ada masalah pada buah pinggang ummi. Dalam pukul 9.30, suami pulang mengambilku ke hospital. Dalam pukul 11.00 pagi, ramai yang mula datang menziarahi ummi. Akram kelihatan sangat letih dan sakit. Aku mengambil keputusan dan kuatkan diri menjaga ummi hari ini bila masa melawat bermula. Tepat pukul 12.30 tgh, aku masuk ke dalam, duduk di sisi ummi..membacakan surah Yasin, membisikkan nama Allah dan mengajar ummi mengucap, memberi semangat agar ummi kuat menghadapi penyakitnya, meyakinkan dia bahawa ummi seorang yang tabah dan kuat semangat. Tapi hairan..hari ini bila aku membisikkan di telinga ummi, tiada airmata yang melinang..ummi seolah-olah sedang tidur..tenang sekali wajah ummi, malah dadanya tidak turun naik seperti kelmarin...seperti bernafas sendiri. Sedang aku membaca surah Yasin, Doktor Noram datang, nurse sedang menerangkan sesuatu pada dia. Dia seperti anak ummi sangat rapat dengan ummi. Aku mendekatinya dan dalam menahan esakan aku bertanyakan kondisi ummi.Dia diam agak lama...aku minta dia berterus terang. Aku kuat mendengar apa sahaja kondisi ummi. Dia memberitahu hari ini ummi demam agak tinggi, air kencing ummi sedikit..mungkin ada masalah di buah pinggang. Keadaan ummi masih seperti kelmarin, tiada perkembangan positif berlaku..masih tidak stabil. Aku reda semua itu. Aku kuatkan semangat menjaga ummi. Setelah sejam aku berada di sisi ummi, aku keluar dan memberi ruang pada Ayan, isteri Akram pula menjaga Ummi. Abah datang, abah nampak lebih tabah, sihat dan tenang. Respon abah padaku,"Kita serah kepada Allah..banyak berdoa padaNya". Pendek kata-kata abah tapi cukup bermakna untukku." Aku tak sanggup memberitahu abah yang ummi demam sebab pagi masa abah masuk jumpa ummi, ummi belum demam. Aku sedih sebab ummi tidak beri respon seperti semalam...aku hampir putus asa. Aku menangis seorang dan suamiku datang mententeramkanku.

Selepas zohor, keadaan Akram nampak sangat lemah. Aku menasihati Akram rehat di homestay yang ditempah suamiku yang terletak berdekatan dengan hospital.Lalu Akram, Ayan dan abah pergi ke homestay tersebut. Tinggal aku dan Ali di luar wad CCU. Hampir pukul 4.30 petang, kelihatan abang Akmal, kak Aji dan anak-anak datang. Aku bagi ruang pada Kak Aji dan anak-anak masuk dahulu. Aku berjanji dengan Ali, petang ni kita berdua yang berganti jaga Ummi. Ali setuju. Aku bagitahu Ali, "Kakak masuk jaga 1jam setengah, Ali satu jam setengah,k". Abang Akmal panggil aku masuk. Kebetulan ada doktor di situ. Abang Akmal berbincang dengan doktor..kelihatan mata abang akmal merah. Aku tak berapa faham bahasa dan istilah doktor. Tapi nurse dan doktor bagitahuku, kami dah beri dos yang maksima hingga kini. Keadaannya makin tidak stabil. Tadi pukul 3, berlaku sekali lagi serangan....kami tak sempat inform waris, kemudian jantung kembali berfungsi. Anak-anak perlu reda dan bersedia the worst. Aku kuatkan hati mendengarnya...aku perlu kuat dan reda dengan semua ini.


Abang akmal keluar. Tinggal aku seorang menjaga ummi. Kutatap wajah ummi, kucium dahi ummi..sejuk. Aku sentuh kaki dan tangan ummi. Tangan inilah yang membelaku, membelaiku...aku mennagis..kuajar ummi mengucap dan ingat nama Allah. Tiada lagi airmata yang menginang di hujung mata ummi. Kubaca surah Yassin di sisi ummi, sambil mataku memandang mesin..nombor-nombor yang tertera tekanan jantung, nadi dan sebagainya. Demam Ummi dah kebah kata nurse. Sudah sejam aku berada di sisi Ummi. Kulihat tetamu makin ramai menziarahi ummi. Aku terpandangkan nombor-nombor di mesin di sisi kepala ummi.Kenapa angkanya makin menurun berbanding pagi tadi. Kutatap ummi...wajahnya tenang seperti sedang tidur. Kupandang lagi nombor-nombor itu..makin jatuh. Aku rasa gelisah, hatiku rasa tak mampu hadapi situasi ini. Segera kusms pada Akram...dia dah kuat untuk ganti aku di sini? tiada jawapan. Aku rasa pening, mungkin banyak menangis sepanjang menjaga ummi. Terus-terang aku tidak mampu bertahan lagi setengah jam. Aku betul-betul tidak kuat menghadapinya. Kubisik di telinga ummi, bertahanlah ummi..kuatkan semangat, kubisikkan kalimah Allah dan La ila ha ilallah. Sebelum aku keluar, kucium dahi dan tangan ummi.

Aku menangis. Ali terus mengganti tempatku di sisi ummi. Di luar, aku tidak tahu siapa yang menziarahi. Terngiang-ngiang kata-kata doktor, kami beri dos yang maksima dan antibiotik pada emak, jumlah orang yang masuk terlalu ramai tidak membantu emak malah membahayakan dia. Abang Akmal juga berkata begitu, aku buntu pada siapa nak kukongsi...aku call Usu..tiada jawapan. Aku bagitahu mak usu. Kemudian Usu tapi aku tidak berterus-terang tentang kondisi ummi yang makin kritikal. Suamiku datang, dia nampak aku amat lemah..dia ajak aku ke homestay..mandi dan menyusu baby.Kuturuti langkah suamiku. Sampai di homestay, hanya beberapa minit, dapat call dari kak tini...ummi tenat. Abah minta aku dan suami pergi dahulu..dia rasa tak kuat.

Suamiku memecut kereta. Terus kumeluru masuk.Kulihat Ali terduduk menangis. Ya Allah! Ummi dah nazak, Acu, abang akmal dan suamiku mengajar ummi mengucap dua kalimah syahadah. badanku rasa ringan, kumenangis tanpa kawalan. Mulanya aku memaut di belakang suamiku, meraih kekuatannya untuk menghadapi situasi genting itu. Kemudian aku tak sanggup menghadapinya..kujenguk, mengapa abah dan Akram belum datang. Seketika kemudian, abah datang dipimpin akram..abah menangis. Nama ummi dibibirnya, Mah!Mah!. Abah ambil alih duduk disisi kepala ummi, mengajar ummi mengucap, abang Akmal memegang abah yang hampir rebah menghadapi saat-saat kehilangan dan pemergian ummi. Dan Acu memegang tangan abah. Manakala Akram ambil alih tempat suamiku di telinga kanan, mengajar ummi mengucap. Aku tak sanggup menghadapi situasi itu...aku tak kuat, rasa macam nak pengsan tapi kugagahi...hingga kudengar abah sebut Qalu..Innalillah....kami meraung dan menangis. Abah juga menangis. Abah kata tidak salah menangis tapi jangan keluar suara. Ummi kembali ke Rahmatullah pukul 6.15 petang. Suami berada di sisi Ummi ketika itu, melihat dengan dekat saat-saat ummi pergi, kata suamiku hanya sekali tarik...dan lembut hembusan akhir ummi. Di luar ...hujan rintik-rintik mengiringi pemergian ummi.


Aku amat sebak melakar kenangan ini...sambil menekan huruf, airmataku membasahi pipi...aku tidak mampu meneruskan cerita sedih ini....semoga ummi dilindungi Allah dan dirahmatiNya. Semoga rohnya bersama orang-orang yang beriman.Amin.



Thursday, May 21, 2009

Kenangan Hari-hari Terakhir Ummi

Hari ini genap seminggu pemergian ummi....aku rasa semakin kuat dan tenang. Di ruangan ini aku cuba mengimbas kembali kenangan hari-hari terakhir ummi.

1 hb Mei 2009 (Jumaat)

Anakku, Ahmad Audad dah berusia 21 hari. Entah kenapa dia mula menangis malam, bermula pukul 12 tengah malam hingga pukul 3 pagi. Ummi hari-hari datang melawat Audad semasa aku berpantang di rumah sendiri. Aku lebih senang berpantang di rumah sendiri kerana tidak mahu membebankan ummi dan abah. Hari ini, ummi kasihan melihatku sakit kepala kerana tidak cukup tidur.Dia pergi mengambil ubat cara kampung di Repuh. Petang itu, lama ummi singgah di rumah. Dia membawa air penawar dan minyak untuk diletak di peraut baby. Sambil melihat Audad, ummi banyak bercerita denganku. Dia baring di atas tilam kuberpantang. Dia memberitahuku sekarang dia cepat letih.Ummi kata, dah hari-hari tengok Audad, lupa pulak macamana rupa Auni, anak Ali. Aku cuba berkongsi dengan ummi. Kataku, Akram ada berbincang.. dia sanggup tinggal dan jaga ummi dan abah...mungkin bulan 9 ni Ayan akan minta tukar ke Perlis. Tapi Akram tak pasti adakah rumah yang abah ummi tinggal, dijanji untuk Ali. Akram rasa tak sedap kalau memang berjanji untuk Ali. Akram minta kakak bertanya pada Ummi. Ummi bagitau dia tidak pernah berjanji rumah itu untuk Ali. Dia kata, Ali tak bolehh duduk di Mata Ayer, Akram yang boleh tinggal dengan abah...(tanpa sebut namanya). Kakak Amani dan Abang Akmal dah ada rumah sendiri. Abah tentu tak nak tinggal di rumah anak2....dia nak tinggal di rumah sendiri. Waktu itu, aku tidak terfikir pun bahawa ummi langsung tidak menyebut namanya. Ya Allah...kenapa waktu itu tidak terlintas di fikiranku bahawa ummi memberi bayang. Cuma minta Ummi ...jangan robohkan rumah itu, perbaiki sahaja yang rosak terutama bahagian perpustakaan ke dapur.


Dalam sembang dengan ummi, dia buka perbincangan tentang Unimap... adakah aku dah bulat hati nak nak terima tawaran unimap. Aku berterus terang bahawa rasa kurang berminat berpindah ke sana dan berat untuk tinggalkan IPP. Lagipun seniority dalam perkhidmatanku selama 12 tahun akan lupus. Ummi pesan..walau bekerja di mana pun, sambunglah belajar Phd. Ummi lebih suka kalau aku berpindah ke Unimap...sebab tak banyak keluar. Tapi aku dah tolak tawaran Unimap. Banyak yang kami berkongsi hari tu...



2 hb Mei 2009 (Sabtu)


Hari ini hari yang ke 22 aku berpantang. Kepala makin sakit kerana Audad makin kuat menangis. Dia tak kembung perut.Aku berganti dengan suamiku...kasihan dia, kena berjaga dan pagi-pagi kena pi kerja pulak. Tengahari mak ayah mertuaku datang ke rumah dari Perak. Mereka keluar pergi kenduri. Petang tu, dalam pukul 5.00 ummi telifon bagitau dia terseliuh dan sekarang di rumah Tok cik Tijah. Suamiku A.Zaini pergi ambik ummi dan tok balik ke mata ayer. Ummi bercerita, di kebun Semadung, dia sangka ular. Dia pun larikan diri sebab fobia dengan ular. 2 kali dia terjatuh...rupanya biawak. Kasihan ummi. Aku hanya boleh bercakap dengan ummi di telifon sahaja sebab x dapat keluar rumah kerana masih berpantang. Aku mencadangkan agar ummi telifon Akram sebab hujung minggu. Ummi kata kalau sakitnya tak hilang, dia akan call Akram.



3 hb Mei 2009 (Ahad)


Hari ini 23 hari aku dalam pantang. Audad makin menangis malam...hingga ke subuh. Aku dah buntu bagaimana nak ikhtiar. Telifon ummi tanya keadaan kaki ummi yang terseliuh. Dia bagitahu Akram bawa pi x-tray di klinik Menon... takut patah/retak. Alhamdulillah... tak patah/retak cuma terseliuh.Lepas pi klinik, abah, ummi, akram dan ayan pi makan di restoran di kangar. Ummi belum demam lagi.



4hb Mei 2009 (Isnin)


Audad tidak berubah....masih menangis malam. Telifon ummi, dia bagitau rasa macam demam. Mungkin sebab terseliuh tu kot, katanya.Tapi kaki terseliuh tu dah baik. Ummi gagahkan diri dia pergi ke MATRI. Ummi balik awal sebab rasa lemah dan pening kepala.



5hb Mei 2009 (Selasa)


Audad makin teruk sawan tangisnya...sampai ke subuh. Badanku rasa macam nak demam sebab tak cukup tidur. Call ummi untuk berkongsi masalah Audad dan bertanya khabar.Banyak hari ummi tak datang rumah. Selalu tiap-tiap hari ummi datang rumah. Ummi kata demam dia makin teruk. Dia minta ubat kat Acu tapi tetap tak berubah. Ummi kata rasa sakit semua badan...lain macam demam ni. Aku pun telifon Akram...aku nak pergi menjaga ummi, Audad makin teruk sawan tangis. Akram bagi tau dia tidak dapat balik sebab nak kena pergi Kuala Lumpur.


Malam tu, aku minta suamiku menghantar ummi ke klinik dan membawa bubur nasi untuk ummi. Ummi tak lalu makan. Suamiku membawa ummi ke klinik Balkis di kangar. Ummi nampak lemah sangat...doktor bagi injection dan ubat antobiotik pada ummi. Aku telifon ummi...rasa bagaimana? Ummi bagitahu rasa kurang sikit sebab kena inject.



6hb Mei 2009 (Rabu)


Pagi ini aku bangun lewat sebab Audad menangis dari pukul 12 tengah malam hingga 6.00 pagi. Suamiku pun pergi kerja lewat. Call ummi...ummi kata rasa kurang sikit tapi tetap tak lalu makan. Pukul 11 pagi aku kuatkan hati cuba drive kereta ke rumah ummi. Tok pun tak sihat... sebelum tu minta izin suami dulu..dia izinkan dan kata bawa hati-hati. Aku masak nasi bubur untuk ummi. Aku suap nasi bubur hanya 2 sudu..ummi dah tak mau. Ummi asyik tidur dalam selimut. Dia kata nak angkat kepala pun tak boleh. Kemudian, lihat abah asyik tidur di kerusi panjang. Aku menghampiri abah...tanya kesihatan abah..abah kata kencing manis dia naik, tekanan darah pun naik...mungkin sebab susah hati tengok ummi demam. Ummi selalunya kalau demam..dia cuba bangun jugak, tapi kali ini lain...dia asyik baring aje.Abah bagitau petang ni dan malam ni kena pergi chek semula kandungan gula dalam darah. Petang itu, suamiku balik kerja awal..bawa abah ke klinik. Malam itu, aku kirim bubur nasi pada ummi...suamiku lagi sekali bawa abah ke klinik. Alhamdullillah, kandungan gula abah turun. Aku bersyukur kepada Allah kerana memberi suami yang amat memahami dan sanggup meluangkan masa membawa ummi dan abah ke klinik. Anak-anak yang lain jauh...di KL, Sabah dan Perak. Aku pulak masih dalam pantang dan rasa macam demam sebab dah hampir seminggu Audad menangis malam. Suamiku bagitau ummi tak berubah..malah muntah-muntah. Mungkin sebab tak lalu makan, angin masuk perut.



7 hb Mei 2009 (Khamis)


Ummi masih lagi demam. A.Akmal bagitahu..kena bawa ummi ke makmal chek darah & denggi sebab demam dah 4 hari. Suamiku bawa ummi ke makmal darah (private) di kangar. Dia bagitahu ummi berlainan sekali...lemah sangat, muntah dalam kereta. Keputusan darah tu esok baru tahu. Aku tak senang duduk... cadangnye nak tidur di rumah ummi tapi suamiku kata, lagi mengganggu ummi abah sebab dia asyik menangis malam. Dahlah ummi abah tak sihat, kena berjaga cucu pulak. Jadi, kami buat keputusan hantar bibik Idah ke rumah ummi, sekurang-kurang boleh tolong masak dan tolong apa yang patut. Call Akram, dia masih di KL, urusan Phd.Dia akan balik terus ke Perlis esok.Mungkin sampai esok malam.



8 hb Mei 2009 (Jumaat)


Pagi telifon suamiku tanya keputusan darah ummi..alhamdulillah denggi negatif. Abang Akmal call minta faxkan keputusan darah pada dia. Tengahari masa orang solat Jumaat, aku call ummi tanya perkembangan demamnya...dia bagitau demam tu rasanya dah kurang tapi rasa senak memulas. Aku bagitau ummi lepas zaini balik solat Jumaat, kami akan pi rumah ummi.Rupanya, ummi call abang Akmal. A.Akmal suruh abah bawa ummi ke hospital. Abah bawa ke hospital selepas balik solat Jumaat. Masa abah bawa ummi ke bahagian kecemasan, dimasukkan ke dalam bilik separa kritikal. Abah cerita lama juga tunggu giliran jumpa doktor.mereka ukur suhu badan ummi ...dak tak demam, tekanan darah 126/85 tapi disebabkan demam 4 hari , doktor ambik ujian darah. platelet ummi 15, rendah sangat...so, doktor suspect denggi. Ummi dimasukkan ke dalam wad 3 (1 bilik 4 orang), agak tidak selesa. Abah balik sekejap. Suamiku zaini take over. Dia lihat keadaan bilik yang ummi duduk tidak selesa, jadi dia berusaha mendapatkan wad first class (1 bilik 2 orang). Ummi pindah ke wad first class maghrib hari Jumaat. Abang Zaini tunggu di wad, kemudian Akram sampai. Ummi nak Akram yang jaga dia. Malam itu Akram jaga ummi. Aku di rumah menggelisah sebab dengar ummi suspect denggi. Rasa macam nak pergi jaga ummi di wad tetapi tak ada kemampuan dengan keadaan baby yang sawan tangis dan diriku yang tak sihat semasa dalam pantang. Mengapa ditakdirkan ummi sakit semasa aku dalam pantang. Dulu semasa ummi admit masa sakit psiorasis, appendic dan mata...akulah yang menjaga ummi tapi waktu ini...Allah tidak izinkan.



9 hb Mei 2009 (Sabtu)

Akram yang jaga ummi. Ayan tidur di rumah mata ayer sebab abah tinggal seorang. Abang zaini berulang ke hospital. Aku hanya mampu telifon ummi dari rumah. Ummi bagitau demamnya dah tak ada, tapi masih rasa sakit kepala dan lemah badan. Ada yang nasihat makan ketam dan kurma cina. Jadi, abang zaini pergi cari ketam. Susah juga nak dapatkan ketam sebab bukan musimnya. Aku masak sup ketam. Petang itu, call ummi...keputusan dah keluar, sah demam denggi tetapi bukan denggi berdarah. Ya Allah! Selamatkanlah ummi. Muntah-muntah dah berhenti, tapi masih tak lalu makan.Ummi makan sikit aje.Platelet ummi semakin naik, hari ini naik ke 25. Alhamdulillah. Malamnya, aku bermimpikan ummi. Audad masih menangis.



10 hb Mei 2009 (Ahad)


Hari ini, aku, suami dan anak-anak Aufa, Atfa, Asla, Ashmal dan Audad ke hospital. Sedih lihat keadaan ummi. Ummi nampak lebih sihat dan ceria. Tangan dia bengkak sebab drip air, kena ubah sebelah Aku masak sup ketam special...di wad aku suap ummi.Banyak ummi makan. Ummi kata sedap sup ketam...esok masak lagi untuk ummi. Lepas ummi makan, ummi baring. Aku picit kaki dan kepala ummi. Kemudian Akram,Ayan dan Abah datang. Akram bagitau Umrah tangguh ke bulan Ramadan. Aku berkata pada ummi, alhamdulillah sempat ummi sihat..boleh pi umrah. Ummi balas, ummi tak pi..Akramlah teman abah. Waktu tu aku hairan, sebelum ini ummi begitu beria-ia nak pi umrah. Tapi rasa hairan itu tak kuluahkan.

Waktu aku nak balik, ummi minta nak pegang baby baruku, Audad...suamiku letak atas dada ummi. Ummi pegang dan cium kepala baby.Kemudian ummi kata "Alhamdulillah".Semua anak-anakku cium tangan tok ummi. Aku cium ummi.



11 hb Mei 2009 (Isnin)


Hari ini aku rasa tak sedap badan, tiba-tiba sejuk badan...macam nak demam. Suamiku kata mungkin masuk angin sebab berjaga malam. Suamiku sorang saja yang ke hospital hantarkan sup ketam pada ummi di wad. Akram pi ambik guarantee letter.Petang Akram ambik Abang Akmal di airport. Malam, Abang Akmal ganti Akram jaga ummi. Aku sedih sebab tak dapat jaga ummi. Baby menangis sampai ke pagi.



12 hb Mei 2009 (Selasa)


Pagi ini aku rasa resah. Mengapa rasa tak sedap hati? Aku segera teringatkan ummi. Aku call ummi. Ummi yang angkat, suara dia ceria. Ia bagitau...dia rasa sihat hari ini..platelet pun dah naik 65. Ummi bagitau malam tadi pun dia dah boleh pi tandas sorang diri. Dia kata mungkin esok dah boleh balik. Aku bagitau nanti tengahari zaini balik, lepas zohor akan ziarah ummi. Ummi tanya Audad masih menangis lagi? Aku kata semakin menangis...sampai pagi.Kemudian, aku tanya ummi nak sup ketam ke? Ummi kata sup semalam masih ada, hari ini teringin nak makan ikan bakar. Semalam ummi teringin makan honey dew. Drip di tangan dah dibuang.

Pukul 1.00 suamiku call kata ummi sejuk tiba-tiba...sesak nafas, suara Akram macam cemas. Aku tiba-tiba rasa kelam..menggeletar tangan, Kaki rasa berat nak melangkah. Airmataku tak henti-henti turun. Aku menunggu kereta abang Zaini terasa sangat lama. Bila abang zaini sampai..aku terus meluru sambil menangis. Ya Allah, selamatkanlah ummi. Dalam perjalanan ke hospital, A.Akmal pula telifon.. hatiku berkata-kata..pasti teruk. Sampai di hospital aku terus meluru ke wad first class.Aku lihat semua ada di luar bilik wad...aku menangis tanpa dikawal. Abah mententeramkan aku. Kelihatan doktor dan nurse kelam kabut keluar masuk bilik. Pintu bilik masih dibuka. Akram masuk ke dalam bilik tapi duduk jauh dari ummi sambil berkata berulangkali, ingat Allah ummi, mengucap. Kemudian ummi bagitau dalam sesak nafas tu...dahaga nak minum air. Doktor tak benarkan..aku dan Akram berdiri di tepi ummi, aku usap dadaa ummi dan kepala ummi. Akram letak air di bibir ummi. Kami terus menerus ucap, ingat Allah...doktor tengah ikhtiar.. Ummi semakin sesak nafas. Sambil sebut Nama Allah,"Allah...Allah, sakitnya dada..cepatlah bubuh ubat...".Kemudian ummi macam meronta dan menggelabah...lepas tu doktor suruh kami keluar. Waktu itu tak dapat nak luahkan dengan kata-kata...suasana di situ...hiba,menangis, semua berlaku dengan tiba-tiba dan mengejut. Aku hampir pitam tapi dipapah oleh suamiku. Doktor keluar dan bagitau ummi sangat kritikal dan akan dipindahkan ke CCU.


Setakat ini dulu yang mampu aku kongsikan di sini. Aku cuba cari kekuatan untuk ceritakan seterusnya, saat-saat kritikal ummi di CCU hingga ummi menghembus nafas terakhir. Ya Allah, berikanlah kekuatan pada hambaMu ini. Amin.

Amani