Pages

Showing posts with label Us Dahlan...abah kita semua. Show all posts
Showing posts with label Us Dahlan...abah kita semua. Show all posts

Friday, March 19, 2010

Tersentuh dengan Coretan Saudara Thalhah..

Lama kutak luangkan masa dengan blog.. mungkin sibuk anak-anak nak exam, dan agak sibuk dengan rutin harian. Mungkin itu hanya alasan, hakikatnya menulis di blog ini juga seperti menulis di mana-mana atau memberi tazkirah atau bersembang...semua itu perlu dengan hati dan jiwa. Kita menulis dengan hati. Pagi ni tergerak kucoretkan sesuatu ...selepas terpandang coretan ringkas diCbox Apa Khabar, coretan ringkas saudara Thalhah... seolah memujuk kumenulis kembali. Katanya, ana sayangkan ustaz kerana Allah. Ya... tersentuh rasa hati menatap coretan ringkas itu. Abah seorang yang amat beruntung .. pada lahirnya hanya mempunyai 4 orang anak...tetapi hakikatnya, dia punyai ramai anak-anak...yang kasihkan dia kerana Allah, yang ingin tahu tentang diri dan kesihatannya, yang berada di pelusuk dunia, yang sering mendoakan kesejahteraan dan ketenangan buatnya. Jiwaku berbisik... anugerah itu bukan paksaan, rasa kasih dan sayang itu bukan kerana lama mengenal..juga bukan kerana ada hubungan darah. Rasa kasih itu lahir bila ikatan hati teguh, rasa ukhuwah yang mendalam, rasa keterikatan atas jalan Ilahi, rasa yang terbit hasil tarbiyah yang sebenar. Moga Allah pelihara rasa kasih itu, Allah jiwai agar terus kuat dan utuh menegakkan agama Allah, Allah pelihara hati-hati yang sayangkan abah kerana Allah..agar mereka tabah dalam medan jihad ini, sentiasa bersemangat menyedarkan masyarakat tentang kemanisan iman. Sering juga kucerita abah komen-komen dan maklumbalas pada abah... abah komen, internet ni bukan semuanya negatif..banyak yang positif. Ia memudahkan kita memberi tarbiyah pada masyarakat. Tapi ramai ahli masyarakat yang menggunakan internet untuk merosakkan masyarakat itu sendiri...menyebar fitnah dan bahan lucah. Kumengangguk tanda setuju.

Anak kecilku Audad merengek... dia dah 11 bulan, maknanya dah 10 bulan Ummi meninggalkan kita.. opss, dia kuatkan suara rengekannya dia bila kumasih menatap netbook ASUS  putih kesayanganku. Kita berhenti dulu,k.... moga rajin menjengah ke blog ini...juga blog enotapelajar.wordpress.

Thursday, March 18, 2010

Kehidupanku bersama abah...

Alhamdulillah, hari ke sehari abah makin sihat dan ceria. Walaupun begitu, jelas kelihatan tubuh abah yang susut. Semalam kuteman abah pergi urut refleksiologi kaki. Sambil teman abah, lebih baik kakiku juga diurut. Yang urut kakiku, seorang gadis buta, cekap dia mengurut...yang lucunya, yang meneman yang kerap menjerit sakit bila terkena point yang tepat. Abah relaks aje... Abah kata rasa ringan sikit. Abah ajak pergi lagi lepas 3 hari. Alhamdulillah...moga ia satu alternatif yang boleh mengurangkan kesakitan abah.

Minggu lepas, kami sekeluarga bawa abah pergi berehat sambil memancing di tempat ekuestrian di batu pahat, perlis. Suamiku menunggang kuda.. abah rehat seketika di kabin. Kubersama anak-anak memancing di anak sungai di dalam kawasan tersebut. banyak juga 'tiger fish' dalam anak sungai ni.. tiba-tiba abah datang, tanya ada lagi dak pancing ikan. Abah bawa kerusi yang boleh jadi tongkat. Kuserahkan pancing ikan pada abah. Seronok kulihat abah makin bersemangat dan ceria di samping cucu-cucunya. Hari itu, abah juara memancing..dapat 5 ekor ikan. Kami yang lain masing-masing dapat 3 ekor ikan. Mana boleh lawan juara memancing... Abah cerita, masa muda-muda, abah rajin juga memancing. Pernah pancing di sungai Pahang. Tiba-tiba dapat ikan besar...tapi ikan tu nak lepaskan diri. Abah terjun dalam sungai Pahang, bergelut dengan ikan besar tu..Akhirnya abah berjaya. Abah cakap orang yang memancing kena belajar bersabar..kalau tak bersabar tak boleh pancing.

Bimbang juga lihat perkembangan abah sekarang... salah satunya abah tak lalu makan macam dulu-dulu. Macam-macam lauk kucuba masak untuk abah... macam mana ye?. Kelmarin abah teringin makan kerang, alhamdulillah dapatla cari. Hari ni abah cakap teringin makan ketam kecil masak goreng tepung. Esok kucuba cari ...insya-Allah berjumpa.

Dah sampai waktu memasak...malam ni tok bagi perut masak lemak...moga-moga abah lalu makan.
Jumpa di lain lembaran.

Saturday, December 5, 2009

Bagaimana kasih sayang kita?

Kasih ibupada pada anak-anak sungguh besar. Bagaimana kasih anak-anak pada ibubapa? Ramai anak-anak melafazkan di mulut mereka... tetapi adakah apa yang kita lakukan untuk ibubapa kita cukup. Semakin kita umur kita bertambah, semakin  banyak tanggungjawab kita. Semakin matang kita, semakin jauh jarak kita dengan ibubapa kita. Kita akan belajar jauh dari kampung, kita akan mempunyai tanggungjawab sebagai pelajar kemudian bila dah berkeluarga, kita sibuk dengan suami/isteri dan anak-anak. Makin lama kita bekerja, kita bukan semakin senang tetapi semakin kita sibuk. Semakin hari, kita semakin kurang bersama ibubapa kita..masa berlalu pantas.Masa ibubapa kita juga makin suntuk...mereka makin tua dan uzur.

Jika 20 tahun dulu, kulihat abah seorang yang cukup segak..cergas dan banyak menghabiskan masa dengan amanah yang digalasnya. Bila kulihat sekarang, abah dah semakin uzur. Badan abah semakin kurus, sekarang abah belum dapat berjalan tanpa tongkat. Malah... abah terpaksa guna tongkat 4 kaki sebab kaki abah tak kuat..kalau guna tongkat biasa , abah nak jatuh..abah cakap, rasa paha dan lutut abah lemah nak melangkah. Menitis airmata ini melihat keadaan abah. Berbisik dalam diri, mampukah kuberbakti sebaik mungkin menjaga abah bersama anak-anak yang lain sebaik abah menjaga dan mendidikku sejak dilahirkan. Tadi baru kubersembang dengan Akram, Ayan isteri Akram dan suamiku, mengimbau kisah-kisah dahulu. Abah tidak pernah marah padaku masa dulu-dulu..kutanya Akram pasal apa ye abah tak pernah marah kakak, Akram dan Ali abah marah gak dulu-dulu. Akram kata, "macamana nak marah..kakak kan anak perempuan sorang". Abahlah yang menyedarkan diriku tentang nikmat Islam yang hakiki.

Kurasa terkilan juga tak lama jaga ummi masa ummi sakit. Arwah ummi jarang sakit teruk. Waktu arwah ummi sakit, kumasih dalam pantang lepas bersalin. Akramlah yang bertuah sebab dapat jaga ummi banyak hari di wad. Kumasih ingat, masa arwah ummi sakit..di mulut ummi asyik sebut dan tanya, macamana abah? abah makan apa?. Walaupun tengah sakit, masih bimbangkan makan minum abah.

Bagi yang sudi membaca dan menatap coretanku ini, rebutlah peluang yang ada.Kalau masih punyai ibu dan bapa, jagalah mereka sebaik mungkin..luangkanlah masa bersama mereka. Telefon dan tanyalah khabar selalu kalau berjauhan. Tanya dalam diri, pernahkah kita hadiahkan sesuatu pada mereka, masakkan makanan kegemaran mereka, urut badan mereka yang semakin tua, suapkan nasi, sikat rambut mereka, basuh baju mereka, doakan kesejahteraan mereka, dan tidak melukakan hati mereka. Bila kita kehilangan mereka, barulah kita rasa terkilan banyak yang tidak kita lakukan untuk mereka. Peluang itu tiada kali kedua.Bila peluang itu dah tiada, kita akan terkilan seumur hidup. Ibubapa tiada dua atau tiga. Merekalah ibubapa satu-satunya dunia akhirat.Percayalah...masa yang kita luangkan untuk ibubapa kita tidak sia-sia. Setiap saat kita berbakti pada mereka dihitung pahala.Walaupun sebukit masa dan tenaga kita luangkaan untuk mereka tidak setimpal masa, tenaga dan kasihsayang mereka tumpahkan pada kita sejak dalam kandungan hingga dewasa.

 Ibubapa selalunya tahu dan arif makanan kegemaran anak..bila pulang ke kampung..mak kita akan masakkan makanan kegemaran kita. Kita perlu tahu makanan kegemaran ibubapa kita, sekali sekala masaklah untuk mereka walaupun anak lelaki. Ibubapa kita pasti terharu dan gembira jika kita hadiahkan sesuatu walaupun tidak mahal tanda mereka di hati kita. Kuingat lagi, suatu hari abah nak pergi makan dalam majlis diraja Perlis..kena pakai baju kod penuh. Abah pun cari baju kod sepasang.. dah nampak lama..malah dah terkoyak tepi leher baju. Bila kulihat baju tu..berbisik di hati, kesian abah. Esok kubawa abah ke kedai jahit. Minta abah pilih kain...jelas terserlah di wajah abah..gembira. Bila baju tu dah siap lepas dua minggu, abah sangkut baju tu tepi katil, abah pakai dan tunjukkan padaku. Walaupun harganya tak mahal tapi bila hadiah tu dari anak.. mereka akan gembira. Terserlah di wajah abah kegembiraan itu.

Banyak yang masih perlu kufahami dan kongsi dengan abah. Baru-baru ini baru kutahu dari abah, abah belum pernah ke Cameron Highland. Baru-baru ini, kuterpaksa jadi pengiring student ke Cameron Highland..kebetulan waktu tu Akram ada Seminar. Jadi abah tak dak yang teman. Jadi kutanya abah, " Bah nak ikut adik ke Cameron Highland dak? Adik kena bawa student ke sana." . Abah kata, "Boleh jugak, abah pun tak pernah pi lagi sana.". Ya Allah, kasihan abah... dia belum pergi ke sana sedangkan anaknya ini dah lebih dari 5 kali pergi. Malu sungguh rasa hati. Tapi akhirnya program tu cancel. Kujanji dalam diri, lepas abah sihat nanti...kami akan bawa abah berehat kat sana. Moga kami ada ruang untuk tunaikan janji itu..dan moga abah cepat sembuh.

Thursday, December 3, 2009

Cebisan kisah anak abah

Hari ini dah 4 hari abah keluar wad di HUKM. Tapi abah belum boleh balik ke Perlis. Kena follow-up lagi di HUKM. Alhamdulillah abah dah semakin sembuh. Walaupun masih lemah, abah dah mula makan nasi. Hari ini masuk 2 hari abah minta kumasak rebung+cendawan masak lemak, tapi tak pedas sebab perut abah masih belum benar-benar sembuh. Abah ikut nasihat Dr Zamrin, minta abah makan telur separuh masak, kurangkan minyak dan pedas dan banyakkan makan sayur dan buahan.

Akram dah balik ke Perlis, dia akan ke KL bila kupulang ke Perlis, kami bergilir jaga abah. Kubergilir urut abah dengan Adik Ali. Sambil urut abah..kupandang wajah abah dalam-dalam... abah yang kusayangi dah  semakin uzur, tapi semangatnya cukup kuat. Dulu arwah ummi yang urut abah tiap-tiap hari, kini tangan anak-anak yang menggantikan tangan ummi. Malah, anak-anak didik abah juga bersama urut abah. Tiba-tiba, terbit persoalan dalam hati, berapa lama Allah beri peluang untuk kami berbakti pada abah, adakah peluang menyentuh kulit tua abah masih panjang atau sebaliknya? Kupandang lagi wajah abah...rambut abah dah makin banyak uban, garis-garis di muka abah juga banyak. Bila  tangan terus mengurut abah..Ya Allah, badan abah dah semakin kurus. Abah tidur nyenyak..malah kadang-kadang terdengar suara dengkuran. Alhamdulillah... dah lama abah susah nak tidur nyenyak. Waktu abah sakit teruk, lepas subuh baru abah boleh tidur.

Hati kembali bersuara, minda kembali berfikir... ada hikmah susunan dan tentuan Allah, mengambil arwah ummi dulu sebelum abah... Allah memberi peluang pada anak-anak abah berbakti pada abah, menjaga secara langsung, lebih akrab dan memahami diri abah. Bukan saja anak-anak kandung abah...malah anak-anak didik abah berganding bahu, saling menjaga abah. Abahlah bapa yang paling beruntung..mempunyai ramai anak-anak didik yang sangat prihatin, ikhlas dan kasihkan abah. Kudapat semangat dan kekuatan dari keikhlasan dan kasihsayang mereka pada abah...kasih kerana Allah, kasih dalam mencapai keredhaan Allah. Moga kasih itu berkekalan hingga ke akhirnya....

Saturday, November 28, 2009

Us Dahlan semakin pulih..

28 Nov 2009

Kondisi Abah hari ini.....

Pagi ini, raya kedua... kami di sisi abah. Akram dan Ayan tidur di HUKM. Pagi ini abah kelihatan semakin pulih walaupun masih nampak lesu. Tadi abah makan ice cream HPA... banyak juga. Lepas tu, abah sakit perut..rasa sebu... memulas. Doktor datang, dia cakap hasil scan..ok, ada batu dalam hempedu..akan dioperasi bila tubuh dah sihat. Paru-paru ada infection...sambung bagi antibiotik. Pastu..platlet dah naik 110. Cuma virus di usus tu yang masih dalam observation. Kemungkinan hari Isnin nak kena masuk spot dalam usus (tak berapa faham istilah doc.. rasanya masukkan kamera kecil ikut dubur kot). Baru dapat lihat apa yang berlaku dalam usus abah. Lepas abah diurut olehku dan cucu (Aufa, anak sulungku) abah terus nak kebilik air. Kutanya abah..warna najis abah...kata abah warna hitam. Dulupun warna najis arwah ummi - warna hitam juga. Doktor ajar abah senaman untuk kuatkan paru-paru abah. Ada 5 step. Suamiku beli nasi lemak. Abah nak cuba makan nasi lemak...dapat makan 2 suap, alhamdulillah . Abah nampak bersemangat semula. Wajah pun nampak ceria sikit. Tapi kaki masih lemah. Abah tak boleh tak diurut...kami terus-terusan urut abah, berganti-ganti. Sendi-sendi abah lenguh dan sakit.

Kami terhutang budi pada anak2 didik abah, doktor2 yang diketuai oleh Prof Dr Zamrin, pakar Kardio. Walaupun hari raya..tetap bersama menjaga abah. Kuterharu dengan pengorbanan mereka, mereka jaga abah macam ayah mereka sendiri.

Opps, sambil kumenulis...sebelah tangan urut abah. Abah dah lena. Kulihat abah mengigau dalam tidur. Tangan abah macam tengah menulis, tak pasti apa yang abah ngigau dalam tidur. Semalam, abah mengigau...cakap Arab.

Lama tak kucatatkan apa-apa di blog ini. Nak menulis di blog ni pun kena bersama hati. Bila meluahkann di sini, hati rasa lega dan puas..seolah-olah berkongsi dengan seseorang... mula-mula taip ganti diri 'ana'. pastu delete sebab kalau tulis ana macam tak selesa sebab ruangan ini luahan hati seorang anak.. 'ku' lebih selesa.

Sakit Denggi abah.....

Hati tertanya-tanya, mengapa abah dapat denggi macam ummi..nyamuk tu ada di Semadung (kebun abah) atau di halaman rumah abah?. Nyamuk Aedes hanya gigit waktu subuh dan senja aje... Abah selalu gak bagi makan ikan keli lepas subuh. Kolam ikan keli tu di belakang rumah. Sebenarnya ikan keli tu arwah ummi yang beli..banyak. Waktu beli masih anak keli. Jadi, bila ummi dah tak de..abahlah yang selalu bagi makan. Abah sayang sangat pada ikan-ikan keli tu. Waktu petang abah banyak luang masa di tepi kolam. Sambil bagi makan ikan keli..abah letak kerusi tepi kolam...sambil termenung. Kuyakin..abah termenung mengingatkan arwah ummi.

Friday, November 27, 2009

Bagaimana sakit abah?

Dah lama ku tak menulis di ruangan ini. Setelah membaca website Langit Ilahi, tergerak untuk meluahkan sesuatu. Allah amat kasihkan abah... setelah mengalami tamparan yang cukup besar dalam kehidupan abah..kehilangan isteri yang menjadi kekuatan abah, Allah memberi peluang pada abah ke Mekah dua kali dalam tahun ini. Allah beri ruang untuk abah dapatkan semula kekuatan diri. Alhamdulillah...

Balik dari Mekah kali ke 2, abah sakit-sakit. Mungkin keletihan perjalanan kerana pergi bersama rombongan Raja Perlis..banyak negara yang dilawati.

Abah pergi Semadung (kebun yang selalu abah&arwah ummi habiskan masa petang & cuti) dengan Pak Usu dan pelajar MATRI (Khassah). Balik dari Semadung, abah rasa tak sedap badan. Tapi hari Isnin abah gagahkan diri pergi MATRI walaupun tak sihat. Hari demi hari, badan abah makin lemah..demam panas, terbaring aje atas katil...selalunya abah rajin baca kitab dan menulis, abah kata mulut rasa pahit...tak lalu makan. Macam-macam kami ikhtiar/masak..tanya abah apa yang teringin makan..hari demi hari abah makin lemah. Dari nasi.. abah hanya makan bubur nasi..dari bubur nasi ... hanya air didih nasi. Dia bagitau dia langsung tak boleh tidur..( mungkin bimbangkan Us Umar..).Seluruh badan abah sakit dan lenguh. Kami bergilir urut badan abah. Ada pelajar MATRI yang datang urut abah. Muka abah makin pucat. Dia hanya banyak minum air zamzam. Akram bagitau.. kakak, kita bawa pi klinik. Tiap-tiap hari Pak Usulah yang check tekanan darah abah. Tok dan mak Usu masak macam-macam untuk abah. Aku cukup terharu dengan pengorbanan Pak Usu dan Mak Usu. Perhatian mereka tak pernah berkurang walapun Ummi dak ada. kubawa abah ke klinik Ehsan (dr Ismail) Akram pergi dulu ke Kangar dan dia tunggu di klinik. Abah di sebelah. Kulihat abah uzur walaupun dia sembunyikan kesakitan dan keperitan menahan sakit. Sebelum ini, hari Sabtu kubawa abah ke Putra Medical Centre (PMC). Waktu itu, doktor tak kaitkan demam abah dengan denggi. Balik dari klinik..hari-hari seterusnya kesihatan abah makin teruk. Kami berbincang ... nak masukkan abah di Hospital Kangar. Abah tak nak.. dia nak check kat abang (Dr Akmal) di KL. Mulanya nak pergi hantar dengan kereta.. tapi kondisi abah sangat lemah, perjalanan jauh lagi memenatkan badan abah. Suamiku cadang pergi dengan flight. Malam itu juga ambil tiket flight ke KL. Tengok dalam internet..semua tiket sold out. hanya Firefly aje yang ada. Tak pelah... asal sampai. Pagi tu..kondisi abah makin lemah..dah tak boleh berjalan..tak ada tenaga. Suamiku tanya.."Ma boleh ke pergi sorang bawa abah ni?". Kujawap," Insya-Allah, Allah bersama Ma." Aku perlu kuat semangat... Akram hantar hingga ke Airport A.Setar. Masalah timbul.. Firefly kena naik tangga 5 anak tangga. Mcamana bah? Tanyaku pada abah, abah jawab," Insya-Allah boleh." . Kusorong abah dengan kerusi roda. Di Subang, abang Akmal dah tunggu. Kami terus ke Hospital Gombak.(tempat abang kerja). Abang terus pasang drip kat abah. Fligt balik petang itu juga sebab tak bawa baby bersamaku. (baby masih menyusu badan). Berat rasa hati nak tinggalkan abah. Kupujuk hati, abang Akmal ada di sisi abah.

Hari Sabtu, abang call ..abah kat rumah abang, suspek denggi sebab platlet rendah. Bila fikirkan semula memang sakit abah mirip arwah ummi...demam, tak lalu makan, lenguh satu badan..sakit perut.. Ya Allah.. berat rasa ujianMu ini. Hari Ahad kupergi ke KL bersama Akram dengan kereta (bawa baby sekali). Sampai di rumah a.Akmal, lihat abah pucat tak bermaya. Macam-macam anak2 murid abah bawa untuk abah. Abah hanya minum air zamzam. Malam tu, kutanya abah teringin makan apa? Abah nak makan bubur pulut hitam. Lama dah kutak masak bubur pulut hitam. Kucuba masak, kak Siti Hilmiah juga bawa untuk abah..sikit aje yang dimakan. Satu pagi.. abah bagitau teringin makan 'roti lenggang'. Waktu arwah ummi ada, pagi-pagi abah selalu makan roti lenggang. Mengalir airmataku.. abah teringin masakan ummi, bila kuhidang...dia gagahkan diri untuk makan. Alhamdulillah. Petang itu, abah mengadu sebu perut dan sakit perut sangat2, di bibir abah terdengar abah sebut..Allah..Allah. Abang Akmal cucuk ubat tahan sakit. Anak2 murid abah (doktor2) berganti memantau kesihatan abah. Mereka lihat kondisi abah makin teruk. Mereka cadang abah dimasukkan ke HUKM.

Raya Haji ini kami raya di KL bersama abah. Sayu rasa di hati.... pagi raya tak dapat ziarahi kubur ummi. Semua anak-anak ada di sisi abah. Malah anak-anak abah bukan hanya 4 orang, ramai.... anak-anak abah sentiasa mendoakan untuk abah walaupun di mana mereka berada, macamana mereka mendoakan untuk arwah ummi. Pagi raya ni.. walapun sebak rasa di dada melihat keadaan abah dan merindui ummi..kunangis dalam hati, biar abah lihat anak perempuuannya ini kuat hadapi ujian Allah. Pagi tadi doktor bagitau.. platlet abah dah makin tinggi tapi masih tak 100% sembuh denggi tu, ada batu dalam hempedu, buah pinggang abah juga ada masalah. Ada jangkitan paru-paru dan diberi antibiotik. Perut abah masih sakit. Doktor kata ada radang di usus. Pakar mungkin akan check lebih detail dan cari punca abah sakit. Adakah kesan dari denggi atau ada sesuatu di usus abah. Aku jadi resah untuk menunggu keputusan tu. Mungkin esok doktor operasi... malam ni abah dah mula mau makan bubur nasi sikit...kumasak campur sayur2. Abah kata, nak makan moi dengan ikan talang kering. Pagi esok akan kumasak. Esok nak pi cari burung puyuh..nak buat sup sebab bila kutanya nak sup ikan/ketam, abah jawap tak lalu makan. Bila kutanya nak sup burung puyuh dak? Abah kata boleh juga nak cuba kot mau makan.