Pages

Friday, March 19, 2010

'A.Z' ...Insan Penguat Semangatku

Dalam blog dan coretanku sebelum ini, banyak yang kuceritakan terutama tentang arwah Ummi dan abah. Tapi hari ini kuluangkan masa untuk berkongsi tentang seseorang yang paling hampir denganku, yang sentiasa berada di sisi ketika gembira, sedih, tidak bersemangat malah tika bertarung dengan maut. Insan yang kukenal  pada tahun 1996 di UIAM. Orangnya tinggi, hitam manis, segak orangnya (bagiku...), seorang yang ramah dan tegas. Sifat yang paling kukagumi adalah sifat pemurahnya. Kalau lihat pada dhahir... dia seorang yang tegas...tapi sebenarnya seorang yang lembut hatinya, penyayang sifatnya.

Sesuatu yang  bermakna dalam hidup ini bila ditakdirkan bertemu dengannya, hidup bersama hampir 13 tahun sejak 19 Oktober 1997. 'A.Z' banyak mendidikku menjadi isteri yang solehah, Setiap kali kumengandung (6 kali), kuakan alami alahan yang teruk, keluar masuk wad, x mampu makan dan akan terbaring hampir 4-5 bulan. Dan setiap kali kumengandung, 'A.Z'lah yang merawatku tanpa rasa jemu. 'A.Z' lah yang membasuh muntahku sepanjang alahan. Aku tidak mampu tinggal di wad berbulan-bulan sebab anak-anak masih kecil, jadi aku dirawat di rumah sendiri, 'A.Z'lah yang menjadi doktor dan nurse, menukar drip di tanganku, menyuapku makanan. Bila waktu pantang, hanya anak yang pertama dan kedua, kuberpantang di kampung. Anak-anak seterusnya kuberpantang di rumah sendiri. 'A.Z'lah yang mengurus keperluanku dan memandikan babyku masa pantang.

Masihku ingat, di permulaan perkahwinan kami... berkahwin selepas graduate..waktu itu belum dapat kerja. Diriku dalam praktikum dan 'A.Z' chambrige (latihan guaman). Waktu itu, gaji pun tak ada..hanya bergantung dengan elaun praktikum. Kepayahan hidup waktu itu sukar digambarkan dan bila diingatkan , ia menjadi satu pengalaman yang cukup terkesan dan manis.

Sesuatu yang membuat kuterkilan seumur hidup...bila mana aku tak mampu menjaga Arwah Ummi ketika Arwah Ummi demam kuat kerana aku masih dalam pantang bersalin anak yang kelima. Waktu itu, Akram tiada di Perlis. Abang Akmal di K.Lumpur dan Ali di Sabah. Aku bersyukur kerana 'A.Z' yang mengganti, membawa Ummi ke klinik.. malah membasuh muntah Ummi. Keesokannya pula membawa Ummi check darah bimbang dijangkiti denggi. Dalam masa yang sama Abah juga sakit, darah tinggi abah naik, begitu juga kencing manis...'A.Z' membawa abah ke hospital. Aku amat terhutang budi padanya. Keikhlasannya membuatkan kasihku sentiasa subur. Bila Ummi dimasukkan di wad pada petang Jumaat.. waktu itu anak-anak yang lain belum sampai Perlis, 'A.Zlah yang menemani Arwah Ummi... memakaikan telekung untuk Ummi solat. Waktu Ummi koma... semangatku luntur..dengan keadaanku dalam pantang bersalin..emosiku cukup rapuh. Kubersyukur kerana 'A.Z' sentiasa di sisiku, memberi semangat dan kekuatan.."Ma perlu tabah dan kuat..Ma yang abang kenal seorang yang kuat semangat dan tak mudah mengalah. Abang yakin..Ma mampu jadi anak yang tabah.. duduk di sebelah Ummi, beri semangat untuk Ummi.". 'A.Z' menahan sebak dan sedihnya didepanku. Tetapi...rupa-rupanya 'dia teresak-esak menceritakan keadaan Ummi pada Mak di Perak.

Bila Ummi dah tiada...kehidupan kami berubah. Walaupun kami telah mempunyai rumah sendiri di Arau... kerana tanggungjawap sebagai seorang anak... kami sekeluarga berpindah ke rumah abah di Mata Ayer. 'A.Z' yang berulang-alik setiap hari antara rumah Arau dan rumah abah. 'A.Z' akan pulang di Arau untuk mandi dan terus ke pejabat. Petang, ambil anak di sekolah dan bawa anak-anak ke rumah abah. Kemudian, pulang ke Arau untuk bersihkan diri dan bersiap untuk beriadhah. Malam, Maghrib di masjid dan terus ke rumah abah untuk makan malam & tidur.Begitulah rutin seharian. Aku cukup fahami bukan sebarangan orang yang mampu bersabar dengan situasi ini. Perhatianku juga tidak sepenuhnya pada 'A.Z' kerana keadaan abah yang masih tidak sihat memerlukan perhatianku. Bukan saja 'A.Z' tidak mengeluh atau tidak rasa payah dengan situasi ini, malah 'A.Z' amat prihatin dengan keperluan abah. Jika ada apa-apa yang abah teringin makan, 'A.Z' tidak akan berlengah mendapatkannya. Seperti pagi tadi, abah tidak lalu makan sarapan dengan roti pita, teringin makan roti canai.Awal pagi 'A.Z' bersiap dan keluar, untuk pulang ke rumah Arau, mandi dan bersiap ke pejabat. Tiba-tiba, pukul 8.45 pagi 'A.Z' dengan siap pakaian kerja datang semula ke rumah abah sambil membawa roti canai. Terharu rasa hati, walaupun dah lewat ke pejabat... 'A.Z' tetap ingin berkhidmat untuk abah mertua..menyediakan sarapan yang disukai abah.

Banyak lagi yang ingin kukongsikan tentang Insan yang sentiasa memberi semangat dan kekuatan untukku. 'A.Z' yang dicoretkan di sini adalah suamiku, Ahmad Zaini bin Samsudin.

No comments:

Post a Comment