Pages

Friday, March 19, 2010

'A.Z' ...Insan Penguat Semangatku

Dalam blog dan coretanku sebelum ini, banyak yang kuceritakan terutama tentang arwah Ummi dan abah. Tapi hari ini kuluangkan masa untuk berkongsi tentang seseorang yang paling hampir denganku, yang sentiasa berada di sisi ketika gembira, sedih, tidak bersemangat malah tika bertarung dengan maut. Insan yang kukenal  pada tahun 1996 di UIAM. Orangnya tinggi, hitam manis, segak orangnya (bagiku...), seorang yang ramah dan tegas. Sifat yang paling kukagumi adalah sifat pemurahnya. Kalau lihat pada dhahir... dia seorang yang tegas...tapi sebenarnya seorang yang lembut hatinya, penyayang sifatnya.

Sesuatu yang  bermakna dalam hidup ini bila ditakdirkan bertemu dengannya, hidup bersama hampir 13 tahun sejak 19 Oktober 1997. 'A.Z' banyak mendidikku menjadi isteri yang solehah, Setiap kali kumengandung (6 kali), kuakan alami alahan yang teruk, keluar masuk wad, x mampu makan dan akan terbaring hampir 4-5 bulan. Dan setiap kali kumengandung, 'A.Z'lah yang merawatku tanpa rasa jemu. 'A.Z' lah yang membasuh muntahku sepanjang alahan. Aku tidak mampu tinggal di wad berbulan-bulan sebab anak-anak masih kecil, jadi aku dirawat di rumah sendiri, 'A.Z'lah yang menjadi doktor dan nurse, menukar drip di tanganku, menyuapku makanan. Bila waktu pantang, hanya anak yang pertama dan kedua, kuberpantang di kampung. Anak-anak seterusnya kuberpantang di rumah sendiri. 'A.Z'lah yang mengurus keperluanku dan memandikan babyku masa pantang.

Masihku ingat, di permulaan perkahwinan kami... berkahwin selepas graduate..waktu itu belum dapat kerja. Diriku dalam praktikum dan 'A.Z' chambrige (latihan guaman). Waktu itu, gaji pun tak ada..hanya bergantung dengan elaun praktikum. Kepayahan hidup waktu itu sukar digambarkan dan bila diingatkan , ia menjadi satu pengalaman yang cukup terkesan dan manis.

Sesuatu yang membuat kuterkilan seumur hidup...bila mana aku tak mampu menjaga Arwah Ummi ketika Arwah Ummi demam kuat kerana aku masih dalam pantang bersalin anak yang kelima. Waktu itu, Akram tiada di Perlis. Abang Akmal di K.Lumpur dan Ali di Sabah. Aku bersyukur kerana 'A.Z' yang mengganti, membawa Ummi ke klinik.. malah membasuh muntah Ummi. Keesokannya pula membawa Ummi check darah bimbang dijangkiti denggi. Dalam masa yang sama Abah juga sakit, darah tinggi abah naik, begitu juga kencing manis...'A.Z' membawa abah ke hospital. Aku amat terhutang budi padanya. Keikhlasannya membuatkan kasihku sentiasa subur. Bila Ummi dimasukkan di wad pada petang Jumaat.. waktu itu anak-anak yang lain belum sampai Perlis, 'A.Zlah yang menemani Arwah Ummi... memakaikan telekung untuk Ummi solat. Waktu Ummi koma... semangatku luntur..dengan keadaanku dalam pantang bersalin..emosiku cukup rapuh. Kubersyukur kerana 'A.Z' sentiasa di sisiku, memberi semangat dan kekuatan.."Ma perlu tabah dan kuat..Ma yang abang kenal seorang yang kuat semangat dan tak mudah mengalah. Abang yakin..Ma mampu jadi anak yang tabah.. duduk di sebelah Ummi, beri semangat untuk Ummi.". 'A.Z' menahan sebak dan sedihnya didepanku. Tetapi...rupa-rupanya 'dia teresak-esak menceritakan keadaan Ummi pada Mak di Perak.

Bila Ummi dah tiada...kehidupan kami berubah. Walaupun kami telah mempunyai rumah sendiri di Arau... kerana tanggungjawap sebagai seorang anak... kami sekeluarga berpindah ke rumah abah di Mata Ayer. 'A.Z' yang berulang-alik setiap hari antara rumah Arau dan rumah abah. 'A.Z' akan pulang di Arau untuk mandi dan terus ke pejabat. Petang, ambil anak di sekolah dan bawa anak-anak ke rumah abah. Kemudian, pulang ke Arau untuk bersihkan diri dan bersiap untuk beriadhah. Malam, Maghrib di masjid dan terus ke rumah abah untuk makan malam & tidur.Begitulah rutin seharian. Aku cukup fahami bukan sebarangan orang yang mampu bersabar dengan situasi ini. Perhatianku juga tidak sepenuhnya pada 'A.Z' kerana keadaan abah yang masih tidak sihat memerlukan perhatianku. Bukan saja 'A.Z' tidak mengeluh atau tidak rasa payah dengan situasi ini, malah 'A.Z' amat prihatin dengan keperluan abah. Jika ada apa-apa yang abah teringin makan, 'A.Z' tidak akan berlengah mendapatkannya. Seperti pagi tadi, abah tidak lalu makan sarapan dengan roti pita, teringin makan roti canai.Awal pagi 'A.Z' bersiap dan keluar, untuk pulang ke rumah Arau, mandi dan bersiap ke pejabat. Tiba-tiba, pukul 8.45 pagi 'A.Z' dengan siap pakaian kerja datang semula ke rumah abah sambil membawa roti canai. Terharu rasa hati, walaupun dah lewat ke pejabat... 'A.Z' tetap ingin berkhidmat untuk abah mertua..menyediakan sarapan yang disukai abah.

Banyak lagi yang ingin kukongsikan tentang Insan yang sentiasa memberi semangat dan kekuatan untukku. 'A.Z' yang dicoretkan di sini adalah suamiku, Ahmad Zaini bin Samsudin.

Tersentuh dengan Coretan Saudara Thalhah..

Lama kutak luangkan masa dengan blog.. mungkin sibuk anak-anak nak exam, dan agak sibuk dengan rutin harian. Mungkin itu hanya alasan, hakikatnya menulis di blog ini juga seperti menulis di mana-mana atau memberi tazkirah atau bersembang...semua itu perlu dengan hati dan jiwa. Kita menulis dengan hati. Pagi ni tergerak kucoretkan sesuatu ...selepas terpandang coretan ringkas diCbox Apa Khabar, coretan ringkas saudara Thalhah... seolah memujuk kumenulis kembali. Katanya, ana sayangkan ustaz kerana Allah. Ya... tersentuh rasa hati menatap coretan ringkas itu. Abah seorang yang amat beruntung .. pada lahirnya hanya mempunyai 4 orang anak...tetapi hakikatnya, dia punyai ramai anak-anak...yang kasihkan dia kerana Allah, yang ingin tahu tentang diri dan kesihatannya, yang berada di pelusuk dunia, yang sering mendoakan kesejahteraan dan ketenangan buatnya. Jiwaku berbisik... anugerah itu bukan paksaan, rasa kasih dan sayang itu bukan kerana lama mengenal..juga bukan kerana ada hubungan darah. Rasa kasih itu lahir bila ikatan hati teguh, rasa ukhuwah yang mendalam, rasa keterikatan atas jalan Ilahi, rasa yang terbit hasil tarbiyah yang sebenar. Moga Allah pelihara rasa kasih itu, Allah jiwai agar terus kuat dan utuh menegakkan agama Allah, Allah pelihara hati-hati yang sayangkan abah kerana Allah..agar mereka tabah dalam medan jihad ini, sentiasa bersemangat menyedarkan masyarakat tentang kemanisan iman. Sering juga kucerita abah komen-komen dan maklumbalas pada abah... abah komen, internet ni bukan semuanya negatif..banyak yang positif. Ia memudahkan kita memberi tarbiyah pada masyarakat. Tapi ramai ahli masyarakat yang menggunakan internet untuk merosakkan masyarakat itu sendiri...menyebar fitnah dan bahan lucah. Kumengangguk tanda setuju.

Anak kecilku Audad merengek... dia dah 11 bulan, maknanya dah 10 bulan Ummi meninggalkan kita.. opss, dia kuatkan suara rengekannya dia bila kumasih menatap netbook ASUS  putih kesayanganku. Kita berhenti dulu,k.... moga rajin menjengah ke blog ini...juga blog enotapelajar.wordpress.

Thursday, March 18, 2010

Kongsikan bahan ilmu untuk semua

Baru-baru ini komputerku rosak. Ya Allah..banyak bahan-bahan pengajaran dan bahan master yang hilang bersama-sama. Sedih kufikirkan tentang itu. Kukongsi dengan seorang teman, dia mencadangkan padaku agar menyimpan bahan-bahan p&p dalam email atau blog. Katanya kalau bahan itu disimpan dalam blog, boleh dikongsi dengan semua orang yang mungkin memerlukan. Bahan-bahan pengajaran banyak yang berkaitan dengan bidangku iaitu bidang pendidikan B.Arab. Ada  karangan, nota qawaid, balaghah, bahan tazkirah, ebook, doa-doa amalan rasulullah, dan bila dah bertugas di institut perguruan, skop pengajaranku juga makin luas...pendidikan bahasa arab, tamadun Islam dan Asia, pendidikan moral, penyelidikan, pendidikan Islam dan sebagainya. Insya-Allah, dari masa kesemasa akan kuuploadkan dalam blog yang baru. Blog ini tak sesuai dimasukkan bahan-bahan tersebut kerana blog ini lebih kepada luahan hati dan coretan rasa dan pengalaman. Kubina blog http://enotapelajar.blogspot.com/ khusus untuk bahan-bahan dan nota-nota pengajaran khusus untuk pelajar. Moga ia dapat dikongsi bersama dan mendapat keberkatan Allah. Insya-Allah. Amin.

Kehidupanku bersama abah...

Alhamdulillah, hari ke sehari abah makin sihat dan ceria. Walaupun begitu, jelas kelihatan tubuh abah yang susut. Semalam kuteman abah pergi urut refleksiologi kaki. Sambil teman abah, lebih baik kakiku juga diurut. Yang urut kakiku, seorang gadis buta, cekap dia mengurut...yang lucunya, yang meneman yang kerap menjerit sakit bila terkena point yang tepat. Abah relaks aje... Abah kata rasa ringan sikit. Abah ajak pergi lagi lepas 3 hari. Alhamdulillah...moga ia satu alternatif yang boleh mengurangkan kesakitan abah.

Minggu lepas, kami sekeluarga bawa abah pergi berehat sambil memancing di tempat ekuestrian di batu pahat, perlis. Suamiku menunggang kuda.. abah rehat seketika di kabin. Kubersama anak-anak memancing di anak sungai di dalam kawasan tersebut. banyak juga 'tiger fish' dalam anak sungai ni.. tiba-tiba abah datang, tanya ada lagi dak pancing ikan. Abah bawa kerusi yang boleh jadi tongkat. Kuserahkan pancing ikan pada abah. Seronok kulihat abah makin bersemangat dan ceria di samping cucu-cucunya. Hari itu, abah juara memancing..dapat 5 ekor ikan. Kami yang lain masing-masing dapat 3 ekor ikan. Mana boleh lawan juara memancing... Abah cerita, masa muda-muda, abah rajin juga memancing. Pernah pancing di sungai Pahang. Tiba-tiba dapat ikan besar...tapi ikan tu nak lepaskan diri. Abah terjun dalam sungai Pahang, bergelut dengan ikan besar tu..Akhirnya abah berjaya. Abah cakap orang yang memancing kena belajar bersabar..kalau tak bersabar tak boleh pancing.

Bimbang juga lihat perkembangan abah sekarang... salah satunya abah tak lalu makan macam dulu-dulu. Macam-macam lauk kucuba masak untuk abah... macam mana ye?. Kelmarin abah teringin makan kerang, alhamdulillah dapatla cari. Hari ni abah cakap teringin makan ketam kecil masak goreng tepung. Esok kucuba cari ...insya-Allah berjumpa.

Dah sampai waktu memasak...malam ni tok bagi perut masak lemak...moga-moga abah lalu makan.
Jumpa di lain lembaran.

Sunday, December 6, 2009

Syair Arab 2: Mata, telinga dan lidah

Hayatilah syair di bawah...









Terjemahan :
Sesungguhnya Allah menjadikan manusia dengan dua mata # tetapi ramai manusia melihat dengan sebelah mata sahaja.
Sesungguhnya Allah menjadikan manusia dengan satu lidah dan dua telinga # tetapi ramai manusia bercakap dua lidah dan mendengar dengan sebelah telinga sahaja.

Cukup bertepatan syair Arab di atas. Memang ramai manusia sering menggunakan sebelah mata dan sebelah telinga tetapi sering menggunakan dua lidah (lidah bercabang) bila berbicara. Moga kita tidak tergolong dalam kategori 'ramai manusia' tersebut.

Kita sering menggunakan kata-kata hikmah dari sarjana bukan Islam dan kata-kata dalam bahasa Inggeris...tetapi kurang didedahkan dengan kata hikmah sarjana Islam dan dalam bahasa Arab. Peluang ini kuambil untuk berkongsi sedikit yang ada untuk semua. Moga bahan/ilmu ini disebarkan terutama untuk pelajar, pekerja dan insan-insan yang menghargainya. Angan dan harapanku....akan kulampirkan semua kata-kata hikmah dan syair dalam bahasa Arab ini dalam sebuah buku..tapi tak tahulah boleh jadi kenyataan ke tak?

Saturday, December 5, 2009

Bagaimana kasih sayang kita?

Kasih ibupada pada anak-anak sungguh besar. Bagaimana kasih anak-anak pada ibubapa? Ramai anak-anak melafazkan di mulut mereka... tetapi adakah apa yang kita lakukan untuk ibubapa kita cukup. Semakin kita umur kita bertambah, semakin  banyak tanggungjawab kita. Semakin matang kita, semakin jauh jarak kita dengan ibubapa kita. Kita akan belajar jauh dari kampung, kita akan mempunyai tanggungjawab sebagai pelajar kemudian bila dah berkeluarga, kita sibuk dengan suami/isteri dan anak-anak. Makin lama kita bekerja, kita bukan semakin senang tetapi semakin kita sibuk. Semakin hari, kita semakin kurang bersama ibubapa kita..masa berlalu pantas.Masa ibubapa kita juga makin suntuk...mereka makin tua dan uzur.

Jika 20 tahun dulu, kulihat abah seorang yang cukup segak..cergas dan banyak menghabiskan masa dengan amanah yang digalasnya. Bila kulihat sekarang, abah dah semakin uzur. Badan abah semakin kurus, sekarang abah belum dapat berjalan tanpa tongkat. Malah... abah terpaksa guna tongkat 4 kaki sebab kaki abah tak kuat..kalau guna tongkat biasa , abah nak jatuh..abah cakap, rasa paha dan lutut abah lemah nak melangkah. Menitis airmata ini melihat keadaan abah. Berbisik dalam diri, mampukah kuberbakti sebaik mungkin menjaga abah bersama anak-anak yang lain sebaik abah menjaga dan mendidikku sejak dilahirkan. Tadi baru kubersembang dengan Akram, Ayan isteri Akram dan suamiku, mengimbau kisah-kisah dahulu. Abah tidak pernah marah padaku masa dulu-dulu..kutanya Akram pasal apa ye abah tak pernah marah kakak, Akram dan Ali abah marah gak dulu-dulu. Akram kata, "macamana nak marah..kakak kan anak perempuan sorang". Abahlah yang menyedarkan diriku tentang nikmat Islam yang hakiki.

Kurasa terkilan juga tak lama jaga ummi masa ummi sakit. Arwah ummi jarang sakit teruk. Waktu arwah ummi sakit, kumasih dalam pantang lepas bersalin. Akramlah yang bertuah sebab dapat jaga ummi banyak hari di wad. Kumasih ingat, masa arwah ummi sakit..di mulut ummi asyik sebut dan tanya, macamana abah? abah makan apa?. Walaupun tengah sakit, masih bimbangkan makan minum abah.

Bagi yang sudi membaca dan menatap coretanku ini, rebutlah peluang yang ada.Kalau masih punyai ibu dan bapa, jagalah mereka sebaik mungkin..luangkanlah masa bersama mereka. Telefon dan tanyalah khabar selalu kalau berjauhan. Tanya dalam diri, pernahkah kita hadiahkan sesuatu pada mereka, masakkan makanan kegemaran mereka, urut badan mereka yang semakin tua, suapkan nasi, sikat rambut mereka, basuh baju mereka, doakan kesejahteraan mereka, dan tidak melukakan hati mereka. Bila kita kehilangan mereka, barulah kita rasa terkilan banyak yang tidak kita lakukan untuk mereka. Peluang itu tiada kali kedua.Bila peluang itu dah tiada, kita akan terkilan seumur hidup. Ibubapa tiada dua atau tiga. Merekalah ibubapa satu-satunya dunia akhirat.Percayalah...masa yang kita luangkan untuk ibubapa kita tidak sia-sia. Setiap saat kita berbakti pada mereka dihitung pahala.Walaupun sebukit masa dan tenaga kita luangkaan untuk mereka tidak setimpal masa, tenaga dan kasihsayang mereka tumpahkan pada kita sejak dalam kandungan hingga dewasa.

 Ibubapa selalunya tahu dan arif makanan kegemaran anak..bila pulang ke kampung..mak kita akan masakkan makanan kegemaran kita. Kita perlu tahu makanan kegemaran ibubapa kita, sekali sekala masaklah untuk mereka walaupun anak lelaki. Ibubapa kita pasti terharu dan gembira jika kita hadiahkan sesuatu walaupun tidak mahal tanda mereka di hati kita. Kuingat lagi, suatu hari abah nak pergi makan dalam majlis diraja Perlis..kena pakai baju kod penuh. Abah pun cari baju kod sepasang.. dah nampak lama..malah dah terkoyak tepi leher baju. Bila kulihat baju tu..berbisik di hati, kesian abah. Esok kubawa abah ke kedai jahit. Minta abah pilih kain...jelas terserlah di wajah abah..gembira. Bila baju tu dah siap lepas dua minggu, abah sangkut baju tu tepi katil, abah pakai dan tunjukkan padaku. Walaupun harganya tak mahal tapi bila hadiah tu dari anak.. mereka akan gembira. Terserlah di wajah abah kegembiraan itu.

Banyak yang masih perlu kufahami dan kongsi dengan abah. Baru-baru ini baru kutahu dari abah, abah belum pernah ke Cameron Highland. Baru-baru ini, kuterpaksa jadi pengiring student ke Cameron Highland..kebetulan waktu tu Akram ada Seminar. Jadi abah tak dak yang teman. Jadi kutanya abah, " Bah nak ikut adik ke Cameron Highland dak? Adik kena bawa student ke sana." . Abah kata, "Boleh jugak, abah pun tak pernah pi lagi sana.". Ya Allah, kasihan abah... dia belum pergi ke sana sedangkan anaknya ini dah lebih dari 5 kali pergi. Malu sungguh rasa hati. Tapi akhirnya program tu cancel. Kujanji dalam diri, lepas abah sihat nanti...kami akan bawa abah berehat kat sana. Moga kami ada ruang untuk tunaikan janji itu..dan moga abah cepat sembuh.

Thursday, December 3, 2009

Bahasa Puisi Lukisan Hati 1

Apa hobi atau kegemaran semua? Semua orang ada hobi yang tersendiri,kan? Kuhanya ingin berkongsi satu-satu hobiku yang mungkin sama dengan sesiapa.... mengumpul bait syair... tapi dalam bahasa Arab. Ada juga kucuba karang bait syair Arab tapi taklah secantik syair-syair Arab yang original. Sebenarnya, menulis sesuatu dalam blog ni suatu yang baik... seperti bait syair di bawah;














Terjemahan :

Tanganku akan hancur di dalam tanah     #     Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku
Moga sesiapa yang membaca tulisanku     #    doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

Cukup indah bait syair ini. buku yang dimaksudkan bukan sekadar buku...tetapi bahan yang dimuatkan, tulisan kita...ia termasuklah blog. Tetapi biarlah tulisan yang kita lakarkan di blog diselit hikmah dan pedoman. Kita semua pasti akan pergi menemui Ilahi, 3 perkara yang ditinggalkan kita...ilmu yang bermanafaat, anak yang soleh dan sedekah jariah. Tulisan kita juga merupakan medan atau medium bagi ilmu yang bermanafaat. Dalam kita berceloteh atau berkongsi....adalah cebisan nasihat, ilmu dan pedoman untuk dimanafaatkan. Orang yang menulis sesuatu tidak menginginkan apa-apa harapan..hanyalah doa, moga amal kita diterima dan dijauhkan dari azab.
Cukuplah dulu puisi Arab pertama yang dikongsikan...moga Allah memberi ruang untuk bahasa puisi lukisan hati yang seterusnya...