Pages

Friday, March 19, 2010

'A.Z' ...Insan Penguat Semangatku

Dalam blog dan coretanku sebelum ini, banyak yang kuceritakan terutama tentang arwah Ummi dan abah. Tapi hari ini kuluangkan masa untuk berkongsi tentang seseorang yang paling hampir denganku, yang sentiasa berada di sisi ketika gembira, sedih, tidak bersemangat malah tika bertarung dengan maut. Insan yang kukenal  pada tahun 1996 di UIAM. Orangnya tinggi, hitam manis, segak orangnya (bagiku...), seorang yang ramah dan tegas. Sifat yang paling kukagumi adalah sifat pemurahnya. Kalau lihat pada dhahir... dia seorang yang tegas...tapi sebenarnya seorang yang lembut hatinya, penyayang sifatnya.

Sesuatu yang  bermakna dalam hidup ini bila ditakdirkan bertemu dengannya, hidup bersama hampir 13 tahun sejak 19 Oktober 1997. 'A.Z' banyak mendidikku menjadi isteri yang solehah, Setiap kali kumengandung (6 kali), kuakan alami alahan yang teruk, keluar masuk wad, x mampu makan dan akan terbaring hampir 4-5 bulan. Dan setiap kali kumengandung, 'A.Z'lah yang merawatku tanpa rasa jemu. 'A.Z' lah yang membasuh muntahku sepanjang alahan. Aku tidak mampu tinggal di wad berbulan-bulan sebab anak-anak masih kecil, jadi aku dirawat di rumah sendiri, 'A.Z'lah yang menjadi doktor dan nurse, menukar drip di tanganku, menyuapku makanan. Bila waktu pantang, hanya anak yang pertama dan kedua, kuberpantang di kampung. Anak-anak seterusnya kuberpantang di rumah sendiri. 'A.Z'lah yang mengurus keperluanku dan memandikan babyku masa pantang.

Masihku ingat, di permulaan perkahwinan kami... berkahwin selepas graduate..waktu itu belum dapat kerja. Diriku dalam praktikum dan 'A.Z' chambrige (latihan guaman). Waktu itu, gaji pun tak ada..hanya bergantung dengan elaun praktikum. Kepayahan hidup waktu itu sukar digambarkan dan bila diingatkan , ia menjadi satu pengalaman yang cukup terkesan dan manis.

Sesuatu yang membuat kuterkilan seumur hidup...bila mana aku tak mampu menjaga Arwah Ummi ketika Arwah Ummi demam kuat kerana aku masih dalam pantang bersalin anak yang kelima. Waktu itu, Akram tiada di Perlis. Abang Akmal di K.Lumpur dan Ali di Sabah. Aku bersyukur kerana 'A.Z' yang mengganti, membawa Ummi ke klinik.. malah membasuh muntah Ummi. Keesokannya pula membawa Ummi check darah bimbang dijangkiti denggi. Dalam masa yang sama Abah juga sakit, darah tinggi abah naik, begitu juga kencing manis...'A.Z' membawa abah ke hospital. Aku amat terhutang budi padanya. Keikhlasannya membuatkan kasihku sentiasa subur. Bila Ummi dimasukkan di wad pada petang Jumaat.. waktu itu anak-anak yang lain belum sampai Perlis, 'A.Zlah yang menemani Arwah Ummi... memakaikan telekung untuk Ummi solat. Waktu Ummi koma... semangatku luntur..dengan keadaanku dalam pantang bersalin..emosiku cukup rapuh. Kubersyukur kerana 'A.Z' sentiasa di sisiku, memberi semangat dan kekuatan.."Ma perlu tabah dan kuat..Ma yang abang kenal seorang yang kuat semangat dan tak mudah mengalah. Abang yakin..Ma mampu jadi anak yang tabah.. duduk di sebelah Ummi, beri semangat untuk Ummi.". 'A.Z' menahan sebak dan sedihnya didepanku. Tetapi...rupa-rupanya 'dia teresak-esak menceritakan keadaan Ummi pada Mak di Perak.

Bila Ummi dah tiada...kehidupan kami berubah. Walaupun kami telah mempunyai rumah sendiri di Arau... kerana tanggungjawap sebagai seorang anak... kami sekeluarga berpindah ke rumah abah di Mata Ayer. 'A.Z' yang berulang-alik setiap hari antara rumah Arau dan rumah abah. 'A.Z' akan pulang di Arau untuk mandi dan terus ke pejabat. Petang, ambil anak di sekolah dan bawa anak-anak ke rumah abah. Kemudian, pulang ke Arau untuk bersihkan diri dan bersiap untuk beriadhah. Malam, Maghrib di masjid dan terus ke rumah abah untuk makan malam & tidur.Begitulah rutin seharian. Aku cukup fahami bukan sebarangan orang yang mampu bersabar dengan situasi ini. Perhatianku juga tidak sepenuhnya pada 'A.Z' kerana keadaan abah yang masih tidak sihat memerlukan perhatianku. Bukan saja 'A.Z' tidak mengeluh atau tidak rasa payah dengan situasi ini, malah 'A.Z' amat prihatin dengan keperluan abah. Jika ada apa-apa yang abah teringin makan, 'A.Z' tidak akan berlengah mendapatkannya. Seperti pagi tadi, abah tidak lalu makan sarapan dengan roti pita, teringin makan roti canai.Awal pagi 'A.Z' bersiap dan keluar, untuk pulang ke rumah Arau, mandi dan bersiap ke pejabat. Tiba-tiba, pukul 8.45 pagi 'A.Z' dengan siap pakaian kerja datang semula ke rumah abah sambil membawa roti canai. Terharu rasa hati, walaupun dah lewat ke pejabat... 'A.Z' tetap ingin berkhidmat untuk abah mertua..menyediakan sarapan yang disukai abah.

Banyak lagi yang ingin kukongsikan tentang Insan yang sentiasa memberi semangat dan kekuatan untukku. 'A.Z' yang dicoretkan di sini adalah suamiku, Ahmad Zaini bin Samsudin.

Tersentuh dengan Coretan Saudara Thalhah..

Lama kutak luangkan masa dengan blog.. mungkin sibuk anak-anak nak exam, dan agak sibuk dengan rutin harian. Mungkin itu hanya alasan, hakikatnya menulis di blog ini juga seperti menulis di mana-mana atau memberi tazkirah atau bersembang...semua itu perlu dengan hati dan jiwa. Kita menulis dengan hati. Pagi ni tergerak kucoretkan sesuatu ...selepas terpandang coretan ringkas diCbox Apa Khabar, coretan ringkas saudara Thalhah... seolah memujuk kumenulis kembali. Katanya, ana sayangkan ustaz kerana Allah. Ya... tersentuh rasa hati menatap coretan ringkas itu. Abah seorang yang amat beruntung .. pada lahirnya hanya mempunyai 4 orang anak...tetapi hakikatnya, dia punyai ramai anak-anak...yang kasihkan dia kerana Allah, yang ingin tahu tentang diri dan kesihatannya, yang berada di pelusuk dunia, yang sering mendoakan kesejahteraan dan ketenangan buatnya. Jiwaku berbisik... anugerah itu bukan paksaan, rasa kasih dan sayang itu bukan kerana lama mengenal..juga bukan kerana ada hubungan darah. Rasa kasih itu lahir bila ikatan hati teguh, rasa ukhuwah yang mendalam, rasa keterikatan atas jalan Ilahi, rasa yang terbit hasil tarbiyah yang sebenar. Moga Allah pelihara rasa kasih itu, Allah jiwai agar terus kuat dan utuh menegakkan agama Allah, Allah pelihara hati-hati yang sayangkan abah kerana Allah..agar mereka tabah dalam medan jihad ini, sentiasa bersemangat menyedarkan masyarakat tentang kemanisan iman. Sering juga kucerita abah komen-komen dan maklumbalas pada abah... abah komen, internet ni bukan semuanya negatif..banyak yang positif. Ia memudahkan kita memberi tarbiyah pada masyarakat. Tapi ramai ahli masyarakat yang menggunakan internet untuk merosakkan masyarakat itu sendiri...menyebar fitnah dan bahan lucah. Kumengangguk tanda setuju.

Anak kecilku Audad merengek... dia dah 11 bulan, maknanya dah 10 bulan Ummi meninggalkan kita.. opss, dia kuatkan suara rengekannya dia bila kumasih menatap netbook ASUS  putih kesayanganku. Kita berhenti dulu,k.... moga rajin menjengah ke blog ini...juga blog enotapelajar.wordpress.

Thursday, March 18, 2010

Kongsikan bahan ilmu untuk semua

Baru-baru ini komputerku rosak. Ya Allah..banyak bahan-bahan pengajaran dan bahan master yang hilang bersama-sama. Sedih kufikirkan tentang itu. Kukongsi dengan seorang teman, dia mencadangkan padaku agar menyimpan bahan-bahan p&p dalam email atau blog. Katanya kalau bahan itu disimpan dalam blog, boleh dikongsi dengan semua orang yang mungkin memerlukan. Bahan-bahan pengajaran banyak yang berkaitan dengan bidangku iaitu bidang pendidikan B.Arab. Ada  karangan, nota qawaid, balaghah, bahan tazkirah, ebook, doa-doa amalan rasulullah, dan bila dah bertugas di institut perguruan, skop pengajaranku juga makin luas...pendidikan bahasa arab, tamadun Islam dan Asia, pendidikan moral, penyelidikan, pendidikan Islam dan sebagainya. Insya-Allah, dari masa kesemasa akan kuuploadkan dalam blog yang baru. Blog ini tak sesuai dimasukkan bahan-bahan tersebut kerana blog ini lebih kepada luahan hati dan coretan rasa dan pengalaman. Kubina blog http://enotapelajar.blogspot.com/ khusus untuk bahan-bahan dan nota-nota pengajaran khusus untuk pelajar. Moga ia dapat dikongsi bersama dan mendapat keberkatan Allah. Insya-Allah. Amin.

Kehidupanku bersama abah...

Alhamdulillah, hari ke sehari abah makin sihat dan ceria. Walaupun begitu, jelas kelihatan tubuh abah yang susut. Semalam kuteman abah pergi urut refleksiologi kaki. Sambil teman abah, lebih baik kakiku juga diurut. Yang urut kakiku, seorang gadis buta, cekap dia mengurut...yang lucunya, yang meneman yang kerap menjerit sakit bila terkena point yang tepat. Abah relaks aje... Abah kata rasa ringan sikit. Abah ajak pergi lagi lepas 3 hari. Alhamdulillah...moga ia satu alternatif yang boleh mengurangkan kesakitan abah.

Minggu lepas, kami sekeluarga bawa abah pergi berehat sambil memancing di tempat ekuestrian di batu pahat, perlis. Suamiku menunggang kuda.. abah rehat seketika di kabin. Kubersama anak-anak memancing di anak sungai di dalam kawasan tersebut. banyak juga 'tiger fish' dalam anak sungai ni.. tiba-tiba abah datang, tanya ada lagi dak pancing ikan. Abah bawa kerusi yang boleh jadi tongkat. Kuserahkan pancing ikan pada abah. Seronok kulihat abah makin bersemangat dan ceria di samping cucu-cucunya. Hari itu, abah juara memancing..dapat 5 ekor ikan. Kami yang lain masing-masing dapat 3 ekor ikan. Mana boleh lawan juara memancing... Abah cerita, masa muda-muda, abah rajin juga memancing. Pernah pancing di sungai Pahang. Tiba-tiba dapat ikan besar...tapi ikan tu nak lepaskan diri. Abah terjun dalam sungai Pahang, bergelut dengan ikan besar tu..Akhirnya abah berjaya. Abah cakap orang yang memancing kena belajar bersabar..kalau tak bersabar tak boleh pancing.

Bimbang juga lihat perkembangan abah sekarang... salah satunya abah tak lalu makan macam dulu-dulu. Macam-macam lauk kucuba masak untuk abah... macam mana ye?. Kelmarin abah teringin makan kerang, alhamdulillah dapatla cari. Hari ni abah cakap teringin makan ketam kecil masak goreng tepung. Esok kucuba cari ...insya-Allah berjumpa.

Dah sampai waktu memasak...malam ni tok bagi perut masak lemak...moga-moga abah lalu makan.
Jumpa di lain lembaran.