Pages

Saturday, February 26, 2011

Bingkisan Pertama Tahun 2011..

Lama tidak kubuka blog ini, bukan hanya blog tapi lama tidak kusentuh komputer..lama kuterbaring seperti arwah abah dulu..hampir dua bulan sejak awal tahun 2011..diriku hanya di atas katil...hari ke hari badanku makin susut..kulitku makin kering..mukaku makin cengkung...lesu dan lemah hingga tak mampu kumelangkah. Hari-hariku banyak di dalam bilik..jikalau keluar pun hanya untuk ke klinik. Sudah dua kali tanganku didrip agar tenagaku kembali pulih, kuberdegil tidak mahu masuk wad..rasa serik. Puas suamiku memujuk tapi kutetap enggan. Jadi suamiku menjadi nurse di rumah..memastikan air drip diganti.Tapi dari hari ke hari diriku makin lesu..makin lemah. Sudah dua bulan tidak kujamah nasi..hanya air yang mampu kuminum itupun terasa pahit..kupaksa juga makan buah dan roti tapi  hanya sedikit yang mampu kujamah..

Semalam kugagahi timbang badanku..penimbang itu telah lama tersimpan di bawah almari.. Ya Allah.. sudah 10 kg badanku susut. Adikku Akram datang menziarahi..terkejut..Ya Allah kakak..cengkungnya muka kakak. Alhamdulillah masih ada saudara yang datang menziarah..masih ada adik yang masih mengambil berat. Kalau dulu...setiap hari arwah Ummi dan abah akan menjengukku..tapi kini tiada lagi.

Kadang-kadang, semangatku rasa amat lemah...airmataku semakin murah...kuatkanlah diri ini...

 

Monday, December 6, 2010

Masakan kesukaan Arwah Abah...

Hari ini ringkas makan malam kami... daging goreng  cicah air asam, sayur lemak taugeh dan telur goreng dadar...kesemuanya lauk kegemaran abah. Tiap kali kumasak di dapur..kenangan bersama abah sering hadir. Kumasih ingat..abahlah yang mula mengajarku memasak (masak telur dadar) dan menjahit. Malah..arwah ummi pernah bercerita..waktu baru kahwin..abah yang mengajar Ummi memasak. Abah pandai memasak. Sejak kecil..kumasih ingat, ummi dan abah akan masak bersama, tapi lain-lain jenis lauk..abah satu jenis, dan ummi jenis yang lain. Ia suatu amalan yang istimewa dalam rumahtangga, ... sebenarnya setiap pasangan harus begitu. Berkongsi aktiviti bersama...walaupun ketika di dapur. Sukar kubuang kenangan ummi dan abah yang menjadi darah dagingku..sukar kucoretkan menjadi ayat cerita.

Kenangan bersama arwah abah makin terasa selepas pemergian arwah Ummi. Terutama dalam soal masakan.. kalau dulu arwah ummi yang masakkan untuk abah. Kini..ia menjadi tanggungjawabku. Suatu yang menjadi panduan buatku. Arwah ummi tidak pernah mengeluh.. kepenatan pulang dari mengajar, arwah ummi tetap akan masak untuk abah walaupun  ringkas masakannya. Seringkali juga arwah abah masak bersama. Walaupun lewat malam.. bila arwah abah pulang lewat dari program dan belum makan.. ummi akan bangun masak untuk abah tanpa rasa berat hati dan rasa terpaksa. Bagaimana kita...sebagai isteri, malah bagaimana suami di luar sana?. Sesekali, abah akan bawa kami sekeluarga makan di luar terutama di Kuala Perlis.

Abah paling suka masak lemak cili padi.. rebung dengan cendawan liat. Kadang-kadang rebung juga dibuat sayur air...dimasukkan belacan, cili & bayam. Kalau di Semadung (kebun arwah Abah & Ummi) , abah akan berselera makan . Masa arwah Ummi masih ada, mereka berdua banyak menghabiskan masa berdua di Semadung di waktu petang dan hujung minggu. Bila Ummi tiada, waktu abah mampu berjalan... anak-anak muridnya terutama kelas Khassah menjadi teman. Mereka menjadi sebahagian dari keluarga kami... bersama menjaga abah. Terima kasih..yang pasti..kalian istimewa di hati abah.

Banyak kenangan yang menjadi pedomanku mengharungi liku-liku kehidupan.. terutama panduan dalam rumahtangga. Apa yang dikata oleh arwah abah.. dipraktikkan dalam amalan seharian. Banyak yang ingin kukongsi bersama ...walaupun ia hanya cerita seorang anak. Hakikatnya, jika kenangan itu hanya di fikiran dan hati...tidak dilakarkan dalam tulisan...panduan dan pedoman itu hanya untuk seorang. Mungkin pengalaman bersama arwah abah berbeza-beza.. antara anak juga berbeza, cara didikan arwah abah pada anak perempuan berbeza dengan anak lelaki. Cara interaksi dengan anak didik, rakan, sahabat, mad'u ... juga berbeza. Kongsikanlah kenangan itu...

Saturday, December 4, 2010

Ummi..adik mencari jejakmu di U.Malaya

Hari ini kuhadir lagi di sini...Universiti Malaya untuk menghadapi peperiksaan bagi subjek Metodologi Penyelidikan. Tadi kutiba..masih gelap. Dalam keheningan pagi di sini... kucari tempat untuk study sementara menunggu masuk ke dewan peperiksaan.. Dan sekarang, matahari tegak di kepala....kepalaku ringan sebaik keluar dari dewan.

Sambil menunggu adik ipar datang, kuperhatikan sekeliling. 37 tahun lalu...di sinilah arwah ummi belajar. Waktu itu, abangku Akmal sudah berusia 3 tahun. Arwah Ummi sarat mengandungku. Arwah Ummi pernah bercerita, adik menemani ummi belajar di universiti Malaya waktu dalam kandungan..suatu hari nanti, moga Allah bagi peluang  adik belajar di sini. Kusahut dalam hati..Insya-Allah Ummi. Dan kini, kutunai janji itu..walaupun tanpa Ummi di sisi.

Kudapat bayangkan setiap pagi abah menghantar Ummi ke kuliah, dari kuaters LLN (rumah kami dulu).. kucari derap langkah ummi di sini.. kucari semangat jitu ummi. Tiap kali kuberada di sini..bumi U.Malaya, semangatku membara. Bila berjalan ke Perpustakaan...mungkinkah derap langkahku seiring langkah Ummi? 37 tahun dulu....semangat itu kembali semula...di sini..

Sunday, November 7, 2010

Abah..setiap ruang di rumah Abah penuh kenangan..

Sejak Selasa malam kami anak beranak menemani Mama N di rumah Arwah Abah..  sayu kulihat wajah Mama N. Tergambar ketabahannya mengharungi hari-hari tanpa Arwah Abah. Kujengah bilik abah yang dulu tempat kami berhimpun. Sunyi...kalau dulu di katil ini terbaring Abah bersama kucing Putih di hujung kaki Abah. Sekarang..kucing Putih masih di situ tapi di sisi Mama. Dia seperti mengetahui tuannya telah tiada...

Bilik itu banyak kenangannya.. banyak cerita, luahan dan perkongsian pengalaman Arwah Abah. Selepas pemergian Ummi, Arwah Abah banyak bercerita..kebanyakannya cerita di waktu muda, malahan cerita bagaimana mulanya Arwah Abah mengenali Arwah Ummi. Abah menyebut.. anak-anak pun tak tahu detail cerita dulu... Bila Abah bercerita, sesekali dia tersenyum, mungkin bahagia mengenangkan kisah lama.

Abah cerita Ummi orang yang kuat semangat belajar. Mula dengan SRP, SPM, STPM ..kesemua peperiksaaan utama Ummi ambil tanpa masuk kelas..semuanya belajar sendiri. Walaupun dia seorang perempuan..semangatnya tinggi menggunung. Tapi kutahu, di sebalik semangat Ummi, pendorongnya adalah Arwah Abah. Abah menyambung lagi..anak-anak pun kena bersemangat juga dalam belajar.. belajar sampai peringkat yang tertinggi. Kata-kata itu tersemat di dada. Kukuh! Kusahut harapan dan kata-kata abah... kini kuberada di medan ilmu yang penuh ranjau... bila diri rasa lemah...kata-kata Arwah Abah jadi pengubatnya. 

Friday, November 5, 2010

Rindu Adik pada Abah...

Lama sudah tidak kutitipkan sesuatu di blog ini...sejak Arwah Abah meninggal..Entah kenapa, kekuatan untuk berbicara hilang, keinginan untuk berkongsi membeku..mungkin kerana kesedihan yang tersangat..yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Setiap kenangan terutama kenangan bersama abah selepas kehilangan Arwah Ummi sering menjengah. Hari ini lama kutatap ruang 'new post' untuk blog Ummi Halimaton ini...masih adakah insan yang akan menzirahi blog ini? Kalau dulu ramai yang menziarahinya untuk mengetahui keadaan arwah abah. Betul ....kerinduan pada seseorang itu tidak dapat dibuang, tiapkali kerinduan itu datang..kita hadiahkan ayat-ayat Al-Quran, Fatihah dan doa untuknya. Setiap bicaranya..nasihatnya tersemat di hati, setiap panduan, syahsiahnya jadi ikutan. Kalau dulu..ku bahasakan diri 'Adik' pada arwah Ummi dan Abah. Tapi sekarang..perkataan 'Adik' hampir luput..hanya Mama pengganti diri. Mulai hari ini..ku azam dalam diri.. blog ini harus diteruskan... mencoretkan kenangan, ceritaku bersama Arwah abah dan ummi, walaupun tiada yang menziarahi blog ini ..sekurang-kurang berat dada menahan kesedihan dapat terungkai dalam coretan di sini... moga Allah memberi ruang dan kekuatan untuk itu. Moga coretan ini tiada noktahnya..Amin

Wednesday, August 25, 2010

Apa yang Allah taqdirkan adalah yang terbaik untuk kita

Kumerenung sendirian..setiap yang ditaqdirkan untuk kita, hakikatnya ada hikmah di sebaliknya. Satu contoh yang jelas. Waktu kudapat interview untuk biasiswa PhD di Putrajaya bulan 5, waktu itu abah dalam wad. Hatiku berat untuk meninggalkan abah. Tapi, abah kata..pergilah interview, memang Arwah Ummi mengharapkan anak-anak abah & arwah ummi terus berjihad di medan ilmu hingga kepada tahap tertinggi. Selepas interview, abah tanya perkembangan..apa yang disoal. Jelas kulihat, kegembiraan di wajah abah.
Kemudian, kuberjaya dapat tawaran belajar, hati masih berbelah bahagi nak terima ataupun tidak.. pernah kutanya abah.. abah kata, "pasal apa nak tolak pulak, dah dapat. Apa yang Allah taqdirkan tu adalah yang terbaik untuk kita". Kuberfikir juga... jika tak sambung belajar, setiap hari perlu ke pejabat dan bekerja. Tapi jika belajar..hanya 1 semester aje perlu attend kuliah..lepas tu banyak masa menulis..banyak masa dengan family dan jaga abah.
Tapi pakcikku berpandangan berbeza.. dia agak tidak setuju kuterima tawaran belajar tu. Tapi, kumasih berpegang kepada kata-kata abah. Dan, kutidak pernah membuat keputusan tanpa merujuk kepada suamiku dan abah. Terus-terang dalam hidup ini... banyak perkara besar dalam kehidupan ini yang kuambil selepas mendengar nasihat ibubapa dan suami.
Hikmah yang paling jelas, yang Allah taqdirkan kumenerima tawaran cuti melanjutkan pelajaran ...ada di depan mata. Dalam situasi abah sedang koma... dua anak abah, yang sulung dan adik bongsuku terpaksa kembali semula ke rumah masing-masing kerana cuti dah habis, terpaksa meneruskan kerja. Yang tinggal hanya anak-anak yang tidak terikat dengan kerja, diriku dan adikku...kami berdua dalam cuti belajar. Inilah hikmahnya yang abah sebut tempohari..."apa yang Allah taqdirkan tu adalah yang terbaik untuk kita.". Setiap hari berlalu... rutinku bangun dari tidur, sahur, bersiap ke hospital.. menunggu abah di hospital hingga petang dan kadang-kadang awal malam. Dalam pukul 6.30 - 7.00 petang Kutunggu adikku pula datang menjaga abah. Kubergilir dengan adikku ... dia ambil giliran malam sebab dia tidak ada anak kecil. Sambil menjaga abah, kuselang seli baca Al-Quran dan bahan-bahan studyku. Inilah hikmahnya.. jika kutidak dapat cuti belajar, pasti diri ini lagi berserabut.. dengan bebanan kerja dan prosuder cuti yang terhad. Malahan, cuti tahunanku juga telah habis semasa abah sakit dulu. Jadi... kata-kata abah tersemat erat di hati ini....."apa yang Allah taqdirkan adalah yang terbaik untuk kita.".

Abah sedang berjuang..

Hari ini, 17 hari abah di CCU. Tadi pukul 8.30, Akram adikku telefon, doktor pakar nak jumpa waris. Ya Allah..waktu itu berdegup kencang jantungku..apa yang berlaku pada abah?. Anakku yang kecil, Audad atas ribaku...semalam dia demam kuat. Kukuatkan hati, menyerahkan Audad pada suamiku..segera kubersiap untuk ke hospital. Bila kusampai, Akram beritahu dia dah jumpa doktor Pakar..terangkan keadaan yang terkini tentang abah... ringkasan kata doktor, abah masih dalam koma..walaupun kadang-kadang, dia macam respon dengan suara terutama suara anak-anak dan isteri, tapi tidak konsisten. Jantung abah pula masih disupport dengan ubat. Kemudian, abah ada jangkitan kuman...dah tukar antibiotik kepada yang lebih kuat. Pernafasan masih dengan bantuan mesin. Setelah Akram memberitahu keadaan abah, kubisikkan dalam hati.. setiap detik, setiap masa..aku perlu makin tabah dan kuat semangat. Terngiang di telinga kata-kata seorang teman rapat abah dari KL semalam yang datang menziarahi abah.. ramai orang yang berjuang untuk Islam diuji dengan sakit kuat. Kita lihat sebagai ujian Allah, sebenarnya ia pilihan Allah kerana Allah kasih.., kesakitan itu kafarah , pembersih dosa-dosa. Orang yang dikasihi Allah ini.. dalam hidupnya sering berhadapan dengan sakit, bila sembuh.. dia bangun berjuang kembali, seolah Allah membersih dosa-dosa terdahulu. Kata teman abah lagi, kalaupun  ia suatu penamat...Allah bersihkan  dosa-dosanya sebelum kembali padaNya. Ya Allah..kata-kata teman abah cukup berbekas di hatiku. Memang dalam hidup abah, abah sering berhadapan dengan sakit kuat..ada ketika hingga langsung tidak boleh bergerak. Ada ketika, hanya kalimah Allah yang keluar dari mulut abah.. tapi kali ini..abah terbaring dan koma. Kata-kata teman abah itu mampu memujukku dalam diam.