Pages

Friday, May 22, 2009

HARI-HARI TERAKHIR UMMI DI CCU



Aku berdoa pada Allah agar diberi kekuatan menulis dan berkongsi saat-saat kritikal Ummi di CCU. Aku redha dengan pemergian Ummi walaupun mengejutkan semua orang. Aku cuba mendapatkan ketenangan dan ketabahan dalam mengimbas kembali detik-detik yang amat memilukan dalam hidup ini...saat-saat akhir menghadapi pemergian Ummi mengadap Allah. Hakikatnya, hambaMu ini seorang yang kerdil lagi lemah...terdetik di hati, Ya Allah, Engkau mengambil insan yang paling rapat, seorang ibu, seorang yang menjadi tempat mengadu dan mendapat semangat di kala rasa lemah. Bagaimana harus kuhadapi hari-hari tanpa Ummi di sisi. Detik-detik ini kukongsikan untuk tatapan anak-anak ummi..walaupun anak-anak tanpa talian darah.Kutahu Ummi bukan ibuku...atau 4 anaknya, Akmal,Amani,Akram dan Ali tetapi di luar sana...ribuan anak-anaknya yang meratapi dan hiba dengan kehilangannya, anak-anak didiknya yang kini berada di merata pelusuk dunia...Doakanlah untuk ummi setiap kali selepas sembahyang..semoga rohnya bersama orang-orang yang soleh.


Aku cuba mengimbas kembali kenangan pilu itu...


12hb Mei 2009 (Selasa)

Pukul 11 pagi, aku menelifon Ummi. Suara Ummi ceria sekali..lama kami berbual..dia kata Ummi dah sihat, mungkin esok boleh balik dah. Aku tanya Ummi nak sup ketam (untuk pulihkan demam denggi)? Ummi kata tak nak, teringin nak makan ikan bakar..nanti nak pesan kat Abang Akmal. Tanya ada sape dengan ummi..Ummi kata Akram. Abang Akmal balik tidur, mungkin tak selesa tidur di wad. Ummi tanya Audad, babyku masih menangis malam? Dia masih lagi menangis malam. Aku bagitahu ummi lepas zohor nanti aku dan suami akan ke wad menziarahi ummi.

Dalam pukul 11.30 tengahari, ummi makan bersama Akram dan Ayan. Banyak ummi makan tengahari ini. Ummi teringin nak makan ikan bakar, pesan pada Abang Akmal..nanti Abang Akmal datang dengan abah. Kemudian Ummi terasa pahit mulut, teringin makan asam ko. Ayan pergi beli asam ko di kedai hospital. Lepas makan, Ummi tidur nyenyak kata Ayan. Akram pun turut tidur. Tiba-tiba, ummi terbangun....dia kata rasa sejuk, ambik selimut...selimut ummi. Ayan lari pi ambik selimut, selimut seluruh badan ummi, ummi masih sejuk. Ayan gosok untuk panaskan kaki tangan ummi dan letak bam.Ummi semakin sejuk hingga menggeletar. Akram peluk ummi kuat. Ummi kata jangan peluk kuat sangat..sakit. Abah dan Abang Akmal dalam perjalanan ke hospital. Abang Akmal datang dengan abah dari Mata Ayer..kemudian pergi makan. Abang Akmal belikan Ummi ikan bakar. Akram telifon, waktu tu abah dan Abang Akmal dah ada di entrance hospital. Abah kata, dia rasa sesuatu yang tak kena bila Akram telifon.Kemudian abah sampai dulu sebab Abang Akmal parking kereta. Abah terus berada di sebelah ummi. Sabar, Mah...sabar, ingat Allah, pujuk abah sambil memegang ummi. Abang Akmal pun sampai.Tiba-tiba Ummi rasa sesak nafas, ummi kata, ummi penat sambil membongkokkan diri dalam mengiring.Akram pergi panggil doktor. Keadaan jadi kelam-kabut, cemas....doktor minta ummi tidur melentang untuk check dada ummi. Ummi tak nak sebab dada ummi makin sakit. Setelah dipujuk ummi pun tidur menelentang dan dada ummi diperiksa, doktor mengesahkan ummi mendapat serangan jantung. Doktor meminta semua berada di luar wad. Ummi makin teruk, ummi makin sukar bernafas.

Akram telifon aku tapi telifonku tiada bateri, dia telifon suamiku, Abang Zaini. Waktu aku sampai, abah, abang Akmal, Akram dan Ayan ada di luar bilik wad. Kelihatan doktor dan nurse kelam kabut keluar masuk bilik wad. Langsir di katil ummi ditutup. Aku menangis terus-terusan tanpa dapat dikawal. Abah juga melinang airmata, begitu juga Akram. Abah mententeramkan aku, duduk...doktor tengah usaha. Aku kuatkan semangat, menjenguk Ummi di katil wad. Aku duduk di belakang Akram, Akram sambil menangis minta Ummi bersabar, ingat Allah, mengucap. Banyak wayar-wayar diletakkan di dada, tangan, kaki ummi. Ummi bernafas kuat, dadanya berombak..doktor panggil nama Ummi. Dalam masa yang sama nurse inject dan letak drip ...aku sendiri tidak faham keadaan itu...semuanya begitu pantas. Doktor bertambah dari 2 orang menjadi 3 kemudian 4 (mungkin doktor pakar). Lepas doktor bagi inject ubat pada ummi, kelihatan ummi kurang sesak nafas..kemudian dalam beberapa saat kembali sesak nafas. Aku takut dan tak sanggup melihat keadaan Ummi. Aku keluar sambil menangis pergi kepada Abang Akmal.Aku berkata, masuklah abang, tolong ummi...masuklah tengok ummi. Abang Akmal kata dia tak boleh masuk...etika kerja walaupun doktor tapi bila melibatkan keluarga terdekat, doktor yang lain kena take over. Tambahan pula abang Akmal tidak bekerja di hospital ini. Abah terus berkata, ingat Allah...bersabar. Abah waktu itu cukup tabah walaupun kutahu abah menahan pilu yang amat sangat, melihat isteri tersayang sakit bertarung dengan maut. Abah suruh telifon Ali di Sabah, minta balik segera...bersama isteri dan anaknya,Auni. Mak Lang dan kak Safur pun telifon, aku dalam menangis minta m.lang pulang ke Perlis segera. Setelah kurasa kuat dan tenang sedikit, aku masuk kembali ke bilik wad ummi.Ummi kata, dahaga...nak minum air. Doktor tak bagi...aku ajak Akram mendekati Ummi.Kuurut dada ummi, Akram letak air di bibir ummi dan dahi ummi. Ummi sebut, Ya Allah...sakitnya dada. buatlah cepat..Aman (merujuk pada abang sulungku) mai la..buatlah cepat di dada ni. Abang Akmal tak masuk. Hanya aku dan Akram sahaja di sisi ummi. Sambil menangis,kami mententeramkan ummi..sabarlah ummi, ingat Allah, mengucap...doktor tengah ikhtiar. Tiba-tiba, ummi semakin kuat bernafas..dadanya makin sakit dan ketat...nampak kesukaran ummi bernafas, dia menggelabah tiba-tiba. Doktor minta kami keluar dari bilik wad. Kedengaran arahan doktor pada nurse minta bersedia alat shot ( kejutan elektrik pada dada). Aku cemas..rasa macam nak pitam..Ya Allah selamatkanlah Ummi, tolonglah ya Allah. Pintu bilik wad ditutup. Aku tak tahu apa yang berlaku di dalam sana. Kami anak-anak menangis, abah juga mengalir air mata..dia tak sanggup lihat keadaan ummi. Abah hanya duduk di kerusi tepi bilik wad. Kata abah( selepas seminggu peristiwa ini), abah dah rasa waktu ummi sesak nafas...ummi akan meninggalkan kita. Kuat perasaan abah kata ummi tengah nazak.

Bila pintu dibuka, kami meluru pada doktor...doktor bagitau ummi dah koma...jantungnya lemah sekali, amat kritikal...kami perlu bersedia apa-apa kemungkinan. Ummi akan dimasukkan ke CCU ( Unit Rawatan Rapi untuk serangan jantung). Ummi menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan. Semasa pintu bilik wad dibuka, dan katil ummi ditolak keluar..tiba-tiba doktor dan nurse kelam kabut...tolak kembali katil ummi ke dalam, dan pintu ditutup. Ya Allah, apa pula yang berlaku. Doktor bagitahu, tiba-tiba kondisi jantung ummi tak stabil, lemah dan perlu diberi tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa ummi.

Beberapa minit kemudian, pintu wad dibuka semula. Ummi diusung keluar ke wad CCU. Doktor menerangkan keadaan Ummi...yang sempat kufahami kata-kata doktor...kondisi ummi amat kritikal, jantungnya amat lemah. Dia kena serangan jantung..dan tak ada kaitan dengan demam denggi. Sekarang dia menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan. Keluarga perlu bersedia bagi sebarang kemungkinan. Kami telah usaha semampu mungkin.

Kami pun bergerak ke CCU. Acu Khairul, Mak usu, dan ramai lagi yang datang. Bila sampai di CCU, kami tak dapat masuk. Kami hanya boleh tunggu di luar wad. Lama kami tunggu di luar. Ramai kawan-kawan, saudara mara dah sampai. Ali belum sampai lagi.

Kemudian, pintu CCU dibuka..waris terdekat, abah dan kami anak-anak ummi dibenarkan masuk. Doktor menerangkan kondisi ummi, macam penerangan tadi, masih sangat kritikal dan tak stabil. Aku lihat ummi di wad CCU...penuh dengan wayar besar dan kecil. Dada Ummi turun naik mengikut gerakan mesin. Ya Allah! Mampukah kuhadapi semua ujianMu ini?

Dari tengahari hingga malam, aku serah babyku. Audad pada bibik...dia tidak pernah ditinggalkan dan belum diajar minum susu dalam botol susu. Moga-moga Idah mampu menjaga babyku dengan baik. Aku tak akan pulang meninggalkan Ummi walaupun tidak dapat menjaga di dalam wad CCU. Kami semua tidur di depan pintu CCU. Malam itu, mak lang dan anak-anaknya sampai dari KL, kemudian Kak Ina, kakak suamiku dari Ipoh, kemudian Ali, adik bongsuku, Aisyah dan anaknya Auni yang sering disebut-sebut Ummi pun sampai. Mereka dibenarkan masuk..aku masuk bersama malam itu...ummi masih seperti petang tadi. Dada Ummi bernafas tinggi mengikut mesin pernafasan itu. Mata ummi tertutup rapat. Kubisik di telinga ummi, ingat Allah..dan kuajar ummi mengucap


13hb Mei 2009 (Rabu)

Sebelum subuh, aku rasa seluruh badanku sejuk...mungkin masuk angin kerana aku masih dalam pantang. Aku dan suami pulang solat subuh di rumah, menyusukan baby dan bertungku. Kemudian aku dan suami pergi kembali ke CCU, menunggu Ummi di luar wad. Waktu aku sampai, Ayan yang tinggal, abah dan adik beradikku yang lain pergi mandi dan bersarapan. Kami berganti. Pagi itu kami tidak dibenarkan masuk hingga tiba masa melawat pada pukul 12.30 tengahari hingga pukul 2.00. Pukul 10.00 ramai saudara, sahabat handai dan anak didik ummi datang untuk menziarahi ummi. Abah dan kami adik beradik masuk dahulu melihat kondisi ummi...masih seperti semalam. Abah berbisik di telinga ummi,"Mah, ingat Allah...kuat semangat, bersabarlah" dan abah mengajar ummi mengucap dua kalimah syahadah. Kelihatan abah sedih sekali, airmata abah bertakung..abah tunjuk kuat di depan anak-anak. Suara abah sebak bila abah mengajar Ummi mengucap. Kemudian kami beri ruang pada orang lain...saudara, sahabat dan anak didik ummi dan abah melawat Ummi. Mak su (Tikam batu) datang berbisik di telingaku, keadaan ummi tidak boleh tinggal..kena ada anak-anak di sisi mengajar mengucap dan baca surah Yasin. Aku segera pergi pada Abah mencadangkan perkara tersebut. Abah pun berpendapat begitu. Aku rasa tidak kuat waktu itu, Ali dan Abang Akmal pun begitu...Akram mula jaga ummi. Akram menangis sambil membaca yasin dan mengajar Ummi mengucap....sebab tiap kali Akram berbisik di telinga Ummi, Ummi mengalirkan airmata.

Petang itu, pukul 4.30 petang..kami adik beradik masuk semula menziarahi ummi.Aku masuk bersama Ali dan Aisyah. Ali menangis teresak-esak, begitu juga diriku dan Aisyah..ku bisik di telinga ummi, Ummi bangunlah..semua anak-anak Ummi ada di sini, Auni..cucu ummi yang ummi selalu sebut balik, bangunlah ummi. Kelihatan airmata ummi melinang di hujung mata ummi yang terpejam. Kukesat airmata ummi, aku bersyukur ke hadrat Allah kerana Ummi memberi respon bila kami berbisik di telinga Ummi walaupun hanya dengan airmata. Kubisik lagi sambil menangis..Ummi bangunlah..ummi janji dengan abah nak ke umrah..bangunlah ummi, abah tunggu ummi. Sekali lagi ummi mengalirkan airmata. Aku jadi terharu dan gembira bercampur baur melihat perubahan itu. Kutanya...Ummi nak jumpa abah dak? Abah kat luar tunggu ummi dari semalam. Ummi nak jumpa abah dak? Bukalah mata, ummi. Tiba-tiba, kening ummi bergerak. Waktu itu, kufahami dan kutahu ummi berusaha memberitahuku dia nak bertemu dengan abah, kekasih hatinya, teman hidupnya setelah 42 tahun tinggal bersama. Dalam esakan, aku terus keluar meluru pada abah di luar wad CCU, menceritakan peristiwa itu dan mengajak abah masuk. Abah dalam sebak mengambil baju putih wad yang kupakai dan dia masuk ke dalam sambil dipimpin suamiku. Disisi ummi, abah menangis sambil berkata.."Mah, bangun Mah...kata-kata abah tersekat-sekat dalam hiba...mana mampu menahan perasaan melihat insan yang paling dicintai, insan yang berjanji bahagia hingga ke akhir hayat, mengharungi ujian dan rintangan hidup dalam medan dakwah, insan yang menjadi pendorong, kekuatan abah dalam mengharungi medan jihad ..medan dakwah yang penuh dugaan....kaku, terpejam tanpa suara. Ummi yang selalu ramah bercerita pelbagai cerita, yang menghidupkan suasana yang hambar terus membisu.

Suamiku membawa anak-anakku Aufa dan Atfa masuk melihat tok ummi mereka. Mereka menangis teresak-esak..abah bisik di telinga ummi dalam suara hiba.."Buka mata, Mah..ni cucu-cucu mai ni" Adikku tidak dapat mengawal perasan, menangis teresak-esak. Abah dalam hiba..kata "Kita kena sabar, kena tabah...ingat Allah", "Allah dah tentukan semua ujian ni". Waktu abah keluar..abah kena papah..kerana dia dah tak tertanggung sedih dan hiba dengan keadaan ummi.

Lewat petang itu, abah menyendiri di kerusi bawah tangga wad CCU, kulihat abah berwirid sambil baca al-Quran. Dia cukup teruji dengan keadaan Ummi. Waktu itu jelas..betapa tingginya kasih dan cinta abah pada ummi, isterinya. Kak Sapur dan Abang Azhar (dari Negeri sembilan), anak saudara abah datang, bersembang dengan abah..berkongsi dan memujuk abah untuk pulang berehat. Kata kak safur pada abah,"Anak-anak sedih dengan keadaan mak njang, dan mereka bimbang dengan kesihatan dan keadaan pak njang, pak njang kena kuat,tabah dan jaga kesihatan supaya anak-anak juga kuat hadapi ujian ini. Kita tak tahu berapa lama kena jaga di CCU ni..pak njang kena ambik masa, rehatkan diri..dapatkan tenaga dan kekuatan.". Sebelum ini ramai sahabat-sahabat abah pujuk balik rehat, pelawa rehat di rumah mereka yang dekat dengan hospital tapi abah enggan..dia tak nak tinggalkan ummi. Tapi setelah dengar kata-kata kak safur, anak saudaranya..dia terus telifon cikgu Nordin (sahabat baiknya) untuk rehat dan tidur di rumah cikgu Nordin. Alhamdulillah.


Aku pulang dari hospital lewat malam, terpaksa pulang kerana babyku menangis kuat.


14hb Mei 2009 (Khamis)

Malam tadi aku langsung tidak dapat tidur, Audad babyku menangis terus-terusan. Selepas subuh, baru dia berhenti menangis. Pagi itu selepas subuh, suamiku Zaini masuk bersama abah dan Ali. Wajah Ummi nampak bersih, tenang dan ceria berbanding semalam. Dadanya tidak seperti kelmarin, ia seolah-olah bernafas sendiri tanpa bantuan mesin. Doktor menjelaskan dengan detail pada abah, alatan..ubat dan mesin-mesin yang berada di bilik ummi. Kata doktor, tiada perubahan positif hingga pagi ini, malah air kencing ummi sedikit...doktor bimbang ada masalah pada buah pinggang ummi. Dalam pukul 9.30, suami pulang mengambilku ke hospital. Dalam pukul 11.00 pagi, ramai yang mula datang menziarahi ummi. Akram kelihatan sangat letih dan sakit. Aku mengambil keputusan dan kuatkan diri menjaga ummi hari ini bila masa melawat bermula. Tepat pukul 12.30 tgh, aku masuk ke dalam, duduk di sisi ummi..membacakan surah Yasin, membisikkan nama Allah dan mengajar ummi mengucap, memberi semangat agar ummi kuat menghadapi penyakitnya, meyakinkan dia bahawa ummi seorang yang tabah dan kuat semangat. Tapi hairan..hari ini bila aku membisikkan di telinga ummi, tiada airmata yang melinang..ummi seolah-olah sedang tidur..tenang sekali wajah ummi, malah dadanya tidak turun naik seperti kelmarin...seperti bernafas sendiri. Sedang aku membaca surah Yasin, Doktor Noram datang, nurse sedang menerangkan sesuatu pada dia. Dia seperti anak ummi sangat rapat dengan ummi. Aku mendekatinya dan dalam menahan esakan aku bertanyakan kondisi ummi.Dia diam agak lama...aku minta dia berterus terang. Aku kuat mendengar apa sahaja kondisi ummi. Dia memberitahu hari ini ummi demam agak tinggi, air kencing ummi sedikit..mungkin ada masalah di buah pinggang. Keadaan ummi masih seperti kelmarin, tiada perkembangan positif berlaku..masih tidak stabil. Aku reda semua itu. Aku kuatkan semangat menjaga ummi. Setelah sejam aku berada di sisi ummi, aku keluar dan memberi ruang pada Ayan, isteri Akram pula menjaga Ummi. Abah datang, abah nampak lebih tabah, sihat dan tenang. Respon abah padaku,"Kita serah kepada Allah..banyak berdoa padaNya". Pendek kata-kata abah tapi cukup bermakna untukku." Aku tak sanggup memberitahu abah yang ummi demam sebab pagi masa abah masuk jumpa ummi, ummi belum demam. Aku sedih sebab ummi tidak beri respon seperti semalam...aku hampir putus asa. Aku menangis seorang dan suamiku datang mententeramkanku.

Selepas zohor, keadaan Akram nampak sangat lemah. Aku menasihati Akram rehat di homestay yang ditempah suamiku yang terletak berdekatan dengan hospital.Lalu Akram, Ayan dan abah pergi ke homestay tersebut. Tinggal aku dan Ali di luar wad CCU. Hampir pukul 4.30 petang, kelihatan abang Akmal, kak Aji dan anak-anak datang. Aku bagi ruang pada Kak Aji dan anak-anak masuk dahulu. Aku berjanji dengan Ali, petang ni kita berdua yang berganti jaga Ummi. Ali setuju. Aku bagitahu Ali, "Kakak masuk jaga 1jam setengah, Ali satu jam setengah,k". Abang Akmal panggil aku masuk. Kebetulan ada doktor di situ. Abang Akmal berbincang dengan doktor..kelihatan mata abang akmal merah. Aku tak berapa faham bahasa dan istilah doktor. Tapi nurse dan doktor bagitahuku, kami dah beri dos yang maksima hingga kini. Keadaannya makin tidak stabil. Tadi pukul 3, berlaku sekali lagi serangan....kami tak sempat inform waris, kemudian jantung kembali berfungsi. Anak-anak perlu reda dan bersedia the worst. Aku kuatkan hati mendengarnya...aku perlu kuat dan reda dengan semua ini.


Abang akmal keluar. Tinggal aku seorang menjaga ummi. Kutatap wajah ummi, kucium dahi ummi..sejuk. Aku sentuh kaki dan tangan ummi. Tangan inilah yang membelaku, membelaiku...aku mennagis..kuajar ummi mengucap dan ingat nama Allah. Tiada lagi airmata yang menginang di hujung mata ummi. Kubaca surah Yassin di sisi ummi, sambil mataku memandang mesin..nombor-nombor yang tertera tekanan jantung, nadi dan sebagainya. Demam Ummi dah kebah kata nurse. Sudah sejam aku berada di sisi Ummi. Kulihat tetamu makin ramai menziarahi ummi. Aku terpandangkan nombor-nombor di mesin di sisi kepala ummi.Kenapa angkanya makin menurun berbanding pagi tadi. Kutatap ummi...wajahnya tenang seperti sedang tidur. Kupandang lagi nombor-nombor itu..makin jatuh. Aku rasa gelisah, hatiku rasa tak mampu hadapi situasi ini. Segera kusms pada Akram...dia dah kuat untuk ganti aku di sini? tiada jawapan. Aku rasa pening, mungkin banyak menangis sepanjang menjaga ummi. Terus-terang aku tidak mampu bertahan lagi setengah jam. Aku betul-betul tidak kuat menghadapinya. Kubisik di telinga ummi, bertahanlah ummi..kuatkan semangat, kubisikkan kalimah Allah dan La ila ha ilallah. Sebelum aku keluar, kucium dahi dan tangan ummi.

Aku menangis. Ali terus mengganti tempatku di sisi ummi. Di luar, aku tidak tahu siapa yang menziarahi. Terngiang-ngiang kata-kata doktor, kami beri dos yang maksima dan antibiotik pada emak, jumlah orang yang masuk terlalu ramai tidak membantu emak malah membahayakan dia. Abang Akmal juga berkata begitu, aku buntu pada siapa nak kukongsi...aku call Usu..tiada jawapan. Aku bagitahu mak usu. Kemudian Usu tapi aku tidak berterus-terang tentang kondisi ummi yang makin kritikal. Suamiku datang, dia nampak aku amat lemah..dia ajak aku ke homestay..mandi dan menyusu baby.Kuturuti langkah suamiku. Sampai di homestay, hanya beberapa minit, dapat call dari kak tini...ummi tenat. Abah minta aku dan suami pergi dahulu..dia rasa tak kuat.

Suamiku memecut kereta. Terus kumeluru masuk.Kulihat Ali terduduk menangis. Ya Allah! Ummi dah nazak, Acu, abang akmal dan suamiku mengajar ummi mengucap dua kalimah syahadah. badanku rasa ringan, kumenangis tanpa kawalan. Mulanya aku memaut di belakang suamiku, meraih kekuatannya untuk menghadapi situasi genting itu. Kemudian aku tak sanggup menghadapinya..kujenguk, mengapa abah dan Akram belum datang. Seketika kemudian, abah datang dipimpin akram..abah menangis. Nama ummi dibibirnya, Mah!Mah!. Abah ambil alih duduk disisi kepala ummi, mengajar ummi mengucap, abang Akmal memegang abah yang hampir rebah menghadapi saat-saat kehilangan dan pemergian ummi. Dan Acu memegang tangan abah. Manakala Akram ambil alih tempat suamiku di telinga kanan, mengajar ummi mengucap. Aku tak sanggup menghadapi situasi itu...aku tak kuat, rasa macam nak pengsan tapi kugagahi...hingga kudengar abah sebut Qalu..Innalillah....kami meraung dan menangis. Abah juga menangis. Abah kata tidak salah menangis tapi jangan keluar suara. Ummi kembali ke Rahmatullah pukul 6.15 petang. Suami berada di sisi Ummi ketika itu, melihat dengan dekat saat-saat ummi pergi, kata suamiku hanya sekali tarik...dan lembut hembusan akhir ummi. Di luar ...hujan rintik-rintik mengiringi pemergian ummi.


Aku amat sebak melakar kenangan ini...sambil menekan huruf, airmataku membasahi pipi...aku tidak mampu meneruskan cerita sedih ini....semoga ummi dilindungi Allah dan dirahmatiNya. Semoga rohnya bersama orang-orang yang beriman.Amin.



8 comments:

  1. Al-Fatihah dari kami insan yang sentiasa menyayangi ummi sebagai guru dan juga ummi buat kami..

    Semoga rohnya tenang di sana..Ameen..

    ReplyDelete
  2. Subhanallah.. terima kasih ustzah amani.. ana seakan2 bersama kalian tatkala membaca tulisan ustzh ini...dan tak tertahan air mata ana utk terus deras mengalir...
    Dari Jauh, ana kirim kan doa..semoga Allah terima roh ummi dengan penuh kasih dan redha.. dan menerimanya sebagai hambaNya yang Soleh..

    juga.. utk ustzh dan ustaz2...merangkap kakak dan abang2 ku.. semoga Allah anugerahkan kekuatan utk melalui hari2 tanpa UMMI di sisi... tak lupa,utk Mudir yg dihormati.. smg Allah memberi beliau kesabaran yg tinggi...dalam menhadapi ujian ini..

    -Adik se tarbiiyah-

    ReplyDelete
  3. Semoga Ruh Ummi ditempatkan bersama para syuhada'.

    Takziah buat Al-Fadhil Ustaz Dahlan sekeluarga. Ummi adalh sperti ummi kami semua. Insya Allah, kami akan mendoakn Allahyarhamha selalu.

    -Anak Didik Matri-

    ReplyDelete
  4. salam k amani..
    tiada kata yg dapat ana huraikan perasaan ini tika membaca coretan ini..
    sesungguhnya, segalanya adalh pinjaman dr Allah swt.. ana juga menyayangi ummi..

    ReplyDelete
  5. Salam.
    dapat merasai detik itu didalam jiwa ini.
    tambahan pula jika sebagai seorang anaknya.
    semoga kita doa dan terus berdoa.

    ReplyDelete
  6. salam,akak,takziah diucapkan atas pemergian ummi.saya yang orang luar pun,sedih menangis sampai mertua pun hairan,ini kan lagi keluarga ummi yang sentiasa bersama ummi.
    untuk akak,jaga diri baik2 ye.akak dalam pantang lagi tu.kalau penat sangat nanti boleh jadi bentan.akak ada ambil supplement dan jamu tak ya?maaf ye jika mengecilkan hati akak.anak akak nangis lagi tak ya?semoga akak kuat hadapai dugaan Allah ni.amin

    ReplyDelete
  7. takziah untuk keluarga akak..
    kami semua,anak didik yang pernah merasai sentuhan kasih sayang ummi amat merasai kehilangan ini..
    kami menangis dari jauh,,...
    kami mendoakan ummi dari jauh...
    kami amat rindukan ummi..
    apatah lagi anak-anak ummi sendiri..
    tabahlah duhai hati..
    moga kita semua redha dengan pemergian ummi tercinta..

    ReplyDelete
  8. sy bwu je cadang nk lwt ummi lps ummi kua ccu..
    nk sembang2 n dga crite2 ummi lg..
    tp ALLAH da tentukn..
    dan sy mmg btol2 lwt n tlg kbumikn ummi..
    pngh0rmtn trakhir dr sy utk ummi
    y byk brkorbn utk sy..
    sy akn sntiase sygkn ummi..
    smpi sy jmpe ummi nati.. i.a

    ReplyDelete